Showing posts with label Melaka. Show all posts
Showing posts with label Melaka. Show all posts

Ratu Cantik Dunia di Melaka - Kintan Man



Laporan Media
DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI MELAKA

RATU CANTIK DUNIA DI MELAKA

Dewan Muslimat PAS NEGERI MELAKA memandang serius diatas penganjuran Program Kerajaan Negeri Melaka yang menghadirkan 52 orang ratu cantik dunia dinegeri ini.

Tujuan kerajaan Negeri kononnya untuk menarik peloncongan dinegeri ini.

DMPNM amat menyesali Usaha serta tindakan yang diambil oleh kerajaan Negeri kerana dengan itu mengiktraf Pertandingan RATU CANTIK DUNIA yang secara jelas mengeksploitasi fitrah maruah wanita sekaligus yang tentunya terbukti melanggar Syariat Allah.

Oleh itu DMPNM yang mendukung Dasar PAS iaitu Islam membantah sekeras-kerasnya Penganjuran Program tersebut.

Sesungguhnya Islam mengangkat lagi memartabatkan maruah Wanita.

Banyak lagi usaha yang boleh diambil oleh kerajaan negeri untuk mempromosi Melaka kelestariaan menjana pendapatan negeri melalui bidang perlancungan seperti contoh menaik taraf tempat-tempat pelancungan untuk menarik lebih ramai pelancung, mempromosikan budaya Gotong Royong dikalangan masyarakat Melayu.

Dengan ini PAS Melaka melalui DMPNM menyatakan kesediaan serta kemampuan untuk mentadbir negeri Melaka sesuai dengan lunas-lunas Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS FASAL 5(1)
TUJUAN yang jelas menyebut iaitu:-

Memperjuangkan wujudnya didalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai -nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Hjh.Kintan binti Man
KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS
NEGERI MELAKA

Keputusan pelik kerajaan negeri Melaka. - Jauhar Muhammad Dawi



Keputusan pelik kerajaan negeri Melaka.

Amat menduka citakan umat Islam amnya negeri Melaka apabila kerajaan negeri Melaka menghalang kuliah ustaz Azhar dan vape tetapi dalam masa yang sama menghalalkan ratu cantik tourism yang sudah tentunya hukumya haram bagi orang Islam untuk menghadiri dan sewenang- wenangnya di luluskan.


AMANAH Melaka ingin penjelasan secara terperinci akan tindakan kerajaan negeri yang kami rasakan satu tindakan yang tidak adil dan memalukan Islam.

1. Di manakah rujukan agama dan exco agama atas dua perkara di atas sedangkan bersama-sama menghadiri dalam program kemaksiatan adalah haram.

2. Kenapa kuliah agama contoh salah satunya ustaz Azhar Idrus di larang untuk memasuki masjid tetapi kegiatan maksiat dan hiburan di benarkan.

3. Apakah bentuk atau syarat-syarat pertandingan ratu cantik tourism ini di benarkan di negeri ini agar rakyat amnya umat Islam memahami akan kelulusan tersebut.

5. Adakah jabatan mufti di rujuk dari segi syarat-syarat dan jika ada di mana rujukan tersebut.

AMANAH Melaka mahu jawapan ini di berikan kepada rakyat Melaka supaya kita mengatahui bagaimana keputusan kerajaan negeri Melaka meluluskan agar persepsi negatif tidak berlaku kepada negeri kami. Sekiranya Dato Idris Haron tidak keberatan boleh menjemput kami mendengar taklimat dari semua pihak terutamanya dari mufti Negeri Melaka dalam menangani isu-isu seperti di atas.

Jauhar Muhammad Dawi
Timbalan pengerusi AMANAH Melaka.

Amaran Keras Buat Najib : Jangan Gadaikan Kepentingan Negara Untuk Selesaikan Hutang 1MDB - Adeysham Nor



KENYATAAN MEDIA
PEMUDA AMANAH MELAKA
6 NOVEMBER 2015

AMARAN KERAS BUAT NAJIB: JANGAN GADAIKAN KEPENTINGAN NEGARA UNTUK SELESAIKAN HUTANG 1MDB


1. Pemuda AMANAH Melaka mengambil perhatian khusus mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA), Datuk Seri Maximus Ongkili yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 5 November 2015 bahawa ada cadangan untuk membenarkan 1MDB melupuskan semua aset IPPnya kepada syarikat yang dimiliki 100% oleh negara asing.

2. Ini bertentangan dengar dasar kerajaan sedia ada bahawa had maksimum ekuiti pemilikan asing yang dibenarkan bagi aset-aset penjanaan elektrik di negara ini ialah 49% sahaja dan 51% lagi ekuiti pemilikan hendaklah dikawal oleh syarikat tempatan.

3. Kenyataan Datuk Seri Maximus Ongkili itu amat merbahaya sekali kerana ia seolah-olah mahu membenarkan desas-desus yang mengatakan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sanggup membatalkan peraturan had pemilikan asing itu demi membantu 1MDB mendapatkan harga bidaan yang lebih tinggi dari yang harga yang telah ditawarkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

4. Laporan media semalam menyatakan; harga yang dibida oleh TNB ialah sekitar RM8 bilion iaitu hampir sama dengan harga nilaian pasaran semasa. Daripada maklumat yang kami perolehi, harga bidaan pencabar terdekat TNB adalah dari satu konsortium di antara syarikat gergasi China (China General Nuclear Power Corp Ltd) dan syarikat gergasi Qatar (Nebras Power QSC) ialah RM10 bilion iaitu RM2 bilion lebih tinggi dari harga pasaran.

5. Persoalannya kini, apakah pentadbiran Datuk Seri Najib akan mencari helah untuk membenarkan bidaan daripada syarikat asing tersebut walaupun ia jelas mahu melanggar peraturan sedia ada? Apakah pentadbiran Datuk Seri Najib akan menukar undang-undang sedia ada untuk membolehkan sektor elektrik negara kini dibuka kepada syarikat yang 100% dimiliki pegangan asing?

6. Justeru itu, Pemuda AMANAH Melaka ingin memberikan amaran keras kepada Datuk Seri Najib; jangan sesekali terfikir untuk menjual kepentingan strategik negara untuk menutup lubang hutang 1MDB. Pihak kami tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan “Kempen Selamatkan Aset Negara” ke seluruh negeri ini sekiranya Datuk Seri Najib berkeras mahu menggubah peraturan pemilikan ekuiti asing dalam sektor penjanaan tenaga elektrik di negara ini.

7. Dengan ini, Pemuda AMANAH Melaka juga ingin mengajak semua rakyat Negeri Melaka ke Dewan Sekolah Pay Fong pada 12 November ini (Khamis) jam 8 malam untuk kami paparkan secara lebih terperinci mengenai isu 1MDB ini dalam satu forum yang akan dikendalikan oleh Pakatan Harapan negeri Melaka bersama-sama dengan Dr Zulkefli, Tony Pua dan juga Rafizi Ramli.

Sekian, terima kasih.

ADEYSHAM NOR
Pengarah Komunikasi,
Pemuda AMANAH Melaka.


Sokong Tolak Belanjawan Dan Usul Undi Tidak Percaya - Sofi Wahab



SOKONG TOLAK BELANJAWAN DAN USUL UNDI TIDAK PERCAYA

Parti AMANAH Negara Negeri Melaka menyokong keputusan Pakatan Harapan yang menegaskan ia akan tetap dengan pendirian meneruskan usul untuk menolak Belanjawan 2016 dan membentang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penolakan terhadap Belanjawan 2016 adalah sesuatu yang wajib dilakukan kerana jelas sekali belanjawan tersebut tidak mampu menyelesaikan kemelut politik, pentadbiran, ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Isi kandungan belanjawan itu hanyalah ulangan kepada belanjawan tahun lepas yang ternyata gagal menyelesaikan masalah hutang negara, ekonomi negara yang semakin tenat, penyelewengan dan pembaziran wang negara.


Malah isu-isu besar yang membelenggu negara seperti 1MDB, kejatuhan nilai ringgit, rasuah, ketirisan dan kebocoran wang negara juga tidak disebut dengan jelas dan terang tentang penyelesaiannya di dalam belanjawan tersebut. Ini semua sudah cukup untuk menjustifikasikan mengapa Belanjawan 2016 wajib ditolak oleh semua Ahli Parlimen bukan sahaja dari pembangkang malah dari penyokong kerajaan sekalipun.

Kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak juga terbukti dibelenggu oleh skandal demi skandal yang gagal dijawab dan dijelaskan kepada rakyat. Maka Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang lain serta parti-parti komponen BN wajib menolak belanjawan tersebut.

Sebab-sebab di atas juga sudah cukup dan jelas untuk menjustifikasikan keputusan Pakatan Harapan untuk mengusulkan undi penolakan terhadap belanjawan 2016 dan membuat usul tidak percaya kepada Perdana Menteri yang gagal memimpin negara ke arah yang lebih baik dari semua aspek.

Belanjawan 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini sepatutnya menggariskan perkara-perkara asas seperti penyelesaian konkrit terhadap kemelut ekonomi negara, kejatuhan nilai ringgit, isu 1MDB, hutang negara yang semakin meruncing, kenaikan harga barang, pembasmian kemiskinan, masalah pengangguran dan lain-lain perkara asas.

Walaupun perkara-perkara di atas adalah perkara biasa dan asas tetapi kerajaan masih gagal menanganinya sejak puluhan tahun lalu. Malah belanjawan 2016 seperti juga tahun-tahun lepas adalah belanjawan defisit.

Mohd Sofi Abdul Wahab - Pengarah Komunikasi dan Media
Parti AMANAH Negara
Negeri Melaka.

AMANAH Melaka Memohon untuk menangguhkan penubuhan PH di peringkat Negeri Melaka



KENYATAAN AKHBAR AMANAH MELAKA

Parti AMANAH Negara Negeri Melaka (Amanah Melaka) mengucapkan tahniah kepada kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) kerana sepakat menubuhkan gabungan baharu yang diyakini membawa harapan baharu kepada kehidupan rakyat dan negara Malaysia.

AMANAH Melaka juga menghormati keputusan kepimpinan tertinggi yang mengarahkan setiap negeri menubuhkan Pakatan Harapan (PH) di negeri masing-masing.


Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan AMANAH Melaka yang bermesyuarat pada hari Khamis, 15 Oktober 2015 telah mengambil pendirian:

1. Memohon untuk menangguhkan penubuhan PH di peringkat Negeri Melaka

2. Penangguhan ini dipohon kerana AMANAH Melaka ingin mendapatkan kepastian tentang status parti sahabat PH yang mengadakan kerjasama dengan PAS: dalam masa yang sama PAS turut mengadakan kerjasama dengan Perkasa.

3. AMANAH Melaka merasakan bahawa keputusan mana-mana parti komponen PH untuk menjalin kerjasama dengan PAS yang mesra Perkasa perlu diperjelaskan kerana semua rakyat tahu bahawa Perkasa adalah NGO yang bersifat perkauman dan mendokong aspirasi Umno dalam perjuangannya. Malah, rata-rata pimpinan Perkasa adalah bekas pemimpin atau masih memegang jawatan di pelbagai peringkat dalam parti tersebut.

4. Sayugia diingatkan bahawa Perkasa telah banyak mengguris hati rakyat Malaysia dengan kenyataan dan tindakan bersifat perkauman melampau, di samping seringkali menyokong dasar pemerintahan Umno/BN yang merugikan rakyat.

5. Oleh hal yang demikian, AMANAH Melaka mengharapkan kepimpinan AMANAH Nasional dapat mempertimbangkan permohonan kami ini.

Sekian, terima kasih.

Hj Yuhaizad Abdullah
Setiausaha
AMANAH Melaka

Apa Benda TTPA ini? Adeysham Nor



Apa benda TPPA ni?

TPPA ialah Perjanjian Perdagangan Bersama di antara 11 buah negara dgn Amerika Syarikat.

Malaysia, Brunei, Singapura, Vietnam & Jepun adalah antara negara di Asia yang terlibat.

TPPA menjadi perdebatan hangat kerana butiran penuh perjanjiannya telah dan masih dirahsiakan.

Hanya ada beberapa sahaja butiran perjanjian TPPA berjaya dibocorkan.

Sehingga ke hari semalam (5/10/2015), butiran penuh perjanjian TPPA masih lagi DIRAHSIAKAN dan Kerajaan Malaysia pula telah pun bersetuju untuk menerima perjanjian TPPA.

Apa yang akan berlaku selepas ini adalah butiran penuh perjanjian TPPA ini akan dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan.

Sekiranya Parlimen Malaysia meluluskan perjanjian ini, maka SAH lah Malaysia menerima perjanjian ini.

Antara isi perjanjian TPPA yang berjaya dibocorkan adalah mengenai isu perolehan kerajaan.

Melalui TPPA, syarikat dari luar negara boleh masuk membida mana² tender kerajaan. Syarikat tempatan & bumiputera pula mesti bersaing dengan syarikat luar atas nama liberalisasi & keterbukaan pasaran ekonomi.

Persoalannya nanti, apakah jaminan 'keistimewaan' syarikat tempatan & bumiputera selama ini akan terpelihara kerana kerajaan Malaysia boleh diheret ke Mahkamah Khas di Geneva sekiranya syarikat luar tidak berpuas hati dengan keputusan tender tersebut diberikan kepada syarikat tempatan.

Contoh kedua, syarikat luar seperti syarikat rokok & arak boleh menyaman kerajaan Malaysia sekiranya mereka mendapati Kempen Tak Nak Merokok atau Kempen Jauhi Arak dirasakan tidak menguntungkan syarikat mereka.

Malah Kempen Beli Barangan Tempatan & Kempen Boikot McD pun mesti dihapuskan kerana ianya tidak sesuai dengan konsep liberalisasi ekonomi.

Contoh ketiga, anda tidak lagi boleh sewenang-wenangnya memuat turun lagu, video, perisian atau bahan bacaan dari internet kerana semua bahan itu dilindungi oleh TPPA.

Aktiviti internet anda mesti diselia oleh penyedia perkhidmatan internet dan anda boleh didakwa jika terbukti anda telah memuat turun lagu Frozen untuk anak anda tanpa kebenaran pihak Walt Disney.

Daripada butiran TPPA yang bocor itu, kita juga faham bahawa industri Malaysia juga boleh masuk pasaran Amerika.

Maksudnya, DVD filem Polis Evo pun boleh masuk ke pasaran US & Jepun.

Persoalannya, mampu ke DVD Polis Evo laku keras di sana berbanding ribuan tajuk DVD filem US & Jepun (termasuk filem Maria Ozawa) yang boleh masuk ke pasaran negara ini secara bebas?

Ini hanyalah sekelumit contoh² risiko yang terpaksa kita hadapi apabila kita SAH menyertai TPPA.

Tidak dapat dinafikan, ada juga kelebihan yang boleh kita perolehi dari TPPA ini. Misalnya, kita boleh mencari peluang pekerjaan & pelaburan di US & Jepun.

Namun persoalannya nanti, adakah kita sanggup menikmati semua kemewahan itu tapi dalam masa yang sama kita mesti melacurkan maruah dan masa depan anak cucu kita?

Sudah tiba masanya, masa depan negara ini ditentukan oleh kita semua secara kolektif di parlimen ataupun di medan² ilmu dan bukannya melalui satu permainan golf yang kemudiannya diikuti dengan acara membeli belah di kota New York.

Adeysham Nor
Pengarah Komunikasi,
Pemuda AMANAH Negeri Melaka.

Tolak Pemimpin Kurang Ajar dan Rasis - Sofi Wahab



PRESS STATEMENT - TOLAK PEMIMPIN KURANG AJAR DAN RASIS

Rakyat Malaysia seharusnya menolak pemimpin dan parti yang kurang ajar yang mengeluarkan ucapan untuk mahu 'melempang' kaum Cina. Ucapan tersebut memang kurang ajar, biadap dan tidak bertamadun.

Mana mungkin seorang pemimpin yang memegang jawatan bertaraf timbalan menteri boleh mengeluarkan kenyataan biadap dan kurang ajar seperti itu. Ianya jelas mengguriskan hati bukan sahaja kaum Cina malah semua rakyat Malaysia yang kita hidup dalam suasana harmoni dan aman damai.


Kenyataan seperti ini adalah kenyataan seorang yang angkuh dan samseng yang langsung tidak tahu menilai dan menghargai perasaan orang lain.

Kenyataan itu juga boleh menimbulkan suasana tidak baik di kalangan rakyat Malaysia yang majmuk dan berbilang agama dan kepercayaan.

Saya menggesa pemimpin berkenaan menarik balik dan memohon maaf dengan seberapa segera bagi menjernihkan kekeliruan yang timbul dan mengekalkan suasana harmoni yang sedia ada.

Saya menyokong kenyataan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik menyifatkan kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina yang dibuat Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai "kurang ajar".

Malah, Dr Ling juga berkata anggota Parlimen Pasir Salak itu perlu memohon maaf kepada rakyat Cina di negara ini atas keterlanjurannya.

Khamis lalu, Tajuddin mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang melawat Jalan Petaling pada 25 September lalu.

Beliau kemudian menafikan membuat kenyataan begitu.

Lawatan Huang itu dilakukan sehari sebelum perhimpunan berbau perkauman dianjur pihak tertentu yang membuat beberapa desakan bagi 'mengubah' keadaan di pusat komersial didominasi peniaga Cina itu.

Huang didakwa menimbulkan kontroversi dengan mengeluarkan kenyataan bahawa negara China menentang sebarang bentuk ekstremisme dan rasis terhadap kaum tertentu.

Sofi Wahab
Pengarah Komunikasi Parti AMANAH Negara Negeri Melaka
Pengerusi Parti AMANAH Negara Kawasan Bukit Katil

Recent Posts Widget

.

.