KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS NEGERI SELANGOR.
MENYOKONG MURSYIDUL AM PAS BERHUBUNG KERUSI DUN DAN PARLIMEN PAS
Kenyataan ini menegaskan bahawa Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor menyokong kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr.Haron Din dan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor berhubung isu yang sedang berlaku dalam parti mutakhir ini. Kenyataan dewan ini menyokong bahawa:
1. Semua wakil rakyat yang telah diamanahkan mewakili parti melalui kerusi Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) wajib meletakkan jawatan dan menyerahkan semula kerusi-kerusi tersebut kepada PAS.
2. Wakil rakyat yang terbabit apabila menyertai penubuhan parti baru yang akan diisytiharkan oleh GHB adalah haram menikmati gaji dan elaun daripada jawatan tersebut kerana kerusi yang dimenangi adalah merupakan amanah dan mandat daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
3. Kemenangan yang diraih adalah hasil pengorbanan ahli-ahli PAS setelah mereka yang dipilih menjadi calon dalam pilihan raya yang lalu berikrar untuk setia dalam perjuangan , tidak khianat kepada parti dan penggundi-penggundi yang telah memberikan mandat kepada calon-calon yang bertanding atas asas dasar parti bukannya faktor peribadi.
4. Maka yang demikian,demi menjaga maruah diri dan agar tidak terus hidup memakan harta syubhat mereka yang terlibat perlu meletakkan jawatan dan bertanding semula dengan kekuatan sendiri.
Kamalulhysham Mohd Suhut
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
09 Syawal 1436/25 Julai 2015
--
INSYA ALLAH, SAYA TERUS BERSAMA PARTI ISLAM SE MALAYSIA (PAS)
Tidak semena-mena diri dan nama saya jadi perbualan politik tanahair. Selama ini saya mengambil pendekatan untuk low profil apatah lagi menzahirkan pemikiran kritis politik. Mungkin disebabkan saya masih sedar siapalah saya di kalangan kawan-kawan yang menjadikan platform politik sebagai medan populariti diri ataupun membina pengaruh dan kekayaan.
Ribut politik yang melanda negara seolah-olah memberi impak kepada generasi yang dibina atas kesedaran diri lalu mengikuti marhalah perkaderan dan tarbiyyah tangga demi tangga. Maka sudah pastinya gaya dan corak pemikiran serta tindakan terhadap sesuatu isu terkait pada diri, memerlukan untuk saya memikirkan kesan atau natijah kemudian hari (hari perhitungan di hadapan Illahi). Saya telah melalui sejarah kehidupan politik di kala diminta bertanding dalam pilihanraya 2004 (PRU11). Ketika itu, pimpinan negeri tidak pernahpun turun ke bawah mendapatkan maklumat tepat akar umbi. Apa yang berlaku adalah berkisarkan teori lalu diterjemah melalui pengarahan yang tidak masak. Akibatnya memaksa kami di peringkat Pas Sepang ketika itu bernekad untuk terus turut serta dalam pertandingan tiga penjuru.
Tahun 2008 (PRU12), sekali lagi saya diminta untuk bertanding mewakili Pas di Dun Tanjong Sepat. Walaupun berat, sebab agak fobia dengan kesan kehidupan selepas pilihanraya 2004 (PRU11), saya ambil tanggungjawab dan risiko untuk kedua kali. Tewas kali kedua mengajar saya tentang erti keupayaan diri. Maka selepas 2008 (PRU12) saya lebih bersedia untuk berkhidmat untuk parti BUKAN bermakna saya ingin jadi calon pilihanraya mendatang, tetapi untuk membantu mencipta dan melakar sejarah di Sepang. Menghadapi pilihanraya 2013 (PRU13) saya telah mengharungi pelbagai dugaan samada dari dalaman parti mahupun luaran. Tidak perlulah saya ceritakan semuanya. Pendekkan cerita, Allah kurniakan sedikit kemenangan kepada kami Pas Sepang bagi mengisi kerusi Dun Tanjung Sepat dan Parlimen Sepang. Semua ini berlaku adalah disebabkan kesungguhan usaha, pengorbanan, keikhlasan ahli-ahli dan keizinanan Allah S.W.T.
Menyedari kepada hakikat kemenangan itu adalah hasil kerja berpasukan dan izin Allah, maka saya ingin tegaskan bahawa provokasi berita di Kosmo keluaran 23 Julai 2015 mengaitkan saya akan menyertai GHB adalah provokasi dan andaian kumpulan yang kecewa. Saya akui terdapat individu yang cuba menjinakkan saya untuk turut serta dalam kumpulan GHB. Saya ingin tegaskan, selagimana Pas kekal dengan prinsip perjuangan yang termaktub dalam perlembagaannya dan dipimpin oleh kepimpinan ulamak, Insya Allah saya akan kekal dalam perjuangan tarbiyyah, dakwah dan siasah Pas ini. Saya tidak terlibat GHB sebaliknya Insya Allah kekal bersama Pas dan kepimpinan sediada.
Saya berseru kepada semua yang mengaku sebagai ahli Pas agar terus istiqamah bersama Pas hingga akhir hayat. Oleh itu, mana-mana individu atau kumpulan yang mengaitkan saya dengan GHB atau menyokong GHB, harap hentikanlah cita-cita dan usaha kalian.
Dalam kesempatan ini saya ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada YB Dr. Rani Osman (ADN Meru), YB Dr Halimah Ali (ADN Selat Kelang) dan YB Hanim (ADN Sri Serdang) di atas penegasan mereka untuk terus kekal bersama dan komited memperkukuhkan Pas melaksanakan amanah dan sekaligus menafikan penglibatan mereka bersamai GHB.
Doakan kami untuk terus bersama dalam perjuangan Pas hingga akhir hayat.
Allahu Akbar!! 3X
YB. IR. MOHD HASLIN HASSAN
ADN Tanjong Sepat
9 Syawal 1436H/25 Julai 2015M
--
KENYATAAN AKHBAR
KERAJAAN NEGERI SELANGOR BELA NASIB PENDUDUK PANGSAPURI TAMAN UKAY INDAH.
Kerajaan Negeri Selangor bersedia membantu penduduk Pangsapuri Taman Ukay Indah, Ampang yang menghadapi masalah kerosakan lif.
Perkara ini dinyatakan oleh YB Dato' Iskandar Abdul Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar yang turun melawat pangsapuri itu pagi tadi untuk menyaksikan dan mendengar sendiri permasalahan penduduk.
Kerajaan Negeri bersedia membantu membaikpulih 6 unit lif melalui Skim Caring Government Residents' Improvement Aid (CERIA). Jumlah keseluruhan baikpulih dianggarkan RM776,000 dan Kerajaan Negeri akan menyumbang 80% daripada keseluruhan kos.
Walaupun penduduk atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) terpaksa membayar baki 20%, tapi hanya 5% diperlukan sebelum kerja dimulakan manakala baki bayaran boleh dibuat secara ansuran kepada Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Kerajaan Negeri percaya cara ini dapat membantu JMB meringankan beban hutang pembayaran balik. Jika setiap penghuni bekerjasama, setiap unit hanya dikenakan sekitar RM20 sebulan bergantung kepada tempoh pembayaran balik.
Menurut YB Dato' Iskandar apabila ditanya kenapa Kerajaan Negeri tidak membiayai kos baikpulih sepenuhnya, beliau berkata Kerajaan pernah membiayai 3 projek baikpulih sepenuhnya sebelum ini, namun masih ada penduduk yang tidak bertanggungjawab serta tidak menghargai usaha Kerajaan Negeri dan kerosakan tetap berulang kembali.
Jika penduduk sendiri membayar sebahagian dari kos baikpulih, mereka akan sama-sama menjaga kemudahan yang dibaikpulih.
Melalui Skim CERIA yang menggunakan konsep perkongsian kos, diharapkan penduduk memberi lebih perhatian dan penghargaan kepada setiap baikpulih yang dilakukan.
Berita ini sekaligus memberi kelegaan kepada penghuni di 660 unit Pangsapuri Taman Ukay Indah dan YB Exco sendiri akan memantau perkembangan baikpulih ini dari semasa ke semasa.
Sejak Skim CERIA diperkenalkan pada 2011, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih kurang RM25 juta dan sebanyak 176 pangsapuri telah mendapat manfaat termasuk 3 pangsapuri pada tahun 2010 mendapat subsidi 100%.
Tahun lepas Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan skim khas untuk membaikpulih lif yang dinamakan L'CERIA dengan peruntukan RM5 juta setahun.
Disediakan oleh :
Sekretariat Media dan Akhbar
Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
24 Julai 2015
--
Pegangan Kami Ahli PAS Dalam Berjemaah.
Bila kita menjawab bahawa kita Berpegang dengan arahan Allah untuk bersatu dalam jemaah dan tidak berpecah.
Maka sudah pasti kita tidak suka kepada wujudnya wasilah yang baru kerana ia bersalahan dengan Firman Allah yang jelas, ولا تفرقوا،
Lantas kita pertahankan bahawa baiah kita untuk menegakkan islam adalah atas landasan syarak berjanji kerana Allah. Maka selagi menepati syarat, baiah adalah benar dan keluar daripadanya adalah khianati janji dan khianat adalah sifat munafik.
Manakala, dalam baiah kita bersumpah atas nama Allah. Maka, apa perlu kita buat jemaah baru dan bersumpah lagi sedangkan sumpah baiah yang lalu tidak terbatal selagi syarat syarak masih kekal. Maka, orang yang sentiasa bersumpah atas benda sama disebut sebagai sifat munafik dalam quran.
Ini kepercayaan kita dalam hidup berjemaah.
Dalam begitu, kita juga faham kedudukan sebahagian manusia sebagai ummat islam. Maka untuk jadi terbaik daripada umat ini, kita percaya perlu ada jemaah haraki dakwah selari firman Allah,
ولتكن منكم امة يدعون الي الخير ويأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر..
Dan firman Allah:
كنتم خير امة اخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله،
jawapan kita cukup mudah.
Dan bila berlaku isu kita pertahankan jemaah.
Namun ada pula yang lain yang tidak berada dalam lingkungan jemaah cuba pula menteorikan Jemaah Minal Muslimin, sehingga menaqalkan kata kata syeikh Mustafa Masyhur ataupun Dr Solah Fatah Alkhalidi.
Namun bila dirujuk ulasan mereka, sebenarnya apa yang mereka respon adalah kepada situasi dan masalah semasa seperti isu taadud amal yang memerlukam pengkhususan seperti ngo ngo yang ada tugas yang spesifik. Apatah lagi wujud pula fitnah yang keras kepada rakan rakan mereka sehingga ada yang terbunuh dan dipenjara kerana dihadapkan atas kesalahan kafir mengkafir sedangkan ia adalah persepsi yang diada adakan seperti kepada as syajid syed Qutb dan Abdul Kader Audah.
Namun, malang pula yang tidak puas hati kepada PAS mula memutar belit jawapan yang diberi bila menukar kenyataan kita dengan mengambil mafhum mukhalafah kenyataan.
Akhirnya mereka mula mewujudkan persialan dan kenyataan seperti berikut:
1. PAS hanya iktiraf Jemaah Muslimun hanyalah PAS dan menidakkan yang lain.
2. PAS adalah Agama, Keluar PAS adalah Kafir.
3. Ulama PAS yang layak berijtihad, ulama lain tidak diiktiraf.
4. PAS monopoli Islam.
5. Presiden PAS maksum dan Bukan Nabi.
Itu antara mafhum mukhalafah yang diekstrak untuk mereka mencipta premis baru bagi menghentam PAS. Sedangkan langsung secara tersurat tidak begitu.
Maka, apakah nilai jawapan mereka dan tohmahan mereka itu adil?
Apabila PAS tidak memakai jemaah minal muslimin sebagai definisi untuk kefahaman Ahli PAS, apakah baiah PAS terpakai pada badan lain? PAS adalah PAS, kami tidak campur adukkan kefahaman keliru.
Bila pula tegas bersama PAS dan yakin beriman PAS sebagai Jemaah Muslimin boleh diertikan mengkafir Orang lain yang tak bersama PAS?
Apabila PAS ada baiah menurut ISLAM, berjanji atas Nama Allah, maka dalil mana yang menyebut khianat dan mungkir janji tidak berdosa? Apa sebab perlu baiah dan bersumpah tanpa sebab munasabah?
Apakah bila Ulama PAS menyanggah pendapat ulama lain dengan hujah lantas terus dikatakan tidak menerima hujah ulama lain? Sejak bila pulak PAS menafikan kata kata ulama selain PAS sekiranya tiada yang berselisih?
Sejak bila pula mempertahankan pemimpin yang tidak buat maksiat dan yang sentiasa berhujah dengan Quran hadis seumpama memaksumkan Presiden? Bila bukti PAS pertahankan presiden yang buat maksiat?
Maka, lihatlah dengan Adil. Siapa yang mentakfirkan? Siapa yang tegas dengan dasar? Siapa pula mengada adakan kenyataan yang tidak kami buat?
Ahmad Hakimi Othman.
KP DPP Kuala Selangor.
21 july 2015
Dewan Ulamak PAS Selangor Menyokong Kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Firman Allah s.w.t dalam Surah At Tawbah : 107,
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
"...Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta..."
Kenyataan :
1. Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor menyokong penuh kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Tuan Guru Dato' Dr Mahfoz Mohammad yang menasihatkan mereka yang sedang memegang jawatan parti dalam masa yang sama sedang menginisiatifkan parti baru serta mengajak ahli-ahli PAS untuk meninggalkan PAS melepaskan semua ikatan diri dengan PAS terlebih dahulu sebelum bertindak dengan sikap menyalahi tanggungjawab sebagai ahli PAS.
2. Sikap ini tidak lain dan tidak bukan adalah seburuk-buruk kejahatan yang dilakukan ahli jamaah kepada jamaahnya sendiri.
3. Mereka yang sedang memegang status keahlian PAS dengan muka yang tebal dan tanpa segan silu sanggup berkempen ke sana dan ke sini mendedahkan secara terang-terangan hasrat untuk menubuhkan wadah parti baru sambil menggunakan kelebihan keahlian parti dan jawatan yang sedang dipegang samada ahli DUN dan ahli Parlimen.
4. Ingatlah,
👉 Bukankah status keahlian PAS dan ahli DUN dan Parlimen itu diperolehi atas nama PAS?
👉 Bukankah mereka telah mengisi borang PAS dan bersetuju untuk mentaati dan mengikut dasar PAS dan perlembagaan PAS?
👉 Bukankah sebahagian mereka menang dalam pilihanraya atas pilihan PAS dan dibantu material, moral, tenaga, masa, undi, wang, sokongan masyarakat kepada mereka atas nama PAS?
👉 Bukankah mereka yang menjadi calon pilihanraya dan menang juga telah berbaiah dengan PAS dengan lafaz sumpah setia dan walak?
👉 Bukankah mereka dan kita semua tiada sesiapapun kenali dan dihormati tanpa PAS?
👉 Bukankah kita semua berhajat kepada jamaah PAS dan bukannya PAS berhajat kepada kita?
5. Kalau beginilah sikap mereka dengan PAS maka selama ini wajarlah mereka dikatakan perosak jamaah PAS yang pernah diingatkan oleh beberapa pimpinan sebelum ini dan tahniah kepada ahli PAS dan para perwakilan muktamar PAS yang ke-61 yang lalu, mereka telah melakukan tugas dan tanggungjawab yang tepat dan kena pada masanya.
6. Allah S.W.T. telah memperlihatkan kebenaran dan telah membongkarkan kejahatan mereka selama ini yang telah diselindung berkali-kali dengan penafian dan lenangan air mata kononnya mereka berniat baik dan tiada kepentingan melainkan untuk PAS dan ISLAM.
7. Rupa-rupanya dalam hati kecil mereka terkandung kejahatan dan tersimpan keburukan niat yang tidak baik kepada jamaah PAS ini.
Adakalanya perkara kecil dalam hati yang tersembunyi yang asalnya adalah rahsia tetapi terdedah dengan memperlihatkan pekung di dada masing-masing dengan sikap dan tindakan yang dizahirkan.
8. Dewan Ulamak PAS Selangor mendesak agar ke semua mereka yang terlibat dengan penubuhan wadar parti baru agar bertaubat kepada Allah S.W.T. dan ketahuilah bahawasanya tindakan mereka ini sebenarnya tidak memberi apa-apa kebaikan kepada ISLAM dan PAS serta perjuangan ISLAM.
9. Tiada keuntungan pada perpecahan melainkan kebaikan yang ada adalah apabila tindakan mereka melarikan diri daripada PAS sebagai bentuk penapisan daripada Allah S.W.T.
10. Dewan Ulamak PAS Selangor juga meminta agar mereka yang ingin juga dan sedang berusaha dan berkempen untuk mengajar ahli PAS melakukan sabotaj kepada PAS agar meletakkan jawatan terlebih dahulu dan juga keahlian PAS dan barulah wajar mereka hendak melakukan apa sedang dilakukan dan merancang untuk melakukannya.
11. Ingatlah mereka, bahawa segala ucapan dalam ceramah, kerjabuat, komentar serta kritikan pernah mereka buat terhadap kumpulan dan parti lain satu ketika dahulu bahawa mereka telah melakukan perkara yang sama dilakukan oleh musuh politik PAS selama ini iaitu UMNO yang kini sedang dilakukan oleh diri mereka sendiri. Ini menjadikan mereka bersikap perangai yang tiada bezanya dengan musuh politik iaitu UMNO.
Wallahua'alam bisshowab.
Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak
PAS SELANGOR
18 Julai 2015M / 2 Syawal 1436hH
KENYATAAN MEDIA HIDAYAH CENTRE FOUNDATION
MEMPERKASAKAN MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PERANAN SEMUA PIHAK
Assalamu’alaikum wbt,
Pihak Hidayah Centre Foundation merujuk kepada kenyataan oleh Saudara Mikhael Iskandar dalam rakaman KiniTV, berkaitan rungutan mengatakan saudara baru (muallaf) tidak mendapat layanan sewajarnya
daripada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
1. Hidayah Centre Foundation sebagai sebuah yayasan yang berdaftar dengan Jabatan Perdana Menteri, sentiasa bekerjasama baik dengan pihak MAIS sejak tahun 2005 lagi. Sebagai pusat khidmat sokongan saudara baru, kami amat mengambil berat urusan dan keperluan mereka.
2. Sepanjang pengalaman kami bekerjasama dengan MAIS, kami merasakan pihak MAIS telah memberikan khidmat sokongan yang baik untuk saudara baru (muallaf) khususnya di Selangor.
3. Untuk membantu muallaf memahami Islam dan tuntutan melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim, pihak MAIS menyediakan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang dikendalikan oleh para ustaz yang berpengalaman.
4. Bagi saudara baru yang baru memeluk agama Islam, mereka juga diberi pelbagai bantuan dalam bentuk elaun sara hidup, biasiswa pelajaran, disamping kemudahan pinjaman bagi yang ingin berniaga supaya mereka dapat menguruskan keperluan hidup sebagai insan yang boleh berdikari.
5. Kami berpandangan bahawa tanggungjawab mendalami ilmu fardhu ain tentang Islam terletak pada
diri setiap saudara baru itu sendiri. Sementara tugas penceramah ialah untuk menyampaikan ilmu Islam hingga mereka faham dan dapat beramal, serta memperbaiki diri dengan bimbingan hasil kefahaman tersebut. Satu hakikat lagi yang perlu disedari bersama ialah, perubahan diri bagi saudara baru juga memerlukan masa. Ini bergantung kepada usaha dan keikhlasan hati mereka sendiri.
6. Dengan menyedari hakikat masih ada kelemahan oleh pihak yang menyantuni muallaf, kami daripada Hidayah Centre Foundation menggesa saudara Mikhael supaya dapat bersemuka dengan pegawai tertinggi MAIS untuk mendapat penjelasan berkenaan kesulitan dan kemusykilan saudara baru yang masih perlukan penyelesaian.
7. Pihak Hidayah Centre sendiri bersedia hadir sebagai pengantara untuk sama-sama memastikan keperluan saudara baru dapat disempurnakan.
8. Kami juga dimaklumkan daripada sumber rasmi MAIS, jumlah keseluruhan saudara baru di Selangor adalah seramai 33,507 orang dan dari 2010 hingga April 2015 terdapat seramai 9972 orang saudara baru yang berdaftar. Jumlah kakitangan MAIS bagi mengendali urusan mereka adalah seramai 47 orang sahaja termasuk 9 orang pemandu dan mereka berkhidmat di pejabat-pejabat MAIS di daerah-daerah. Dengan nisbah pegawai MAIS dan saudara baru 1:713 sudah pasti pengurusan bantuan ini bukan suatu tugas yang mudah.
9. MAIS juga antara majlis agama Islam negeri di Malaysia yang telah berjaya menyempurnakan agihan zakat untuk asnaf saudara baru pada tahun 2014 sebanyak RM 51.8juta. Ini menggambarkan kesungguhan pihak MAIS dalam khidmat bagi membantu keperluan saudara baru.
10. Pihak Hidayah Centre Foundation percaya pihak MAIS mengamalkan sistem mengutamakan pelanggan dan bersedia menerima teguran melalui saluran yang disediakan.
Oleh yang demikian Hidayah Centre Foundation menggesa agar mana-mana pihak yang memperjuangkan urusan saudara baru dapat berhubung baik dengan pihak MAIS bagi menyelesaikan apa jua permasalahan dalam suasana mahabbah (kasih sayang) demi menjaga nama baik pihak yang bertanggung jawab dan golongan saudara baru sendiri yang mana ramai telahpun berjaya diberi bantuan.
Sekian.
17 hb Julai 2015
29 Ramadhan 1436 H.
"Saudara Baru Amanah Bersama"
Ir Wan Ahmad Nizar b Zakaria
Pengerusi
Hidayah Centre Selangor
Salam Eidulfitri 1436 H : DACS Selangor
DACS Selangor ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitri, Taqabbalallahu minna wa minkum kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia amnya sempena sambutan Hari Raya Eidulfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi. Diharap dengan berlalunya madrasah tarbiah bergelar Ramadhan berjaya meletakkan kita dalam golongan yang menang menentang hawa nafsu dan menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah Taala.
DACS Selangor juga ingin mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf lahir dan batin seandainya ada terkasar bahasa dan tersalah bicara. Di hari yang mulia ini, pihak DACS Selangor menyeru agar semangat ukhwah dan persaudaraan bukan sahaja dikekalkan tetapi dieratkan lagi dengan budaya kunjung mengunjungi dan ziarah mahabbah sesama kita. Marilah dalam bulan mulia ini, kita bermaaf-maafan dan mengamalkan budaya toleransi dalam perhubungan. Buat rakan-rakan bukan Islam, pihak DACS Selangor mengajak kalian agar bersama menyemai dan mengukuhkan perpaduan dengan berkunjung dan beramah mesra ke rumah sahabat kalian yang beragama Islam.
Islam adalah agama rahmat dan belas ihsan. Pihak DACS Selangor juga mengucapkan selamat pulang kepada para pengguna lebuh raya yang dalam perjalanan ke kampung halaman masing-masing. Kepulangan anda dinanti kaum keluarga, bukan untuk ditangisi. Amalkanlah budaya berhati-hati dan toleransi sesama pemandu di lebuh raya. Jadikanlah keselamatan diri dan keluarga di lebuh raya sebagai perkara utama sewaktu memandu atau menunggang.
Sekali lagi pihak DACS Selangor menyeru agar semangat kesederhanaan diamalkan sepanjang musim perayaan ini. Jangan dilupakan saudara seakidah kita di bumi yang tertindas seperti Palestin, Mesir, Syria dan Myanmar. Janganlah kita mengamalkan apa jua bentuk pembaziran di bulan Syawal kerana kita telah dididik dengan rapi oleh madrasah tarbiah Ramadhan.
Pisang emas bersama nira,
Pohonnya dekat tumbuhan berduri,
Bulan Syawal disambut gembira,
Kekalkan kesyukuran di dalam diri.
Bulan Ramadhan sudah berlalu,
Hiba dan sedih melanda hati,
Semaikan taqwa dalam diri selalu,
Moga bahagia bertemu Allah nanti.
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahil Hamd!
MUHAMMAD FADZLI B. ABU BAKAR
Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor.
Dewan Pemuda PAS Selangor.