Showing posts with label SPRM. Show all posts
Showing posts with label SPRM. Show all posts

Kes SRC International: Tiga Individu Diminta Hubungi SPRM Bantu Siasatan



KES SRC INTERNATIONAL: TIGA INDIVIDU DIMINTA HUBUNGI SPRM BANTU SIASATAN

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta tiga orang individu agar tampil menghubungi SPRM dengan segera bagi membantu siasatan berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd.
Ketiga-tiga mereka adalah Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil; Pengarah SRC International Sdn Bhd, Dato' Suboh Md Yassin dan ahli perniagaan Low Taek Jho yang turut dikenali sebagai "Jho Low".


Ketiga-tiga mereka dikehendaki menghubungi Pegawai Penyiasat Kes iaitu Penolong Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 010-3187757 atau 03-88900752, atau Penolong Pesuruhjaya Norkhafizin Isa di talian 019-6000345 atau 03-88900754.

Mereka dikehendaki hadir di Bahagian Operasi Khas SPRM di Aras 7, Menara Prisma, Precint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
Nik Faisal yang memiliki kad pengenalan bernombor 710304-10-6303 dan pasport bernombor A31780240, serta alamat terakhirnya dipercayai No 17, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor dan No 19, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor.

Dato' Suboh pula memiliki kad pengenalan bernombor 510111-10-5521 dan pasport bernombor D021678 dan R016029 serta alamat terakhir yang dikesan ialah 3-15-2, No 3, The Residence, Jalan Wan Kadir 5, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Dalam pada itu, Low Taek Jho yang memiliki kad pengenalan bernombor 811104-07-5701 beralamat 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

SPRM juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat di mana ketiga-tiga mereka berada agar menghubungi Penolong Pesuruhjaya Rosli Husain atau Penolong Pesuruhjaya Norkhafizin Isa atau pun mana-mana Pejabat SPRM yang terdekat.

DATO' AZAM BAKI
PENGARAH SIASATAN
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA


PUTRAJAYA
22 OGOS 2015

Kenyataan Media Persatuan Bekas Pegawai Sprm



KENYATAAN MEDIA PERSATUAN BEKAS PEGAWAI SPRM
9 OGOS 2015

1. Wartawan dan kawan telah menghubungi saya berkenaan dengan SMS yang tersebar luas sejak awal semalam. Pelbagai reaksi telah dikongsi berkenaan dengan kandungan SMS berkenaan. Saya mengucapkan terima kasih, khususnya kepada pihak media yang telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan.


2. Justeru, saya ingin menjelaskan bahawa kandungan dalam SMS dimaksudkan bertujuan memperlihatkan keprihatinan ke atas pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini berhadapan dengan situasi yang amat mencabar.

3. Oleh itu, Persatuan Bekas Pegawai SPRM bertanggungjawab untuk sama-sama mempertahankan kepentingan pegawai dan juga SPRM, yang telah diberi amanah mewujudkan persekitaran bebas rasuah.

4. Selepas melihat kepada perkembangan yang berlaku dan memperoleh maklumat mutakhir daripada pelbagai sumber, selaku Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM, saya menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil ke atas pegawai-pegawai SPRM yang telah dan akan diambil keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melainkan mereka didapati melakukan sesuatu kesalahan jenayah. Saya juga menyambut baik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dikeluarkan di Pulau Pinang malam tadi.

5. Saya amat berharap perkembangan terbaharu ini akan menjadi kenyataan demi keharmonian PDRM-SPRM serta menjaga moral pegawai-pegawai SPRM yang sedang menyiapkan siasatan mereka berkaitan dengan 1MDB khususnya dalam isu SRC International. Saya juga berharap dua pegawai SPRM yang ditangkap baru-baru ini dan dilepaskan atas jaminan, dibebaskan daripada sebarang tindakan bagi membolehkan mereka terus menjalankan tugas dalam siasatan kes SRC International.

6. Saya juga mengucapkan terima kasih atas sokongan berhemah yang telah diperlihatkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low serta Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Johan Jaaffar berhubung tindakan menukar Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategi, Datuk Rohaizad Yaakob agar dihentikan apa yang boleh dilihat sebagai intimidasi ke atas SPRM dan dengan itu, pertukaran kedua-dua pegawai itu pada suasana begini adalah tidak wajar sama sekali.

7. Persatuan Bekas Pegawai SPRM, oleh itu, mahu keputusan menukar kedua-dua pengarah terbabit ke Jabatan Perdana Menteri ditarik balik dan dibatalkan dengan segera bagi mengelak persepsi negatif dan tidak sihat ke atas Kerajaan.


8. Semua pihak menerima hakikat bahawa SPRM dan PDRM mempunyai peranan masing-masing demi mempertahankan kepentingan negara. Saya mempunyai ramai rakan yang merupakan bekas pegawai SPRM dan PDRM, di mana sentiasa berkongsi maklumat mengenai isu-isu semasa.

9. Oleh itu, diharap tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan mengeruhkan keadaan atau mengenakan tekanan. Kita harus memberi ruang kepada pegawai-pegawai SPRM menjalankan tugas mereka dalam apa jua situasi dengan bebas dan profesional.

10. Saya juga mengambil kesempatan mahu mengesyorkan agar cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah dilaksanakan dengan segera bagi memastikan kebebasan SPRM terus terjamin.

DATUK RAZAK IDRIS
PRESIDEN
PERSATUAN BEKAS PEGAWAI SPRM

Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah: Kembalikan Semula Dua Pegawai Kanan SPRM



KENYATAAN MEDIA
PANEL PERUNDINGAN DAN PENCEGAHAN RASUAH

PANEL PERUNDINGAN DAN PENCEGAHAN RASUAH: KEMBALIKAN SEMULA DUA PEGAWAI KANAN SPRM


Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), salah satu panel yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terkejut dengan tindakan menukar dua pegawai kanan SPRM pada hari Jumaat.

PPPR menuntut agar kedua-dua pegawai terbabit ini, Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob dikembalikan semula dengan serta-merta bagi membolehkan mereka meneruskan tugas masing-masing di SPRM.

Pengerusi PPPR, Tan Sri Johan Jaaffar percaya pertukaran ini pasti akan meningkatkan suasana tegang yang disaksikan sekarang. Malah, pertukaran ini akan mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding jawapan dan ia akan mewujudkan lebih banyak syak wasangka dan teori konspirasi.

Panel ini menyokong saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu sebarang bentuk 'intimidasi' dan tindakan terhadap pegawai-pegawai kanan SPRM dihentikan.

Panel itu memuji pendirian Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menawarkan diri sebagai pengganti pertukaran kepada kedua-dua pegawai kanan terbabit yang hanya bertindak atas arahannya. Meskipun PPPR berpendapat bahawa pendirian Datul Seri Shukri ini sesuatu yang terhormat, tetapi tidak perlu sama sekali.



TAN SRI JOHAN JAAFAR
PENGERUSI PANEL PERUNDINGAN DAN PENCEGAHAN RASUAH
8 OGOS 2015

Penjelasan Mengenai Isu Dana RM2.6 Bilion Dan Siasatan SRC International - SPRM

Penjelasan Mengenai Isu Dana RM2.6 Bilion Dan Siasatan SRC International


Susulan kepada kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa siasatan SPRM hanya memfokus ke atas isu berkaitan dengan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
SPRM mendapati banyak pihak masih tidak jelas atau terkeliru dengan menganggap bahawa SPRM telah menghentikan siasatan berkaitan dengan isu SRC International atau pun mengenai dana RM2.6 bilion.
Oleh itu, SPRM mahu menjelaskan beberapa perkara.


SIASATAN BERKAITAN 1MDB
Sebagaimana telah disebutkan beberapa kali sebelum ini, SPRM menekankan bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan isu 1MDB. Sebaliknya, siasatan keseluruhan kes 1MDB dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia. SPRM berharap orang ramai akan memahami bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan 1MDB.

SUMBANGAN DANA RM2.6 BILION DITERIMA OLEH PERDANA MENTERI
Sebagaimana disebutkan dalam kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015, hasil siasatan SPRM mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah derma yang disumbangkan oleh pihak tertentu. SPRM tidak boleh mendedahkan identiti pihak yang mendermakan dana RM2.6 bilion kepada YAB Perdana Menteri.
Bagaimanapun untuk makluman orang ramai, SPRM telah memperoleh penjelasan daripada pihak penderma tentang derma yang diberi kepada YAB Perdana Menteri. SPRM telah mendapat tahu tentang butir penderma melalui dokumen yang diambil dari bank dan didapati bahawa terdapat empat surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke dalam akaun YAB Perdana Menteri. Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma.
SPRM telah mendapatkan penjelasan daripada pihak penderma yang berasal dari Timur Tengah dan pihak berkaitan juga telah mengesahkan sumbangan derma tersebut.
Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB.
Perbincangan juga telah diadakan dengan Peguam Negara Malaysia yang meminta supaya SPRM membuat penjelasan mengenai perkara ini sementara siasatan masih dijalankan.
Sehubungan itu, SPRM juga ingin memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan diminta untuk memberi penjelasan mengenai sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM.

SIASATAN MENGENAI SRC INTERNATIONAL
SPRM juga ingin mengulangi bahawa siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan oleh SPRM. Siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International merupakan dua perkara yang berbeza.
Oleh itu, SPRM mahu menekankan bahawa SPRM tidak pernah menyatakan kes yang disiasat ini telah ditutup. Sebaliknya, SPRM hanya menyatakan ia bukan dari wang 1MDB.
Diharap penjelasan ini akan memberi gambaran sebenar mengenai isu yang disiasat oleh SPRM. SPRM sekali memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional. Adalah diharapkan semua pihak memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh tanpa membuat sebarang spekulasi.
Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa fear or favour. SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan.

KEDUDUKAN PASUKAN PETUGAS KHAS
Mengenai persoalan mengapa SPRM yang membuat kenyataan media pada 3 Ogos 2015 tanpa penglibatan Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia, ingin dijelaskan bahawa SPRM membuat pengumuman tanpa melalui Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara Malaysia, bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas. Sebaliknya agensi-agensi penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing.
Di peringkat SPRM, pasukan petugas khas dalaman bagi menyiasat kes SRC International dan sumbangan derma RM2.6 bilion masih diteruskan.
Agensi masing-masing mempunyai pasukan petugas khas dalaman mereka sendiri dan akan mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam Negara Malaysia untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
5 OGOS 2015

Hasil Siasatan Berkaitan Dana RM2.6 Bilion (Sumbangan Penderma) - SPRM

Hasil Siasatan Berkaitan Dana RM2.6 Bilion


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin memaklumkan bahawa semasa Pasukan Petugas Khas ditubuhkan, siasatan SPRM hanya memfokus ke atas isu berkaitan dengan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala Polis Diraja Malaysia pula menjalankan siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Bank Negara Malaysia pula menjalankan siasatan berkaitan dengan kaedah dan tatacara kewangan.
 
Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara. Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB.
 
Walau bagaimanapun, siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih berjalan oleh SPRM.
 
SPRM sekali memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional. Diharap semua pihak akan bersabar dan memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh.
 
Mengenai siasatan polis ke atas pegawai-pegawai SPRM, SPRM akan memberi kerjasama sepenuhnya.
 
SPRM mengulangi bahawa tiada pegawai SPRM yang terlibat dalam konspirasi mahu menjatuhkan Kerajaan. Tindakan yang diambil oleh SPRM adalah jelas semata-mata bagi menjalankan tugas dan fungsinya sebagai sebuah Suruhanjaya yang bebas.
 
Tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk Kerajaan.
 
Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa fear or favour dan tanpa mengira siapa yang terlibat. SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan.
 
SPRM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan mengenai perkara ini selesai.
 
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
3 OGOS 2015




--

SPRM MAsih Jalankan Siasatan Isu SRC International, Kertas Siasatan Belum Dihantar Ke Pejabat Peguam Negara



SPRM MASIH JALANKAN SIASATAN ISU SRC INTERNATIONAL, KERTAS SIASATAN BELUM DIHANTAR KE PEJABAT PEGUAM NEGARA

Merujuk kepada laporan portal Sarawak Report berkaitan kewujudan draf kertas pertuduhan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa kertas siasatan berkaitan isu SRC International Sdn Bhd masih belum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.


SPRM menegaskan siasatan berkaitan SRC International masih berjalan. Oleh itu, tidak timbul isu sudah ada draf kertas pertuduhan berkaitan kes yang sedang disiasat ini.

Sebagaimana disebutkan dalam kenyataan media bertarikh 30 Julai 2015, bagi melengkapkan siasatan berkaitan isu SRC International Sdn Bhd, SPRM masih lagi mengesan beberapa saksi penting.

Pada masa yang sama, SPRM menekankan bahawa SPRM tidak akan mendedahkan apa-apa maklumat berkaitan hasil siasatan kepada mana-mana pihak kerana ia satu tindakan bertentangan dengan undang-undang. SPRM juga mengulangi bahawa tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah, dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk Kerajaan.

Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM akan menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
31 JULAI 2015

--

SPRM Nafi Pegawai SPRM Terlibat Konspirasi Jatuhkan Kerajaan



KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM

SPRM NAFI PEGAWAI SPRM TERLIBAT KONSPIRASI JATUHKAN KERAJAAN

Merujuk kepada kenyataan dalam blog-blog yang menyatakan bahawa pegawai-pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan, SPRM ingin menegaskan bahawa segala tohmahan ini adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Tindakan yang diambil oleh pegawai-pegawai kanan SPRM adalah jelas bagi menjalankan tugas mereka sebagai pegawai SPRM, dan telah mendapat arahan dan dalam pengetahuan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa fear or favour dan tanpa mengira siapa yang terlibat. SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan.

SPRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa SPRM tidak terlibat dalam siasatan kes 1MDB sebaliknya hanyamenyiasat kes SRC International Sdn Bhd. Ini adalah keputusan yang telah dicapai oleh Pasukan Petugas Khas, yang dianggotai oleh ketua Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan SPRM, yang menerima panduan dan nasihat perundangan daripada Tan Sri Abdul Gani Patail yang ketika itu Peguam Negara.

Dalam kes SRC International Sdn Bhd, sama ada dengan atau tanpa Pasukan Petugas Khas, setelah ketiadaan Tan Sri Abdul Gani, SPRM memberi jaminan bahawa siasatan ke atas SRC International akan diteruskan sehingga siasatan lengkap sepenuhnya sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan keputusan.

Bagi melengkapkan siasatan SRC International Sdn Bhd, SPRM masih lagi mengesan beberapa saksi penting.

SPRM memohon kepada orang ramai agar memberi ruang kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
30 JULAI 2015

--

SPRM Tahan Seorang Ahli Lembaga Pengarah Bantu Siasatan 1MDB



SPRM TAHAN SEORANG AHLI LEMBAGA PENGARAH BANTU SIASATAN 1MDB

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang lelaki yang merupakan ahli lembaga pengarah syarikat pembinaan semalam. Dia yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini. Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.


Lelaki ini ditahan berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas, yang terdiri daripada SPRM, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, berkaitan isu 1MDB.

Siasatan ke atas lelaki ini dijalankan mengikut Akta SPRM 2009.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
21 JULAI 2015


s

Recent Posts Widget

.

.