Antara Politik, Bisnes dan Kuasa
1. Ada rakan yang bertanya kenapa saya begitu lantang mengkritik kepimpinan politik semasa? Kenapa orang teknikal seperti saya masuk campur dalam hal politik? Tak takut ke?
2. Saya sebenarnya tak berminat untuk mengambil bahagian dalam percaturan politik. Saya tidak menjadi ahli mana-mana parti politik. Namun saya sentiasa memerhati walaupun tidak pernah meluahkan perasaan atau pendirian sebelum ini. Saya cuma seorang pengundi senyap.
3. Saya memang tidak bersetuju bila bisnes dikaitkan dengan politik. Saya tidak bersetuju dengan amalan “know-who” yang melampau, yang menyebabkan ramai peniaga yang jujur tertindas dan diketepikan. Inilah juga menyebabkan hanya syarikat tertentu sahaja menjadi kaya raya. Saya juga tidak bersetuju dengan wujudnya syarikat proksi parti politik yang menyumbang dana politik, lebih-lebih lagi bila parti yang berkuasa juga terlibat dengan pemberian kontrak yang berkaitan.
4. Saya percaya usaha kerajaan adalah ikhlas pada zaman selepas merdeka dahulu. Kita semua diberi pendidikan dan bantuan sehingga ke peringkat setinggi yang mungkin. Kita amat berterima kasih. Tanpa usaha positif sedemikian, saya mungkin masih bertani atau berkebun - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Syukur Alhamdulillah.
5. Tentunya, setelah mengenali dunia dan menimba ilmu, dapat membezakan antara baik dan buruk, antara adil dan zalim, antara kejujuran dan penipuan, kita semua ingin menyumbang untuk mempertahankan nilai hidup yang baik sedaya upaya kita. Kita ingin melihat anak-cucu kita hidup dengan lebih selesa, aman dan damai dalam persekitaran yang adil dan saksama.
6. Saya kecewa dengan perubahan amalan pemimpin yang terpilih zaman sekarang - mengejar kekayaan dan kuasa dengan mengorbankan amanah dan keadilan. Pada dekad ini keadaan mencapai satu tahap yang paling parah. Saya percaya jika tiada perubahan dilakukan, perkara yang lebih buruk akan menimpa kita. Inilah yang membimbangkan saya. Inilah satu-satunya tanah air yang kita ada. Saya tak ingin melihat negara ini ditadbir seperti satu pertubuhan mafia.
7. Kisah 1MDB adalah kemuncaknya sekarang. Pemusatan kuasa pada PM menjadi punca segala-galanya. Undang-undang diketepikan. Penguasa undang-undang disekat. Pengkritik disisihkan. Kuasa diguna untuk mengumpul wang. Wang diguna untuk menambahkan kuasa. Sampai bila pusingan ini akan berterusan?
8. Itulah sebabnya saya menulis mencanangkan perubahan. Bila dianalisis secara keseluruhan, perlembagaan kita perlu dipinda. Sistem demokrasi perlu diperkukuhkan. Badan eksekutif dan perundangan perlu di asingkan sepenuhnya. PM perlu dipilih secara berasingan dari ahli parlimen. 9. Tapi bagaimana? Inilah cabaran kita sekarang ..
s
IDEA ORANG TEPI JALAN : 14 LANGKAH PEMULIHAN EKONOMI UNTUK PERDANA MENTERI
Rosaknya ekonomi pada hari ini sudah jadi sistemik. Ada beberapa langkah besar yang mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai bajet belanjawan berimbang dan keluar dari belenggu defisit setelah sekian lama. Hutang negara boleh langsai dalam tempoh kurang 7 tahun. Juga dalam kurang 7 tahun itu nilaian matawang kita akan lebih tinggi dari USD.
Tidak mustahil langsung langkah-langkah ini boleh dilakukan.
Berikut ialah langkah Perdana Menteri pada hari pertama masuk ke pejabat Perdana Menteri nanti (Jika PM baru) ataupun untuk PM sekarang.
1. Optimize perbelanjaan kerajaan. Bangunan kerajaan, fasiliti kerajaan semuanya mewah-mewah belaka. Namun masih lagi nak meeting pergi ke hotel dan resort makan angin. Optimize sistem kerja yang dilihat mampu mengurangkan sekitar 30-40% penggunaan tenaga manusia. Kurangkan recruitment baru sehingga bilangan optimum dalam kerajaan sudah berlaku. Contohnya, seorang pegawai perlukan 3 orang staff bawahan untuk melakukan tugasan yang sebenarnya jika mereka itu kerja di private company semua dia boleh buat sendiri. Boleh juga tawarkan sebahagian yang kurang perlu dalam usaha no.4 (di bawah).
2. Banteras rasuah dari sekecil-kecil "duit rokok" sehingga sebesar-besar "derma". Boleh juga dicadangkan setiap perasuah dikenakan hukuman mati yang menakutkan supaya semua berhenti memberi dan menerima rasuah dalam apa bentuk sekalipun.
3. Kurangkan import bahan kurang perlu dan lebihkan kepada bahan perlu dan mentah sahaja. Proseskannya di Malaysia sebelum dijual semula. Elakkan import bahan siap dan kita sekadar terus buka dan guna. Dengan cara ini kita mampu kurangkan belanja keluar dan meningkatkan produktiviti dalam negara juga menambahkan nilai dalam eksport barang siap.
4. Bangunkan keperluan makanan negara 90% keluaran dari tanah Malaysia supaya import dapat dikurangkan dan lebihan dapat diproses sebelum diexport. MATAWANG TERBESAR SEMASA PEPERANGAN IALAH MAKANAN. Beras kita pun masih import dari Thailand, India dan Pakistan. Ikan kita pula ada masih beli dari India, Thailand dan Bangladesh. Usahakan sesuatu agar kita keluarkan makanan sendiri untuk keperluan kita sendiri. Jika ada lebihan, kita proses dahulu dan kita exportnya. Bangunkan pertanian semula kepada pertanian berasaskan makanan dan bukan sekadar komoditi seperti getah dan sawit. Utamakan pertanian dan penternakan yang menjadi sumber makanan kita. Selagi kita masih import barang-barang KEPERLUAN ASAS dari negara luar, selagi itu ekonomi kita seperti lembu yang dicucuk hidung. Tertambat dan tidak mampu bebas merdeka. Ini bukan soal import lebih murah dari keluarkan sendiri. Sekali kita bersuara nak laksana hudud kemudian "mereka" kata BUAT SEKATAN EKONOMI kepada Malaysia maka bercatu pulalah makanan kita nanti.
5. Lebihkan usaha export barangan siap dan bukan barangan mentah dan point 3-5 membantu banyak dalam menaikkan nilai matawang kita. Kita rugi export bauxite kepada China kemudian China proses jadi aluminium yang kita beli semula dengan harga tinggi. Atau jual air kepada Singapura dan ditapis di sana lalu dijual semula kepada kita dengan harga tinggi. Negara Scandinavia kurang mengexport kayu balak putih sebaliknya dijadikan dahulu perabot sebelum dijual ke seluruh dunia. Kalau tak ada orang nak beli pun, kita tidak rugi apa-apa selagi semuanya cukup untuk kegunaan dalam negara dahulu.
6. Balik kepada asas semula. Event-event belanja besar dalam sukan juga hiburan yang tidak memberi justifikasi pembangunan ekonomi boleh ditangguhkan dahulu untuk memberi laluan kepada pemulihan ekonomi. Balik kepada asas bila kita tiba-tiba jadi orang miskin gelandangan di tepi jalan ketika itu yang kita perlu fikir lebih ialah makanan, minuman dan survival. Bukannya saluran Sukan di Astro atau sanggup tidak makan semata-mata nak tengok JDT main bola. Back to basic...yang kurang perlu kita letak tepi sebentar.
7. Kobarkan semangat bijakpandai yang sudah puluhan tahun kita hantar mereka belajar di negara-negara pencipta untuk memulakan ciptaan dan pengeluaran sendiri hasil inovasi kita sendiri sehingga ciptaan kita menjalar di seluruh dunia. Tidak mustahil kerana South Korea jauh ke belakang berbanding Malaysia satu ketika dahulu kini dengan Samsung, Hyundai dan Kia sahaja telah menerobos besar ekonomi dunia. Dah lama kita belajar di luar negara, dah sampai masanya kita pula menjadi lebih baik dari mereka.
8. Pendidikan rendah dan menengah dirombak semula dengan melebihkan "Problem-based Education" berbanding "Syllibus based learning". Syllibus hanya sekadar guidelines pendidikan dan bukan satu senaraipanjang apa yang perlu dihafaz sebelum dapat sijil peperiksaan.
9. Mengangkat aliran kemahiran setara dengan pendidikan akademik di universiti. Budak nakal tak pandai belajar bukannya orang bodoh. Mereka hanya kurang sesuai dengan sistem pendidikan nasional yang memulakan pendidikan dengan TEORI dahulu barulah PRAKTIS. Kerana golongan yang dikatakan bodoh ini dan masuk dalam bidang kemahiran sebenarnya belajar dengan penguasaan PRAKTIS dahulu barulah TEORI. Kedua-duanya sama sahaja. Jika satu hari nanti Menteri Pendidikan ialah orang dari stream Kemahiran, boleh jadi diterbalikkan pendidikan rendah dan menengah maka akan jadilah budak-budak bodoh yang kononnya masuk kemahiran itu BUDAK-BUDAK PANDAI. Begitu juga sebaliknya. Tiada pembaziran modal daya manusia sepatutnya. PENDIDIKAN YANG BAIK IALAH PEMANGKIN NEGARA MAJU.
10. Setelah kita memiliki semuanya sendiri. Cukup makanan, cukup pakaian dan cukup pendidikan serta kita telah bangunkan rangkaian export hasil negara kita YANG PERLU kepada negara-negara lain maka ketika itu wajarlah kita gunakan semula dinar & dirham sebagai matawang SEBENAR bukannya sekadar kertas yang tertulis nilai tetapi tidak bernilai. Jika mahu berurusan dengan Malaysia gunakanlah dirham dan dinar. Menyedihkan sebenarnya, jika hari ini seluruh negara Islam di dunia menggunakan matawang dirham dan dinar semula, ekonomi dunia akan kita pegang semula dan tidak lagi dimanipulasi oleh nilaian nombor yang dicetak atas kertas lagi.
11. Hentikan dahulu pembangunan projek-projek baru yang tidak menjadi stimulasi ekonomi. Lebihkan pada pembangunan manusia kerana manusia itu yang akan membangunkan prasarana kita nanti. Jangan bangunkan prasarana kelas dunia tetapi minda rakyat masih di kelas kedua.
12. Cadangan hukuman mati kepada penagih dadah yang telah dipulihkan tetapi mengulangi penagihan. Mereka juga memang mahu mati cepat, kita bantulah sikit. Kerana ada penagih dadah maka sentiasa adalah pengedar dadah. Dihukum mati sekalipun pengedarnya, tetapi penagihnya itu banyak maka ia jadi industri yang mewah. Jenayah akan jadi rendah kerana tidak ramai orang mencuri dan meragut untuk beli susu anak berbanding untuk beli dadah.
13. GST boleh dimansuhkan kerana ia tidak perlu dalam pemulihan ekonomi negara menuju kepada negara dengan belanjawan berimbang. Jika kita mampu kurangkan import dan tingkatkan export lebihan pakai kita, nescaya GST tidak diperlukan untuk menjana pendapatan negara. Dengan hasil negara sedia ada yang dijimatkan kita mampu sebenarnya membangunkan sarana untuk pengangkutan awam yang baik, jalanraya yang cantik, pendidikan percuma dan perkhidmatan kesihatan yang effisyen. Jika kita lakukan step 10 itu nescaya kita tidak perlukan juga GST. Saya tak boleh jelaskan lanjut hal ini kerana ramai orang bank akan marah (akan dijelaskan dalam artikel lain).
14. Pilihanraya hari ini sudah jadi satu pesta rasuah besar-besaran. Mana-mana parti pun semua ada PENAJA. Penaja ini akan menaja parti itu untuk menang dan akan dapat pulangannya selepas mereka menang. Sama macam bookie bola punya kerja. Setiap pilihanraya mereka memerhati parti mana yang boleh menang maka parti itulah banyak penaja. Jika RASUAH BESAR-BESARAN ini dapat dibanteras dan kempen hanya sekadar ucapan dengan sedikit poster saya rasa tidak ada masalah. Yang masalahnya ialah pemimpin datang ada 200 motorsikal mengiring dan setiap satu dibayar RM20. Tukang gantung bendera dan poster semua dapat upah. Kalau satu Malaysia duit-duit itu dihimpun jadi juga billion RM. Sudah-sudahlah rasuah bila nak pilihanraya sahaja dapat jalanraya baru atau dapat bangunan baru, projek baru dan macam-macam lagi. Bila semua parti tidak menggunakan wang dalam pilihanraya, maka rakyat akan memilih berdasarkan planning pemimpin itu. Dan parti-parti tak perlulah nak terima tajaan atau derma dari mana-mana pihak sebagai modal pilihanraya. Jika dilanggar juga...wajar elok mereka dihukum dengan hukuman seperti di dalam point nombor 2.
(sebenarnya ada lagi banyak langkah...tetapi yang 14 dahulu sebagai pendahuluan)

KESIMPULANNYA
SEMUA CADANGAN DI ATAS boleh dilakukan tanpa mengeluarkan belanja BARU yang besar cukuplah sekadar kita jimatkan di bahagian tertentu dan gunakannya untuk memperbaiki apa yang kita kurang. Memang nak ubah haluan sebuah kapal besar yang sedang tenggelam bukannya mudah. Memang perlukan banyak pengorbanan.
Saya harap ini boleh jadi salah satu input kepada bakal Perdana Menteri yang baru nanti ATAUPUN input kepada Perdana Menteri sekarang. Tak pasti pula PM sekarang berminat nak kisah sangat kerana beliau punyai ratusan penasihat-penasihat yang "hebat".
Saya bukan menulis kerana nak bertanding dalam politik tetapi sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa memikirkan apa yang boleh disumbangkan kepada negara untuk membangunkan dan memulihkannya. Kebanyakannya dah kami lama praktik dalam organisasi kami sebab itu kita boleh cakap kerana kita cakap dan telah buatnya. Cuma organisasi kami bukan 30 juta orang tetapi hanya 230 orang sahaja.
Selagi ekonomi kita masih berkonsep sarang labah-labah, survival dan kedaulatan kita ditentukan oleh jaringan yang bersangkutan kepada pokok-pokok lain. Jika pokok-pokok itu putuskan jaringan itu maka sarang kita akan mengecil dan jika separuh dari semua jaringan itu diputuskan, kita sudah jadi lumpuh.
Cadangan di atas ini lebih berkonsepkan SARANG LEBAH. Satu kepimpinan yang tersusun dan penghasilan madu yang banyak. Lebah pencari madu khabarnya tidak makan madu yang dicari selagi ia tidak sampai dikumpulkan di sarangnya dahulu.
Kena malu pada lebah jika kita bekerja untuk negara, tetapi semasa bekerja kita dah "makan" hasilnya dahulu dan yang baki-baki baru kumpul dalam negara.
Semoga Malaysia akan terus aman dan makmur pula ekonominya. Bersatu pula politiknya dan cantik pula sosialnya.
SAIFUL NANG
Rakyat Malaysia Yang Tiada Niat nak Jadi PM
Misteri 1MDB dan telaga minyak Terengganu: sejauh mana kemungkinannya? (Bahagian 1)

oleh Wan Ahmad Fayhsal
Baru-baru ini bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (Mat Said) telah bersumpah atas nama Allah bahawa dana pelaburan negeri Terengganu iaitu Terengganu Investment Authority (TIA) yang telah dibawa ke persekutuan dan ditukar nama menjadi 1MDB pada hujung 2009 telah berhajat untuk cagarkan telaga minyak di perairan Terengganu untuk meraih dana hutang buat 1MDB.
Adakah ianya sesuatu yang berasas? Nampaknya memang ada asas seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg pada 20 Mei 2009:

Nama Casey Tang yang tertera dalam laporan Bloomberg tersebut kini adalah salah seorang yang dicari oleh Bank Negara bagi membantu siasatan 1MDB.
Seperti yang tertera pada tajuk, ketika itu nama 1MDB masih belum timbul secara rasmi dan masih dikenali sebagai TIA. Shahrol Halmi yang merangkap sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TIA [selepas itu beliau turut sama menjadi CEO 1MDB] telah terang-terang menyatakan cadangan untuk menerbitkan kertas hutang Islami (Islamic bond) yang telah dipakejkan menjadi produk sekuriti (securitized) yang bersandarkan royalti minyak.
Cadangan kertas hutang tersebut seperti dilaporkan Bloomberg yang telah menemuramah wakil TIA, adalah gabungan dua bentuk kertas hutang:
(1) kertas hutang Islami yang hayat matangnya (maturity date) memakan masa 30 tahun.
(2) produk sekuriti yang bersandarkan royalti minyak. Kedua-duanya berjumlah RM 11 bilion.
Walaubagaimanapun TIA hanya terbitkan (1) kertas hutang Islami, 30-tahun, bernilai RM 5 bilion atau lebih dikenali sebagai Islamic Medium Term Note (IMTN). Cadangan untuk produk sekuriti royalti minyak nampaknya tidak dibuat.

Snapshot daripada Almanac Bon Malaysia menunjukkan kod TIA IMTN yang kini diletakkan di bawah kelolaan 1MDB. Masih berjalan.

Snapshot daripada laporan Aminvestment yang menjadi pengurus kepada TIA IMTN tersebut yang telah diterbitkan dalam beberapa bahagian (tranches).
Sebelum kita teroka lebih lanjut dakwaan bekas MB Terengganu tersebut, ada baiknya kita lihat contoh-contoh produk sekuriti royalti minyak yang telah diterbitkan di serata dunia seperti contoh Brazil:



Selain daripada Brazil, Angola, dan UAE yang telah mencagarkan (collateralized) royalti minyak mereka, Mexico juga telah lakukan yang sama kecuali dalam bentuk yang sedikit berbeda iaitu dalam bahasa teknikalnya: future flow securitization.
Untuk Brazil, Angola dan UAE, juga Ecuador (dan negara Afrika lain), ringkasnya rancangan pembangunan negara mereka dibuat dan terpusat pada hasil bumi petroleum. Bagi menjana modal dengan cepat, negara-negara tersebut mencagarkan hasil royalti yang dijana oleh telaga minyak mereka untuk mereka dapatkan pinjaman yang besar. Pinjaman ini akan digunakan untuk membangunkan sektor-sektor ekonomi, pendidikan, pertanian dan banyak lagi.
Pendek kata cara ini adalah cara biasa untuk berhutang: perlukan cagaran yang mampu menampung dan sesuai dengan kadar pinjaman yang ingin diminta.
Akan tetapi bagi Mexico, melalui syarikat minyak nasionalnya PEMEX, mereka tidak mencagar royalti telaga minyak sebaliknya mereka jadikan royalti tersebut sebagai satu produk sekuriti berbentuk future flow.
Apa itu produk sekuriti future flow? Apa beda dengan cagaran yang dibuat oleh Brazil, Angola, UAE dan Ecuador? Ianya beda dari segi mekanisme: "future flow" adalah satu bentuk produk hutang yang menghimpunkan pendapatan masa depan daripada telaga minyak untuk dibawa ke masa kini dengan cara dipakejkan dalam bentuk satu kertas hutang sekuriti yang boleh didagangkan kepada pelabur.
Maknanya seperti contoh PEMEX, pemegang sekuriti "future flow" minyak dan gas PEMEX dapat beli hak pendapatan pengeluaran masa depan minyak dan gas PEMEX dengan harga yang diskaun yang kemudiannya boleh dijual di masa akan datang ketika mana harga pasaran melebihi harga diskaun untuk mendapat pulangan daripada hasil langganan sekuriti "future flow" tersebut (buy low, sell high). Strategi membuat keuntungan daripada sekuriti "future flow" ini amat bergantung kepada harga minyak di pasaran semasa. Kalau jual ketika harga minya lebih tinggi daripada harga sekuriti "future flow" maka dapatlah untung.

Syarat-syarat pensekuritian sumber minyak dan gas yang dikeluarkan oleh agensi rating terkemuka Standard & Poor. Ada risiko dan syarat-syarat ketat sebelum hasil minyak dan gas dapat dijadikan produk sekuriti.
Dalam kes PEMEX, ianya lebih rumit kerana langkah-langkah sekuriti future flow ini melibatkan perbankan persisiran pantai (offshore) bagi tujuan untuk (1) melindungi daripada risiko pertukaran mata wang (fluctuation of currency exchange) juga (2) untuk meningkatkan rating PEMEX melebihi had siling rating negara Mexico (sovereign rating). Ini akan membuka ruang kepada PEMEX untuk menarik lebih banyak pelabur kerana sekuriti tersebut dikelola di luar negara Mexico - di kawasan perbankan persisiran pantai (offshore) yang mampu bantu naikkan rating pengeluar kertas hutang melebihi had sovereign rating dalam negara yang selalunya lebih rendah kerana mengambil kira keseluruhan sosio-ekonomi dan politik sebuah negara yang lebih rumit berbanding rating sebuah syarikat iaitu dalam kes ini PEMEX yang "beroperasi" (baca: kelola dan urus sekuriti royalti minyak) di luar Mexico iaitu di offshore (selalunya ditubuhkan di Amerika Syarikat kerana royalti minyak didagangkan dalam mata wang USD).

Rajah menunjukkan struktur transaksi "future flow securitization" royalti minyak yang dipungut dari masa depan dan di bawa ke masa kini dalam bentuk produk sekuriti untuk didagangkan kepada pelabur melalui pengendalian syarikat pengendalian khas (SPV) milik PEMEX yang ditubuhkan di kawasan "offshore".
Adakah (1) cagaran telaga minyak untuk membuat pinjaman yang lebih besar dan (2) pensekuritian royalti minyak jenis "future flow" salah di sisi undang-undang? Apa risikonya?
Inilah kecanggihan instrumen kewangan moden. Pelbagai produk yang direka oleh pihak bank untuk menjana pendapatan atas sesuatu pendapatan yang lain (kata HAMKA seperti "ternak wang").
Masalah untuk (1) cagaran telaga minyak ialah bilamana pinjaman dibuat secara "high leveraging" yakni berhutang berkali ganda lebih daripada nilai cagaran yang akan memakan diri kalau mana harga minya di pasaran merudum. Ini menyukarkan negara pengeluar minyak tersebut untuk membayar hutang yang dipinjam berkali ganda daripada hasil pendapatan semasa (current revenue) telaga minyak yang dicagarkan - seperti kes Ecuador yang akhirnya "terjajah" oleh IMF dimana banyak aset milik negara terpaksa dijual bagi membayar tunggakan hutang yang dijana melalui cagaran telaga minyak setelah kejatuhan harga minyak dunia yang membawa pulangan yang tidak mencekupi untuk melunas hutang seperti yang telah dijadualkan (servicing the loans by cashing out the collaterals).
Masalah untuk (2) lebih kepada ketidak adilan mengambil hak generasi akan datang untuk kegunaan masa kini oleh generasi semasa. Ianya juga amat bergantung kepada kadar kemampuan dan kebolehan penjanaan pendapatan aset "future flow". Bagi mengelak sebarang kemungkinan kejatuhan kadar kemampuan (poor performance), pihak pengatur sekuriti "future flow" selalunya mengeluarkan tuntutan untuk mencagar nilai royalti dengan lebih besar nilainya (over-collateralization) bagi mengelak sebarang risiko ketidak mampuan untuk membayar faedah kepada pelabur kalau mana berlaku masalah kepada aliran tunai daripada "future flow" tersebut (event of default) bagi melindungi kepentingan pelabur yang melanggani sekuriti "future flow" tersebut.
Pokok pangkalnya adalah: tadbir urus yang amanah.
Nak cagar telaga minyak untuk buat "high leveraging" bagi projek yang benar-benar penting dan mampu menjana pendepatan yang setimpal atau lebih daripada nilai aset yang dicagarkan, ianya tiada masalah.
Hal ini menjadi masalah kalau mana pemimpin dan pemegang amanah cagaran juga sekuriti tersebut tidak amanah, malah tamak seperti kes Ecuador dan Angola yang mana mereka mencagarkan telaga minyak bagi mendapatkan tunai yang akhirnya tidak digunakan untuk membangun ekonomi dan kepentingan rakyat tetapi sekadar mengenyangkan perut dan memenuhi tembolok pemimpin dan keluarga mereka. Akhirnya telaga minyak yang sepatutnya menjadi milik bersama rakyat jelata, yang telah dicagarkan bakal hilang hak miliknya oleh rakyat akibat kerasukan dan kegagalan pemimpin dan pemegang amanah membayar hutang sehingga pihak pemiutang (yang beri hutang) berhak mengambil aset yang dicagarkan tersebut.
(rujuk kisah bekas pensabotaj ekonomi John Perkins mengenai pengalaman pahit Ecuador yang membangun dengan cagaran telaga minyak kemudian terjajah setelah kerajaan Ecuador gagal membayar hutang yang menyebabkan banyak aset termasuklah telaga minyak dirampas oleh pihak asing yang memberi hutang kepada Ecuador).
Kes Dubai yang mensekuritikan royalti minyak secara "future vlow" turut sama terkesan teruk bilamana harga minyak jatuh yang merugikan para pelabur sekuriti. Ditambah pula kejatuhan pasaran saham Dubai memudaratkan lagi sekuriti "future flow" tersebut lebih daripada pencagaran telaga minyak seperti dibuat Ecuador dan Angola kerana produk sekuriti "future flow" sudah pun termasuk dan terkait dalam instrumen-instrumen hutang yang diterbitkan dalam pasaran saham. Ada pendedahan risiko yang lebih besar berbanding pencagaran telaga minyak yang biasa dibuat di Latin Amerika dan Afrika.
Walaupun TIA (kini 1MDB) tidak sempat mengeluarkan sekuriti royalti minyak Terengganu, kertas hutang IMTN bernilai RM 5 bilion yang disusun oleh Aminvestment yang menggunakan mekanisme murabahah perlu dinilai dengan teliti akan sejauh mana ianya benar-benar patuh Shari'ah dan telus dalam menanggung pembayaran faedah dan asas yang matang secara penuh pada tahun 2039.
Antara soalan penting: apa asas yang memungkinkan penerbitan TIA IMTN sampai 30 tahun lamanya? Apa asas kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan begitu berani menjamin TIA IMTN dengan kadar yang kompetitif? Adakah TIA IMTN itu turut sama menjadikan minyak dan gas sebagai cagaran yakni dalam bentuk aset yang mendasari transaksi murabahah dalam pengatur caraan TIA IMTN tersebut?
Insha-Allah, kita akan teliti secara halus dalam Bahagian 2 nanti.
Wan Ahmad Fayhsal
sumber: http://www.rausyanfikir.com/2015/08/misteri-1mdb-dan-telaga-minyak.html
Malaysia, negara yang banyak keistimewaannya. Tetapi memasuki usia 58 tahun merdeka, negara ini tampak seolah-olah sedang sakit. Hilang sudah daya saing, berganti dengan satu demi satu skandal urus tadbir. Malaysia sedang perlahan-lahan memasuki fasa zaman gelap.
Negara terus dipimpin mereka yang lemah dan sistem urus tadbir yang sangat rapuh dan korup. Satu kombinasi yang membawa bencana kepada negara dan rakyat keseluruhannya.
Pemerintah tidak lagi memikirkan dasar yang baik untuk masa depan Malaysia. Segalanya berdasarkan kepada perkiraan untung poket masing-masing.
Sehinggakan pendidikan tertiari juga menjadi produk meraih keuntungan berlipat ganda sambil anak muda lepasan universiti terus menanggung beban hutang pinjaman pendidikan.
Sektor ekonomi semakin hilang arah tuju. Nilai matawang ringgit Malaysia terus mencipta rekod terburuk. Aliran keluar wang haram terus mengukuh. Keadaan kos sara hidup memuncak di kala pendapatan rakyat tidak jauh berbeza seperti zaman 80-an dan 90-an. Pasaran saham merudum. Petronas juga kehilangan separuh keuntungannya berbanding suku kedua 2014.
Sistem demokrasi berperlembagaan yang menjadi tunggak pemerintahan negara semakin tenat. Cabang eksekutif menjadi terlalu berkuasa. Legislatif dan kehakiman sudah hilang cengkaman. Terpaksa tunduk sahaja kepada setiap kemahuan eksekutif. Tiada lagi semak-dan-imbang. Lagak eksekutif seperti diktator pada ketika ini.
Umno-Barisan Nasional (BN) sudah gagal sama sekali. Baik dari segi politik, pentadbiran negara, pengurusan ekonomi sehinggalah kepada gagal dalam mencipta dan menggilap potensi berdikari dalam diri setiap anak bangsa Malaysia.
Umno-BN hanya mencipta rakyat yang kekal bergantung kepada kerajaan kerana dengan keadaan ini sajalah mereka akan kekal berkuasa.
Hari ini Malaysia sedang berada di persimpangan. Satu persimpangan yang bakal menentukan sama ada Malaysia akan kembali berdaya saing atau akan mengikut jejak langkah Greece. Kita semua perlu ingat dan faham, ini adalah zaman krisis paling buruk bagi negara kita.
29 Ogos ini adalah tarikh keramat untuk semua anak bangsa Malaysia khususnya anak muda. Kita akan berkumpul selama 36 jam di Dataran Merdeka. Dengan berbekal semangat untuk menyelamatkan negara yang dicintai ini.
Kita perlu dilihat sebagai kolektif untuk menghantar mesej yang kuat kepada kerajaan yang korup masih terdapat ramai orang menonton apa yang kerajaan sedang lakukan.
Anak muda Malaysia harus bangkit untuk merubah masa depan negara ini. Ayuh bersama dalam Himpunan Bersih 4.
– 16 Ogos, 2015.
Young Syefura Othman
Ada sesuatu yang tidak kena dalam dasar dan perlaksanaan pembangunan negara ini. Di samping banyak melahirkan orang yang berpendaptan sederhana dan tinggi, terbina pula golongan terpinggir yang kian membesar. Golongan keladangan makin ramai. Yang hidup bergantung kepada bantuan juga makin bertambah. Penghuni penjara juga bertambah. Kebanyakan daripada mereka orang Melayu? Nampaknya begitulah!
Peluang pekerjaan untuk mereka makin sempit. Banyak peluang2 pekerjaan di peringakat bawah dan sederhana diisi oleh pekerja asing. Graduan menganggur makin bertambah. Di mana peluang pekerjaan untuk mereka?
Jika golongan terpinggir ini makin membesar tidak mustahil malay spring akan berlaku. Tanganilah segera masalah ini jika benar2 negara ingin kekalkan sebagai negara yang aman dan stabil.
Utamakan perbincangan isu ini untuk timbulkan kesedaran di kalangan masyarakat. Jangan hanya berpolitik dan berkelahi kerananya sehingga yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu. Fikir basib masa hadapan agama dan bangsa.
Warkah Buat Rakyat Malaysia: Najib Razak Umpama Kain Buruk, Kita Sedang Memusnahkan Negara Sendiri
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
1. Selama ini saya menulis kepada ahli UMNO, izinkan saya buat kali pertama menulis kepada rakyat Malaysia. Hari ini, Perdana Menteri Mohd Najib Razak sudah menjadi seperti sampah dan kain buruk kepada sebahagian rakyat Malaysia yang mempunyai kepentingan politik dan yang sekadar ikut-ikutan. olah-olah Mohd Najib tidak pernah berbuat apa-apa kepada kita.
2. Hampir menitis air mata saya apabila melihat keadaan di media sosial, rangkaian perbualan WhatsApp dan perbualan politik di kalangan sebahagian besar rakyat Malaysia yang mencerca, menghina, memfitnah dan menipu untuk memburukkan Mohd Najib.
3. Memang dalam masa lapan bulan ini Mohd Najib berhadapan dengan kemelut 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Mohd Najib dalam usaha memulihkan 1MDB kerana beliau percaya syarikat ini sungguhpun bermasalah, ia adalah masalah yang perlu diselesaikan.
4. Tidak cukup itu Mohd Najib dituduh merompak wang 1MDB sebanyak RM 2.6 Bilion. Siasatan SPRM mendapati ia tidak benar. SPRM juga mengesahkan ia merupakan sumbangan dana politik yang tiada kena mengena dengan sebarang keputusan atau hasil kerajaan mahu pun 1MDB.
5. Dengan kata lain tiada unsur rasuah atau korupsi. Rakyat biasa memang tidak faham dan tidak akan faham permainan politik ini. Baiklah kita anggaplah ini sisi buruk Mohd Najib. Soal salah atau tidak biarkan Undang-undang menentukan. Namun, apakah sejak mengambil alih pentadbiran Mohd Najib tidak melakukan apa-apa kebaikan kepada kita semua rakyat Malaysia sehingga beliau layak dijadikan bahan jenaka, cercaan, umpatan dan lebih teruk difitnah?
6. Selama lima tahun Mohd Najib memacu pertumbuhan ekonomi negara yang begitu cemerlang. Sudah lupakah rakyat Malaysia bahawa sejak pentadbiran Mohd Najib, jumlah pelaburan asing langsung meningkat dari RM 5.1 Bilion pada 2009 (tahun beliau mengangkat sumpah) meningkat kepada RM 29.183 B (2010), RM 37, 325 B (2011), RM 31,118 B (2012), RM 38.8 B (2013) dan RM 39.6B pada 2014.
7. Apakah kerana kita tidak mendapat dan secara langsung, maka kita tidak langsung menghargai pentadbiran Mohd Najib? Pertumbuhan dan pelaburan besar inilah yang membolehkan ramai dari kita meningkatkan taraf hidup. Dulu makan di KFC atau McDonald adalah acara bila dapat gaji, hari ini sebahagian besar sudah menjadi acara mingguan dan harian.
8. Mohd Najib juga dimaki hamun oleh sebahagian rakyat yang tidak mahu membaca dan mengkaji apabila ringgit jatuh kepada RM 4 per USD 1. Kejatuhan nilai ringgit terburuk dalam tempoh 17 tahun adalah fenomena antarabangsa berikutan hampir semua matawang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding dolar.

9. Adakah rakyat Malaysia tahu daripada 174 matawang dunia, hanya 18 matawang yang tidak terjejas berikutan pengukuhan US Dollar? Malaysia sebagai negara pengeksport minyak dan minyak kelapa sawit sama seperti beberapa negara yang komoditi utama jatuh.
10. Bencinya mereka kepada Mohd Najib, sanggup menipu mengatakan keadaan sekarang lebih teruk dari 1998.
11. Ramai tidak suka tapi saya mahu sebut juga bahawa di bawah Mohd Najib, pembangunan luar bandar digandakan, Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman mendapat perhatian khusus. Polisi pro-rakyat seperti BR1M, Klinik 1 Malaysia, Pusat Tranformasi Bandar (UTC), Permata, bantuan pembinaan rumah rakyat miskin, pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat dan ratusan pembaharuan lain; dilaksanakan dengan pantas bagi mengurangkan beban hidup rakyat dan karenah birokrasi.
12. Malangnya ini dilupakan oleh sebahagian rakyat kerana mereka suka melihat keburukan dari kebaikan. Kita lebih suka mendengar keburukan dari kebaikan. Budaya apa, ajaran apa dan budi apa yang kita ada hari ini?
13. Sangat mengelirukan yang banyak memaki hamun dan mencerca Mohd Najib di laman sosial ialah manusia Melayu, Islam dan ada yang bertudung. Mereka seolah-olah lupa sumbangan dan usaha Mohd Najib menyediakan begitu banyak peluang dan modal kepada bumiputera dan pembangunan syiar Islam.
14. Sepanjang lima tahun pentadbiran ini sudah berbilion Mohd Najib beri bantuan dan peruntukan kepada kaum bumiputera. Namun Melayu tidak pernah sepatah mengucap terima kasih. Sebaliknya apabila Mohd Najib mengumumkan bantuan 50 juta kepada usahawan Cina, itulah dijadikan modal memaki Mohd Najib.
15. Melayu apa, Islam apa kita ini? Hanya kerana diuji sedikit dalam kegetiran ekonomi kini, kita mula menghina dan mencerca pemimpin Islam. Sebahagian kita menghina pemimpin Islam hanya kerana prasangka buruk dan kecewa dengan kehidupan kita sendiri?
16. Perdana Menteri yang kita hina ini, seperti kata Profesor Ridhuan Tee Abdullah, merupakan penggerak pendamaian Islam di seluruh dunia, dari mengatur pertemuan Fatah dan Hamas di Kuala Lumpur, sehinggalah turun sendiri ke Gaza bagi mendamaikan umat Islam di sana.
17. Mohd Najib juga turun sendiri ke Selatan Filipina bagi membantu umat Islam, menamatkan konflik 70 tahun bangsa Moro dengan kerajaan Filipina; dan sekarang sedang berusaha menyelesaikan konflik umat Islam Selatan Thailand yang telah berlarutan selama 50 tahun.
18. Malangnya ada antara kita bukan sekadar mahu menjatuhkan beliau, malah sanggup memfitnah, memaki hamun dan tidak mahu menerima sebarang penjelasan langsung kerana kepentingan politik. Tidak cukup itu, isteri Perdana Menteri juga dicerca, dihina dan dituduh bermacam-macam, seolah-olah kita semua hidup berjiran dengannya dan tahu segala perilaku beliau.
19. Mohd Najib sebagai manusia biasa tidak dapat lari dari kesilapan dan kelemahan. Namun apakah sekian banyak usaha baik yang dibuat beliau ini tak ubah seperti mencurah air di atas daun keladi? Atau kita sudah menjadi bangsa yang tidak mengenang budi?
20. Hari ini Allah uji kita sedikit, kita sudah berpecah belah, lupa kepada jasa dan usaha pemimpin hari ini dan menafikan nikmat hidup di negara ini yang jauh lebih baik dari sebahagian negara.
21. Sedar atau tidak mereka yang memperlekehkan kerajaan hari ini melalui gosip, taksud dan taklid buta kepada usaha menjatuhkan Mohd Najib telah mewujudkan krisis keyakinan kepada negara ini di kalangan pelabur asing. Jadi siapa yang sedang memusnahkan negara ini, Najib atau kita sendiri?
Akhirul kalam, jangan kita kufur (nafikan) nikmat Allah kerana saya khuatir suatu hari nanti Allah tarik nikmat ini.
Wassalam,
Amin bin Yatim
Petaling Jaya
MYKMU.NET
SURAT TERBUKA BUAT SELURUH AHLI PARLIMEN MALAYSIA
MANSUHKAN AUKU, SELAMATKAN UNIVERSITI!
Y.B Ahli Parlimen Malaysia
Assalamualaikum w.b.t & salam sejahtera
Sesungguhnya saya menulis surat ini buat kesemua ahli Parlimen Malaysia dengan menginsafi bahawa saya hanyalah seorang daripada jutaan rakyat Malaysia yang pernah menerima kesan dek kewujudan undang-undang tirai besi di universiti, iaitu Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Y.B sekalian,
Sedarkah anda semua bahawa sepanjang 2014, seramai 26 (atau lebih) kes telah melibatkan pendakwaan atau tunjuk sebab ke atas mahasiswa Malaysia di bawah AUKU dan yang sebaris dengannya ( e.g Akta Institut Pengajian Tinggi)? Sedarkah tuan-tuan Yang Berhormat semua bahawa semalam (13/8/2015) dua orang lagi pemimpin mahasiswa dari UIAM (sdra Hanif Mahpa - Presiden MPP UIAM & sdri Afiqah Zulkifli - Exco MPP UIAM) telah dijatuhkan hukum penggantungan 2 semester pengajian disebabkan "kesalahan" mengadakan forum intelektual berkenaan GST?
Y.B sekalian,
Saya meyakini bahawa Y.B sekalian sedar akan perkara ini. Buktinya? Kita mampu melihat beberapa kenyataan daripada politikus-politikus yang datangnya daripada parti yang Y.B sekalian wakili (walaupun tidak semua). Saya juga meyakini bahawa Y.B sekalian tidak boleh menafikan bertapa Y.B sekalian mendapat laba politik dek isu-isu yang melanda mahasiswa walaupun sedikit. Mengapa? Kerana anda menyedari mereka juga golongan yang tertindas dek sistem negara, dan paling penting, mampu memberikan nilai publisiti buat anda!
Y.B sekalian,
Sekiranya anda semua terlupa, sukalah untuk saya mengingatkan kembali. AUKU telah digubal oleh pentadbiran kerajaan pada tahun 1971 tidak lain dan tidak bukan adalah bagi mengekang suara dan 'kuasa' mahasiswa yang begitu agresif lewat tahun 60an & awal 70an. Namun kesan AUKU bukan terhad setakat di situ sahaja, AUKU juga telah menyebabkan hilangnya roh kebebasan akademik di universiti. Lebih malang lagi, AUKU telah membuka ruang penguasaan universiti oleh pihak parti yang memerintah melalui proksi-proksi mereka di universiti. Sedarkah Y.B sekalian akan senario ini? Saya berani mengatakan dengan yakin bahawa anda semua mengetahuinya, bahkan terdapat di antara kalian yang pernah duduk, malah menjadi mangsa terdapat undang-undang regim ini!
Y.B sekalian,
Sepertimana kezaliman ISA, POTA, SOSMA, Akta Hasutan dll, haruslah Y.B sedar dan tahu bahawa AUKU (dan akta-akta & peraturan yang seumpama dengannya) berdiri sama zalim dengan akta-akta tersebut. Tetapi jarang sekali (atau tiada mungkin?) kami rakyat Malaysia (khususnya mahasiswa) mendengar para Y.B sekalian begitu serius di dalam memastikan pupusnya undang-undang ini dari senarai undang-undang Malaysia.
Sudah berpuluh tahun AUKU mencengkam & membunuh idealisme ribuan mahasiswa, maka selayaknya tempatnya pada hari ini hanyalah di dalam kaca perhiasan di Muzium Negara.
Justeru itu, saya dan rakyat Malaysia yang berkongsi aspirasi yang sama menggesa tindakan yang JUJUR dan SERIUS daripada kalian yang berada di dalam Parlimen - sama ada di kerusi kerajaan mahupun pembangkang - untuk sekurang-kurangnya memastikan peruntukan-peruntukan yang bermasalah di dalam undang-undang tersebut untuk dihapuskan.
Muhammad Najib bin Abdurrahim
Rakyat marhaen
Mantan mahasiswa 2010-2015
Mantan Pengerusi WUFI IIUM 2013-2014
Mantan Pengerusi MPN GAMIS 2014-2015
#SelamatkanMalaysia
#SelamatkanMahasiswa
#SelamatkanUniversiti
y