ANTARA MURSI DAN TS KHALID IBRAHIM
13 OGOS 2014
Apabila seorang pemimpin yang amanah lagi berkaliber seperti TSKI ingin diturunkan dari jawatan MB oleh KetUm PKR, teringat pula tragedi kejatuhan Presiden Mesir oleh As-Sisi. Kedua-dua mereka diturunkan dari pemerintahan yang kaya, disaat kecemerlangan mereka menguruskan harta negara dan kebajikan rakyat.
Jika TSKI berjaya mencipta rekod sepanjang zaman Selangor; menambah rizab negeri hampir 3 billion, berjaya menolak perjanjian membazir 2.5billion dalam isu air kepada hanya 250 juta, meyakinkan pelabur asing berbondong-bondong ke Selangor, meningkatkan kadar agihan zakat, menyemarakkan institusi pendidikan dunia juga akhirat, dan bermacam lagi kecemerlangan yang tak mampu disebutkan, Dr Mursi juga mencipta rekod yang sama.
Dr Mursi berjaya menutup ketirisan ekonomi dalam pengurusan Terusan Suez yang melakukan transaksi billion dolar sehari. Daripada menjadi sebuah negara yang terpaksa mengimport gandum untuk keperluan rakyat, Mesir menjadi negara pengeluar yang boleh menjual gandum dan ubat-ubatan dengan harga jauh lebih murah kepada rakyatnya. Perkapita meningkat. Mesir juga berjaya mencipta jet pejuang pertama 100% buatan Mesir. Defisit dalam belanjawan tahunan berjaya dikurangkan tahun demi tahun, dan hutang luar tinggalan Mubarak hampir langsai!
Kedua-dua mereka mempunyai kehebatan yang sama, iaitu memerintah berteraskan keadilan dan menolak kronisme.
Lebih mengharukan, kedua-dua mereka walaupun dikatakan agak 'kedekut' untuk meluluskan peruntukan (Ini salah satu sifat amanah menjaga harta rakyat), tetapi dalam waktu yang sama mereka berdualah orang yang paling pemurah harta peribadi mereka.
TSKI mengeluarkan harta sendiri untuk membiayai bangunan PKR serta banyak kegiatan PKR yang lain. Dr Mursi juga didedahkan bahawa secara rahsia telah menyalurkan gaji bulanannya untuk membantu lebih 300 keluarga miskin di Mesir.
Cuma yang menjadi ketidakselesaan beberapa kumpulan, ialah sifat amanah kedua mereka itu menghalang mereka dari berkompromi dengan nafsu orang politik. Dr Mursi tidak sekali-kali tunduk terhadap kehendak kuasa politik dunia di barat mahupun timur yang memusuhi Islam terang-terangan. TSKI juga tidak mudah tunduk kepada tuntutan politikus sekelilingnya, di atas mahupun bawahannya yang hanya tahu melahap wang rakyat.
Nampaknya Malaysia baik pemerintah mahupun sesetengah pembangkang masih ingin membontoti corak politik kapitalisme Amerika. Politik ini memerlukan orang yang memerintah terus melobi dan mengambil hati politikus besar untuk menang dan terus memerintah.
Kalau nak menang pilihanraya di Amerika, calon mesti menyatakan sokongan terhadap dasar dan polisi negara haram Israel. Barulah Zionis itu akan mainkan propaganda melalui rangkaian media yang dikuasainya dan menyalurkan dana melalui Bank Dunia, IMF atau mana-mana agensi kewangan yang dikuasainya untuk membantu calon itu menang. Sebarang tindakan yang merimaskan Zionis dari sekutu-sekutunya, pasti akan diatur propaganda baru yang akan menjatuhkan karier orang tersebut.
Persoalannya, perlukah kita terus membudayakan amalan Amerika ini yang sudah jelas akibat buruknya? Adakah kita juga mahu terima nasib menjadi barua kuasa besar dunia seperti mereka?
Sudah tiba masanya kita tidak libatkan campurtangan politik dalam pentadbiran, sekurang-kurangnya dalam tempoh PRU14 masih jauh ini. Dahulukan kepentingan rakyat dan jangan sampai 'strategi' politik ini dilihat bodoh oleh rakyat biasa.
Kalau kita sanggup bersolidariti rabaah untuk negara yang jauh seperti Mesir, apa salah kami untuk turut bersolidariti untuk negeri Selangor?
(Alang Ibn Shukrimun)
s
Melayu bachul dan perlukan keberanian – Feriz Omar
August 13th, 2015
1. Melayu 'bachul' kerana tak tahu undang-undang atau mungkin disihir ?
Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris) banyak melalui isu kepimpinan negara dan lama perhatikan karakter Melayu. Melayu sebenarnya bachul dan perlukan keberanian ! Ini mungkin kerana secara rata-rata, Melayu tak tahu hak bersuara di bawah ruang lingkup undang-undang atau mungkin Melayu dipukau kuasa sihir yang besar lagi jahat yang mahukan Melayu terus redho dengan keadaan ekonomi-politik semasa.
2. Rakyat langsung tak pandang dan tak faham laporan fitch, moodys dan S&P !
Kepimpinan tertinggi Kerajaan seolah buta lagi tuli Melayu sebenarnya tak peduli laporan fitch, moody's dan S&P kerana 'real experience' yakni suasana sebenar di akar umbi adalah sangat bercanggah.
3. Persepsi negatif terhadap Malaysia ...
Petanda jelas seperti kejatuhan ringgit, yakni USD1.00 = RM4.00 dan kejatuhan komposit indeks hampir mencecah paras 1600, kejatuhan sebanyak 100 mata dalam tempoh seminggu adalah bukti jelas Rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mempunyai persepsi negatif terhadap Malaysia atas faktor tidak yakin dengan kepimpinan negara.
4. Beban GST, kenaikan harga minyak dan kadar tol melampau !
Mana taknya? Kenaikan harga barangan ekoran pelaksanaan GST, turun-naik harga minyak yang tidak menentu serta harga tol yang semakin meningkat sekalipun cukai jalan masih wajib dibayar adalah antara penyumbang kepada bahang ekonomi semasa.
5. Akar umbi Melayu yang kini rata-rata dipimpin Golongan Profesional Melayu sudah bijak dan ternyata bingung kerana mereka tahu GST sebenarnya boleh dilaksanakan pada kadar rendah dan dinaikkan berperingkat-peringkat mengikut keadaan semasa seperti di Singapura. Harga minyak pula boleh ditetapkan melalui pembelian pukal dan 'hedging' terutamanya dalam senario harga minyak dunia yang kini rendah. Harga tol boleh dielakkan dengan memanjangkan tempoh konsesi lebuhraya.
6. Namun, Kerajaan tetap dengan pelaksanaan yang bercanggah dengan kehendak Rakyat sekalipun kepimpinan tertinggi kini amat memerlukan sokongan padu rakyat terhadap Kerajaan yang tidak menentu.
7. Krisis matawang indonesia selesai selepas pemimpin utamanya letak jawatan...
Saya terhimbau kembali pada pengalaman saya sebagai ahli perbankan pelaburan dan penganalisis ekonomi di Indonesia sewaktu serangan penyangak matawang Soros menyerang Asia Tenggara antara 1997-1999, kejatuhan nilai rupiah USD1.00 = Rp16,000 (kejatuhan sebanyak 640%). Sekalipun terdapat spekulasi matawang, ternyata pertahanan ekonomi sebenarnya bergantung kepada 'Feel Good Factor' yakni Faktor Keselesaan Rakyat yang lenyap selepas Suharto diisytihar 'Diktator' segenap lapisan masyarakat di Indonesia. Akhirnya, suasana 'Feel Good Factor' itu tercapai selepas perletakan jawatan Presiden Suharto dan diganti BJ Habibie dan nilai matawang Rupiah pulih serta merta.
8. Ingat generasi muda penentu sama ada melayu akan terus berkuasa !
Hakikatnya, jatuh-bangun Kerajaan hari ini bergantung pada peratusan terbesar undi generasi muda yang kerap bertukar 'smartphone' dan menghisap vaper, sekalipun ia adalah sama haram dengan 'shisha'. Tidak mustahil golongan penentu ini akan bangkit menentang Kerajaan semata-mata kerana barangan dan aksesori yang menjadi kegilaan mereka ini walaupun sesetengahnya dari China, ia dibeli dengan USD dalam keadaan RM berada di tahap paling rendah dalam tempoh 17 tahun. Ingatlah juga generasi 'smartphone' ini yang sebenarnya menguasi berita info terkini, bukan Kumpulan Media Prima.
9. Hartanah melayu hampir pupus ?
Paling menakutkan adalah statistik Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menunjukkan hanya tinggal 12% tanah rezab Bangsa Melayu. Satu kadar amat memeranjatkan berbanding dengan amanah asal Raja-Raja Melayu agar 50% tanah Tanah Melayu dipelihara dan terus kekal milik rezab Melayu selamanya. Jika ini benar, kepimpinan Melayu sekarang ini gagal dalam memastikan kelangsungan agenda perjuangan bangsa.
10. TPPA, meranapkan DEB !
Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) masih dalam perundingan dan desakan pelobi utama, Amerika Syarikat untuk Malaysia menandatanganinya semakin memuncak. Kehadiran Presiden Obama yang kemungkinan datang buat kali kedua ke Malaysia dalam tempoh jangkamasa singkat sejak kunjungan pertama juga timbul tanda tanya. Golongan Profesional Melayu Muda amat risau jika perundingan ini berjaya kerana ia bakal melenyapkan agenda Bumiputera di bawah DEB sekali gus membenarkan syarikat-syarikat antarabangsa bermaharajalela di Malaysia.
11. Pentadbiran penuh musykil, badan penyiasatan antarabangsa diperlukan
Kes 1MDB perlu melibatkan penyiasatan badan berkuasa antarabangsa seperti INTERPOL kerana ditakuti ia mempunyai unsur-unsur 'pencucian wang haram' melalui transaksinya di luar negara. Jika transaksinya disahkan 'FRAUD' maka sumbernya adalah 'HARAM' dan tidak kira 1001 lapisan transaksi selepas itu juga dikira 'WANG HARAM' sekalipun ia adalah sumbangan / derma kepada parti politik yang memimpin Kerajaan Malaysia.
Kalau nak diharapkan agensi di Malaysia, pentadbiran kerajaan kini penuh tanda tanya. Sedangkan Timbalan Perdana Menteri yang mencadangkan penyelesaian isu 1MDB juga dilucutkan jawatan, Peguam Negara diberhentikan kerja semasa penyiasatan, para pegawai dari badan penyiasatan tersuci SPRM ditahan dan Pengerusi PAC pula terpaksa menamatkan perkhidmatan kerana menerima kenaikan pangkat sebagai Timbalan Menteri. Walau 1001 alasan diberikan, ia adalah pelik lagi musykil.
11. Bahang bakal mendidih
Rakyat terutamanya Melayu akar umbi semakin terasa bahang. Panas bahang ini bakal mendidih jika ia berterusan. Buktinya, suara lantang Ahli Profesional Melayu Saudari Anina Saaduddin bertajuk, "Najib Kaki Kencing" semasa Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO di Langkawi selepas luahan Perwakilan Pemuda Kuala Kedah dan serahan memorandum Perwakilan Bahagian Pasir Gudang perlu diteruskan. UMNO sebagai organisasi yang membawa wadah perjuangan Melayu adalah platform sebenar untuk segala isu berkenaan Melayu dan patut dibincang secara terbuka. Jika dihalang, maka parti yang dianggap 'keramat' Bangsa Melayu itu akan hilang 'keramat' nya, pupus malah akan dihina anak bangsa sendiri.
Ibu saya selalu mengingatkan, "Islam yang suci itu difitnah kerana umatnya, UMNO yang suci itu kini difitnah kerana beberapa orang pemimpinnya".
12. Jangan takut ! professional melayu dan gabungan NGO melayu perlu bangkit sekarang !
ProWaris menyeru agar ahli-ahli Profesional dan Graduan Melayu terus-terusan bangkit melalui pertubuhan masing-masing, terutamanya UMNO. NGO Melayu perlu bergabung secara besar-besaran kerana Penyatuan Melayu adalah amat kritikal di saat ini. Kepimpinan, Keselamatan dan Penyatuan perlu menjadi agenda utama. Golongan Profesional Melayu yang memimpin Bangsa Melayu peringkat akar umbi perlu lantang dan berani bersuara serta tidak perlu takut selagi platform yang digunakan adalah rasmi dan mengikut peraturan. Renung-renungkanlah apakah ini mungkin perjuangan episod terakhir kita.
Demi Islam. Demi Melayu. Demi Malaysia. – 13 Ogos, 2015.
* Feriz Omar merupakan Presiden, Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)
KEGILAAN MEMPERTAHANKAN 1MDB
Yang aku hairan teramat, yang terhegeh-hegeh jawab panjang lebar, pertahankan sampai lumat 1MDB bukannya orang UMNO, bukannya ahli kabinet, hatta bukan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB tapi golongan yang BUKAN ahli UMNO dan tiada sebarang akses rasmi - khusus melibatkan SEMUA DOKUMEN PENTING PERNIAGAAN seperti "private placement memorandum", "joint venture agreement PetroSaudi Intl", "business proposals" etc. lebih galak dan YAKIN sungguh yang tiada sebarang perlanggaran "governance", tiada sebarang "financial malfeasance" di dalamnya.
Semuanya baik belaka. Apa asas ukuran mereka untuk pertahankan sampai lumat?
Sekurang-kurangnya Sarawak Report dan The Edge ada DOKUMEN-DOKUMEN ASAL YANG SAH yang diambil daripada Xavier Justo (walaupun dituduh "tampered", Rahman Dahlan tiada berani zahirkan dokumen yang kononnya "untampered).
Dan kalau mereka percaya mereka di pihak yang benar, kenapa tidak buktikan kepada RAKYAT apa sebenarnya PERANCANGAN 1MDB yang ASAL dan yang BENAR, bukan menempelak versi kononnya "FITNAH" seperti yang disiasat oleh Sarawak Report, The Edge dan Tun Mahathir.
Kenapa dalam jangka masa yang singkat 1MDB boleh meraih HUTANG YANG SANGAT BANYAK sampai semput nak servis pinjaman ikut jadual? Model perniagaan "high gearing" dan "leveraging" yang gila ini siapa yang bagi kelulusan? Apa Ahli Lembaga Pengarah dan Lembaga Penasihat tak buat kerja atau buat keputusan yang salah??
Kalau syarikat peribadi tak kisah, masalahnya semua hutang ini akan ditanggung oleh RAKYAT juga akhirnya kerana ianya milik KEMENTERIAN KEWANGAN (MOF Inc.) - "socialization of cost"!
Kenapa jawapan yang diberikan Kementerian Kewangan dan 1MDB sangat kabur, penuh dengan permainan kata macam CEO baru 1MDB yang diangkut daripada Abu Dhabi iaitu Arul yang bermain kata dengan "cashflow missmatch". Itu bukan jawapan kenapa 1MDB bermasalah. Beliau yang cuba kaburkan kita dengan kata-kata yang hampa maknanya kerana "cashflow missmatch" adalah KESAN (CONSEQUENCE) bukannya SEBAB (CAUSE) 1MDB yang telah memaksa kerajaan dan rakyat Malaysia menanggung hutang yang bertapuk-tapuk banyaknya.
Kenapa 1MDB pengecut untuk berdepan dengan PAC? Kenapa? Kenapa?
s
PILIHAN WADAH POLITIK
1. Ramai adik mahasiswa dan rakan FB yang bertanyakan saya sama ada mereka perlu join GHB atau kekal dengan PAS. Kebanyakan mereka faham dengan apa yang melanda PAS mutakhir ini.
2. Saya tidak suka mendoktrin atau memaksakan pilihan tertentu kepada mereka. Buatlah pilihan ikut pertimbangan yang rasional. Mungkin ini nasihat untuk yang lain juga.
3. Saya katakan bahawa PAS tidak gagal sebagai sebuah gerakan Islam (Harakah Islamiah). Urusan tarbiyah, dakwah, kebajikan, pendidikan awal Islam dan pelbagai aspek ternyata PAS di depan berbanding gerakan Islam yang lain. Soal keahlian juga memperlihatkan PAS jauh meninggalkan rakan-rakannya yang lain.
4. PAS hanya kurang berjaya sebagai sebuah parti politik. Ukuran parti politik tidak dapat tidak adalah prestasi dalam pilihan raya serta keberkesanan berkhidmat apabila menjadi kerajaan. Selepas gagal dalam 13 pilihan raya sebelumnya, tidak ada tanda bahawa pilihan raya akan datang akan menjanjikan keputusan yang lebih baik selagi mana PAS kekal dengan pendekatan dan cara fikir yang lama. (Bahagian ini akan saya kupas panjang dalam penulisan akan datang).
5. Jika anda lebih cekap dan berkesan dalam meyumbang kepada PAS sebagai sebuah gerakan Islam, saya nasihatkan kekallah dengan PAS. Tetapi jika anda mahukan parti yang serius dan fokus untuk merampas teraju Putrajaya daripada UMNO dan Barisan Nasional, pilihan lain wajar dipertimbangkan secara serius.
6. Buatlah pilihan berdasarkan manfaat hasil kecekapan yang terbaik. Jika anda join GHB, PKR ataupun DAP tetapi tak ada apa-apa kemahiran yang boleh disumbangkan sebagaimana anda berada dalam PAS, maka bagi saya ia sia-sia. Begitu juga jika anda kekal dalam PAS tetapi potensi dan bakat hanya terbiar dalam peti ais, ia juga sia-sia.
7. Buatlah pilihan yang terbaik. 8. Semoga Allah menunjukkan jalan
Kebebasan Akademik dan Minda Negara Maju
Hanif Mahpa dan Afiqah Zulkifli merupakan nafas baru penyambung tradisi intelektualisme dan usaha pemugaran aktivisme mahasiswa.
Saya mengenali mereka melalui aktivisme yang mereka terlibat samada yang bercorak akademik mahupun kemanusiaan. Selain bersikap non-partisan, kedua mereka konsisten di dalam membawa budaya berfikir dan minda jiwa merdeka di kalangan siswa dan siswi UIAM selari dengan ruh kebebasan akademik yang sepatutnya menjadi tunjang mana-mana institusi pengajuan tinggi yang bermaruah dan berintegriti.
Keberanian mereka menganjuran forum GST yang melibatkan wakil UMNO dan PKR adalah cerminan terhadap minda siswa kelas dunia. Adalah sesuatu yang lazim dan normal bagi mana-mana IPT di negara-negara maju dan dunia pertama untuk menganjurkan program-program pertukaran ide, debat ataupun forum yang melibatkan semua pihak agar tahap intelektualisme siswa dan siswi tidak di'Pandir'kan. Kedua mereka mempunyai jiwa siswa negara maju dan juga minda kelas dunia di atas penganjuran forum seumpamanya.
Malangnya minda kelas pertama dan juga negara maju mereka tidak dihargai. Sebagai balasannya kedua mereka telah dikenakan hukuman yang berat oleh pihak pentadbir UIAM. Hal ini amat dikesalkan dan sekaligus menambahkan lagi rekod reputasi negatif UIAM di mata masyarakat akademik antarabangsa. Lagak seumpama ini hanya membariskan UIAM setaraf dengan mana-mana universiti dunia ketiga dari segi ruang kebebasan akademik.
Pihak pentadbir wajib mengkaji semula keputusan mereka dan telah sampai masanya untuk mempertingkatkan cara fikir dan cara bertindak. Usah kerana ambisi peribadi individu tertentu yang rakus keduniaan dan dangkal mindanya, nilai intelektualisme dan kebebasan akademik diperkosa.
Siswa dan siswi perlu bangkit dengan minda masyarakat negara maju yang berjiwa merdeka dan berdaya saing di dalam segenap lapang kehidupan.... Sapere aude!
Dr Maszlee Malik
Presiden
Academic Staff Association (ASA)
UIAM
.
Warkah Cinta Bersulam Duka Buat Mat Sabu
Oleh Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin
Menemui ayahanda Tuan Haji Mat Sabu yang anakanda amat sayangi, maafkan anakanda kerna menukilkan satu warkah khas buat ayahanda saat kami anakanda kadermu sedang kepeningan di awangan dek realiti yang terbentang di mata kepala. Saat lahirnya warkah ini, bukan untuk mengotorinya dengan kata cercaan namun dengan penuh rendah diri anakanda menagih sebuah harapan lama yang ayahanda titipkan kepada kami suatu masa dahulu.
Ayahanda, kredibiliti yang ditonjolkan oleh ayahanda suatu ketika dahulu tidak perlu untuk dipertikaikan. Izinkan anakanda pula menghidangkan sebuah hidangan lama yang pernah dihidangkan oleh ayahanda. Saat ayahanda pesonakan kami dengan siri gegaran pentas ceramah, ayahanda disambut dengan laungan ‘Takbir’ dan ‘Allahuakbar.’ Betapa besarnya jiwa ayahanda ketika itu.
Ketika ayahanda menjadi hulubalang kelas pertama dalam bahtera ini, ayahanda ditarbiyah oleh seorang sang murabbi yang kebal dan dipenuhi perbendaharaan ilmu. Diri ayahanda dipersiap secara rohani dan jasmani bak kereta kebal utuh, walaupun insan yang pernah mentarbiyah ayahanda akhirnya membuka langkah besar melakukan lompatan jarak jauh dan terus mendarat di lapangan yang bernama UMNO, ayahanda tetap istiqamah dalam bahtera ini.
Ayahanda dinobatkan oleh ahli PAS sebagai pelapis pemuda yang bakal menyinari politik Tanah Air suatu hari nanti (sekarang). Lihatlah rentetan pilihanraya yang diceburi oleh ayahanda. Masih ingatkah lagi saat ayahanda diamanahkan oleh parti untuk bertanding lawan Tun Abdullah Badawi di parlimen Kepala Batas secara tiga penjuru iaitu PAS vs BN vs DAP? Tapi ayahanda kekal istiqamah walaupun kalah secara terhormat. Ingatkah lagi saat dipertanggungjawabkan oleh parti sekali lagi bertanding di parlimen Permatang Pauh melawan Dato Seri Anwar Ibrahim? Sahabat karib ayahanda semasa di dalam ABIM dan pernah bersama beliau berkampung di Kelantan bagi membantu jentera PAS dalam plihanraya umum tahun 1970an. Masih ingatkah ayahanda?
Ayahanda kekal istiqamah walaupun berdepan siri kekalahan dalam pilihanraya sebelum diberikan kemenangan secara bermaruah dalam pilihanraya tahun 1990 dan 1995. Anakanda tersangat salute dengan pengorbanan ayahanda menghadapi segala mehnah dan tribulasi. Namun apa dah jadi sekarang ayahanda?
Anakanda menagih lantangan suara ayahanda tatkala menjadi suara emas mempertahankan hudud yang ingin dilaksanakan di Kelantan. Saat berada di parlimen, ayahanda bangun dengan tegasnya mempersoalkan kepada Tun Mahathir dengan menyatakan: “Kenapa Kelantan tidak boleh laksanakan hudud? Adakah sebab kuantiti? Sedangkan di Madinah dahulu ketika dilaksanakan hudud, yang beragama Islam hanyalah 30%.” Ketegasan ayahanda membuatkan Tun Mahathir diam dan tidak mampu menjawab. Ayahanda! Mana suara keramat ayahanda saat itu? Kenapa tidak diaplikasikan saat berhadapan ex rakan pakatan?
Ketika ayahanda berucap pabila menjadi YB Ahli Parlimen Nilam Puri, ayahanda melaungkan suara keramat ayahanda menegaskan bahawa, perjuangan kita atas dasar parti dan bukan individu. Masa itu ayahanda memberikan contoh Dato’ Asri pada asalnya adalah Yang Pertua PAS, namun bila meninggalkan perjuangan ini, beliau tidak dikenang langsung oleh rakyat Kelantan malah akhirnya berhijrah ke Kedah walaupun asal daripada Kelantan. Berbeza dengan Profesor Zulkifli, asalnya daripada Perak dan pejuangan beliau berakhir apabila meninggal dunia dalam tragedi kemalangan jalan raya belum sempat mengangkat sumpah menjadi ahli parlimen Bachok. Sehingga kini, Prof. Zulkifli dikenang sebagai pejuang PAS malah dinamakan dewan pejabat PAS Kota Bharu sebagai Dewan Profesor Zulkifli Muhammad. Mash ingat lagikah ayahanda?
Ayahandaku yang dihormati, masih ingatkah lagi bila ayahanda membacakan surat amanat yang ditulis oleh Arwah Ustaz Amaluddin Darus saat melihat pimpinan PAS mula tidak thabat dalam perjuangan. Salah satu isi penting yang dibacakan oleh ayahanda di hadapan rakyat Kelantan iaitu “Pucuk pimpinan PAS perlu jaga dasar parti walaupun ke mana kita pergi dan ke mana kita bergerak.” Dimanakah suara ayahanda semasa menjawat jawatan Timbalan Presiden PAS? Adakah ayahanda mempertahankan dasar parti saat dirobek oleh ex rakan pakatan? Jawab ayahandaku.
Maafkan anakanda kerana bertubi-tubi bertanyakan kembali soalan ini. Anakanda ingin merungkai kembali semua kata kalimat ayahanda suatu ketika dahulu. Mungkin tiada yang ingat namun peringatan ini kerna anakanda sangat sayangkan ayahanda dan bahtera ini. Untuk yang terakhir, anakanda hamparkan kembali kalimat berbisa ayahanda saat itu yang berbunyi:
“Tuan-tuan suka kepada PAS, suka kepada saya sebagai Wakil Rakyat, suka kepada Semangat 46, suka kepada Angkatan, maka sebab itulah tuan-tuan memilih saya sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Nilam Puri. Tetapi sekiranya saya tidak kena pada suatu hari nanti, maka janganlah saya dihantar baik ke Pulau Pinang. Sebalikya, saya harap tuan-tuan buangkan saya saja ke Laut China Selatan.”
Kata-kata ini anakanda cuba mengertinya secara mendalam. Oleh kerana anakanda ada mempelajari Usul Fiqh, kalimah “tidak kena pada suatu hari nanti” adalah lafaz umum dan pasti akan berterusan sehingga datang dalil lain yang menafikannya. Maka lafaz ini terpakai sehingga ke hari ini. Mohon ayahanda bersiap sedia dengan kata-kata ayahanda sendiri.
Ayahanda Tuan Haji Muhammad Sabu yang dikasihi. Anakanda tahu bahawa ayahanda sekarang sudah pun jauh menyeberangi dan meninggalkan bahtera ini. Bahtera yang sarat dengan hulubalang-hulubalang beraneka citrawarna. Saat kita sudah sampai ke puncak setelah jauh mengembara plus berbicara dengan arus ombak yang deras, ayahanda sudah persiapkan bahtera baru. Sedih dan cukup menyedihkan, tiada lagi kasih dan tiada lagi sayang kerna kasih dan sayang anakanda atas dasar perjuangan parti dan bukan individu. Lantas terimalah warkah cinta bersulam duka buat ayahanda Tuan Haji Muhammad Sabu.
Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin
Pewaris Pejuang PAS Kelantan
w
DATUK ABDUL RAHMAN DAHLAN SEMAKIN MEMBADUTKAN DIRI DAN CUBA MENGELIRUKAN RAKYAT.
Skandal 1MDB dan wang "derma" RM2.6 bilion masih hangat dibincangkan oleh rakyat Malaysia. Ianya semakin hangat ekoran tindakan-tindakan Perdana Menteri merombak Jemaah Menteri dan melucutkan jawatan Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara. Antara yang terlibat dalam rombakan Jemaah Menteri ialah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan beberapa orang ahli PAC sendiri. Ini telah menyebabkan prosiding PAC yang sedang berjalan menyiasat skandal 1MDB tertangguh atas alasan-alasan yang direka cipta oleh mereka dengan kerjasama Yang DiPertua Dewan Rakyat. Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata PAC tidak boleh bersidang selagi Pengerusi dan ahli-ahli baru tidak dilantik semula walau pun Naib Pengerusi dan majoriti ahli PAC masih ada. Pelbagai cara mereka gunakan untuk melengah-lengahkan siasatan ke atas 1MDB yang melingkari Perdana Menteri.
Terbaru, semalam, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam suatu sidang media berkata sebelum Pengerusi dan ahli-ahli baru PAC yang baru dilantik, Jawatankuasa Pemilih perlu terlebih dahulu dirombak.
Datuk Abdul Rahman mungkin berfikiran bahawa rakyat Malaysia semuanya bodoh seperti beliau atau mudah dikelirukan. Sebenarnya kenyataan beliau jelas membuktikan beliau tidak layak menjadi Ahli Parlimen, lebih-lebih lagi Menteri Kabinet yang mengurus tadbir negara.
Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat khususnya Peraturan 76 (1) menyatakan bahawa :
Hendaklah ada sebuah Jawatankuasa yang akan dinamakan Jawatankuasa Pemilih, dilantik awal tiap-tiap Parlimen kerana menjalankan kewajipan-kewajipan yang diuntukkan baginya oleh Peraturan-peraturan Mesyuarat ini, dan kerana menjalankan apa-apa perkara lain yang diserahkan kepadanya oleh Majlis dari satu masa ke satu masa
Peraturan 76 (2) pula memperuntukkan bahawa :
Jawatankuasa Pemilih itu hendaklah mengandungi Tuan Yang di-Pertua sebagai
Pengerusi, dan enam orang ahli Majlis yang dipilih oleh Majlis, Jawatankuasa ini hendaklah memaklumkan kepada Majlis dengan mengeluarkan satu penyata apabila seseorang ahli Majlis telah dilantik jadi ahli sesebuah Jawatankuasa. Jawatankuasa Pemilih tidak berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya atau meminta dikeluarkan surat-surat kecuali jika Majlis membuat ketetapan memberi kuasa berkenaan dengan ini.
Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Jawatankuasa Pemilih sekarang perlu dirombak terlebih dahulu kerana ada di kalangan ahli-ahli Jawatankuasa Pemilih sekarang ialah mereka yang telah ditolak oleh Kerajaan seperti Tan Sri Muhyiddin Yaasin dan Datuk Seri G Palanivel. Katanya lagi sebelum ini Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pemilih atas kapasitinya sebagai Ketua Whip BN dan Timbalan Perdana Menteri, begitu juga Datuk Seri Palanivel atas kapasiti Presiden MIC. Justeru apabila kedua-duanya Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Palanivel digugurkan dari Jemaah Menteri, mereka wajar dikeluarkan daripada Jawatankuasa Pemilih.
Jika kita perhatikan Peraturan 76(2) di atas, ianya adalah jelas bahawa ahli Jawatankuasa Pemilih ialah ahli yang dilantik oleh Majlis. Majlis dalam kontaks Peraturan Mesyuarat ialah Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Ini bermaksud semua ahli Jawatankuasa Pemilih dipilih dan dilantik oleh dan di dalam Majlis Mesyuarat. Tiada sebarang peruntukkan mewajibkan ahli Jawatankuasa Pemilih terdiri daripada komponen parti atau berjawatan di dalam parti. Jika ada sekali pun ianya sekadar konvensyen yang tidak mengikat dan tidak mengatasi Peraturan Mesyuarat.
Justeru jika melihat peruntukkan Peraturan Mesyuarat, jelas bahawa Jawatankuasa Pemilih tidak perlu dirombak kerana tidak bersalahan dengan Peraturan Mesyuarat.
Selain itu, Jawatankuasa Pemilih juga hanya berhak melantik ahli Jawatankuasa lain termasuk ahli PAC. Pengerusi PAC tidak dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih sebaliknya dilantik oleh Majlis. Ini jelas disebutkan di dalam Peraturan 77 (2) seperti berikut :-
Jawatankuasa ini hendaklah mengandungi seorang Pengerusi dan Naib-Pengerusi yang akan dilantik oleh Majlis dan tidak kurang daripada enam dan tidak lebih daripada dua belas orang ahli yang akan dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segeranya selepas dimulakan tiap-tiap Parlimen.
Kesimpulannya, Datuk Abdul Rahman Dahlan tidak perlu lah terus-terusan menjadi badut dan bahan lawak Malaysia. Jika ingin mempertahankan Perdana Menteri sekali pun biarlah dengan cara yang betul dan bukannya bercakap semberono tanpa fakta yang jelas. Tidak semua rakyat Malaysia yang bodoh seperti Datuk dan jangan terus memperobodhkan rakyat Malaysia kerana rakyat Malaysia sudah celik dari kebodohan Umno/BN.
Jangan cuba mencari helah melambat-lambatkan penyiasatan skandal terbesar negara sekarang dengan helah-helah bodoh yang penuh lucu.
BERANI BERUBAH KE ARAH MALAYSIA YANG LEBIH BAIK.
ZULHAZMI SHARIFF
12082015