Showing posts with label Perak. Show all posts
Showing posts with label Perak. Show all posts

Mahu rombak pasukan bola Perak? Ini saya senaraikan cara-caranya. - Daniyal Kadir



Mahu rombak pasukan bola Perak? Ini saya senaraikan cara-caranya.

1. Swastakan pasukan ini. Tiada lagi sumbangan daripada Kerajaan. Semuanya melalui tajaan dan carian modal sendiri. Sumbangan Kerajaan mungkin boleh diberikan pada peratusan yang rendah buat permulaannya, selebihnya ialah melalui dana dan tajaan yang dicari sendiri oleh pasukan.

2. Organisasi pengurusan merupakan aspek yang perlu dirombak. Wujudkan jawatan-jawatan seperti Pengerusi, CEO, COO, Ketua Komunikasi, Pegawai Kewangan, Pegawai Tadbir. Pisahkan aspek teknikal dan pengurusan supaya kedua-duanya boleh bertindak sebagai badan bebas. Namun, keputusan kedua-duanya boleh diselaraskan dalam satu mesyuarat induk, misalnya soal pembelian pemain.


3. Organisasi teknikal, merangkumi soal kejurulatihan, taktikal, pembangunan bola sepak, pemantauan (scout) pemain berpotensi boleh diketuai oleh seorang individu sebagai Pengarah Teknikal. Beliau seharusnya manusia yang memiliki kredibiliti dan reputasi tinggi di peringkat nasional dan internasional. Calon yang paling sesuai dan memahami bola sepak Perak buat masa ini ialah Karl-Heinz Weigang.

4. Organisasi Pengurusan pula diketuai oleh seorang yang benar-benar berkeupayaan dalam bidang pengurusan dan sewajarnya memiliki pengalaman hebat dalam dunia korporat.

5. Pengerusi Kelab Bolasepak Perak boleh dalam kalangan bekas pemain, orang korporat atau orang-orang kenamaan lain yang memiliki pengaruh dan mampu menarik banyak tajaan.

6. Jangan sesekali merombak barisan pemain dengan menamatkan kontrak mereka dan mencari pemain baru. Sebaliknya penamatan kontrak hanya untuk pemain yang gagal menyerlahkan prestasi sahaja. Pemain yang baik harus dikekalkan. Selain itu, aspek kontrak pemain juga perlu dinilai semula bagi memastikan pemain utama tidak mudah dipancing oleh pasukan lain.

7. Barisan kejurulatihan boleh dirombak dengan mengambil jurulatih yang benar-benar berkualiti. Pelantikan Ketua jurulatih dan jurulatih ini hendaklah datang hasil cadangan Pengarah Teknikal.

8. Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) hanya bertindak sebagai pemantau dan badan yang menguruskan bolasepak sahaja. Badan Induk yang mengeluarkan akreditasi, meluluskan program pembangunan, mewujudkan liga di Peringkat negeri serta daerah dan sebagainya. Kelab Bolasepak Perak bukan mewakili PAFA, tetapi bernaung di bawah PAFA. Kelab-kelab lain juga boleh tumbuh berasaskan kepada model yang ada supaya Perak menjadi tempat mewujudkan kelab-kelab lain yang boleh bersaing di peringkat tertinggi. Diharapkan ini ialah permulaan untuk kita melihat kemunculan Kangsar City, Bercham Rovers, Kamunting FC, Real Manjoi dan Manong United.

Sekian pandangan saya. Diharapkan idea 'bodoh' ini boleh dikembangkan lagi. Hentikan penggunaan wang cukai untuk membiayai sebuah pasukan bola yang tak kemana-mana hasilnya. Lembaga Air Perak wajib menghentikan tajaan dengan segera! Hidup Perak! Kejor Yob Kejor!

s

Tangkapan Mengecewakan, Zambry Perlu Berani Bersemuka Dengan Rakyat - Pemuda #HarapanBaru Perak



KENYATAAN MEDIA
PEMUDA HARAPAN BARU PERAK
6 OGOS 2015

TANGKAPAN MENGECEWAKAN, ZAMBRY PERLU BERANI BERSEMUKA DENGAN RAKYAT


Tindakan pihak berkuasa melakukan tangkapan terhadap petani dan penternak yang melakukan himpunan aman di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak semalam sangat mendukacitakan.

Tindakan tersebut secara tidak langsung telah menafikan hak rakyat untuk bersuara menyatakan isi hati serta nasib mereka seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.

PEMUDA HARAPAN BARU NEGERI PERAK dimaklumkan, petani-petani dan penternak-penternak terbabit telah diusir daripada tanah yang diusahakan mereka lebih 50 tahun oleh Perbadanan Menteri Besar, kerajaan negeri, syarikat swasta dan pejabat tanah yang ingin membangunkan kawasan terbabit.

Mereka mengambil keputusan untuk berhimpun setelah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak mengambil perhatian terhadap nasib serta aduan yang dilaporkan oleh mereka.

Mereka daripada 22 kawasan di negeri Perak itu telah menghantar memorandum sebanyak 7 kali dan berpuluh-puluh surat kepada Dr Zambry bagi meminta satu temujanji dengan Adun Pangkor itu.

Namun usaha yang dilakukan itu hanya berakhir dengan kegagalan apabila Dr Zambry enggan memberikan respon terhadap tuntutan petani dan penternak itu untuk bertemu dengannya.

Kami menegaskan, tindakan Dr Zambry menolak untuk bertemu dengan rakyat yang ingin meluahkan nasib mereka adalah satu tindakan yang sombong dan tidak bertangunggjawab.

Selaku menteri besar, Zambry seharusnya meraikan dan mendengar segala permasalahan yang dibangkitkan oleh rakyat seterusnya berbincang untuk mencari jalan penyelesaian.

Bagi kami, beliau sebagai pemimpin tertinggi pentadbiran negeri seharusnya berani untuk bersemuka dengan rakyat terhadap apa jua isu yang dikemukakan.

Dalam isu berkaitan petani dan penternak ini, mereka telah menggunakan platform dan cara yang betul iaitu memohon untuk mengadakan pertemuan sebelum mengambil keputusan untuk mengadakan himpunan seperti itu.

Kami tidak melihat tindakan mereka itu adalah satu tindakan yang bersifat keterluan, ini kerana ia dilakukan setelah Dr Zambry enggan memberikan respon yang sepatutnya.

PEMUDA HARAPAN BARU NEGERI PERAK mengingatkan kepada Dr Zambry serta seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Perak agar tidak takut untuk bersemuka dengan rakyat.

Mereka yang diberi mandat sepatutnya berusaha sedaya mungkin untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan, bukannya mengambil sikap 'lepas tangan'.

Kami komited untuk terus memperjuangkan nasib rakyat khususnya mereka yang ditindas dan dinafikan hak mereka tanpa mengira kaum dan agama!

‪#‎HarapanBaru‬

SHAFIQ ARIFFIN
Ketua Penerangan,
Pemuda Harapan Baru Negeri Perak

SAMM Kecam Penangkapan Petani di SUK Perak



Kenyataan Media
5 Ogos 2015

SAMM Kecam Penangkapan Petani di SUK Perak
Rakyat terus ditindas di halaman sendiri apabila protes Selamatkan Petani dan Penternak Negeri Perak yang berlangsung di hadapan pejabat SUK Perak pagi tadi berakhir dengan tangkapan oleh pihak berkuasa.


Isu timbul apabila petani-petani terbabit mendakwa mereka diusir oleh beberapa pihak berkepentingan termasuklah Perbadanan Menteri Besar dan syarikat swasta yang ingin membangunkan kawasan pertanian/penternakan yang diusahakan mereka lebih 50 tahun.

Walaupun pihak Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Negeri Perak sudah menyerahkan 8 memorandum sejak 2013, usaha mereka untuk bertemu dengan Menteri Besar Perak bagi mencari penyelesaian gagal menjadi realiti. Akhirnya seramai 39 orang petani dan aktivis dari sejumlah 200 peserta protes telah diberkas selepas Menteri Besar Perak tidak sudi turun menemui mereka.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Perak mengecam tindakkan pihak berkuasa yang tergamak menangkap peserta yang terdiri dari golongan petani dan penternak. Bagaimana masalah ini mampu diselesaikan jika MB sendiri tidak pernah bersedia untuk bertemu rakyat? Malah MB juga tidak mampu memberikan satu tarikh pertemuan dengan wakil gabungan petani.

SAMM Perak menggesa agar semua petani dan aktivis yang diberkas supaya dibebaskan segera dari tahanan polis tanpa sebarang dakwaan.

SAMM Perak turut mengucapkan syabas kepada Gabungan kerana dengan berani turun ke pejabat Menteri Besar (SUK) mempertahankan hak bertani. Peristiwa hari ini harus dicontohi oleh semua golongan tertindas di seluruh negara.

Muhammad Sufian
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Perak


Skandal 1MDB dan Skandal Watergate: Skandal terburuk bagi Malaysia dan Amerika Syarikat - Fitri Asmuni GHB




Skandal 1MDB dan Skandal Watergate: Skandal terburuk bagi Malaysia dan Amerika Syarikat.

Pada tahun 1970an, Amerika Syarikat pernah dilanda sebuah skandal politik yang melibatkan kepimpinan tertinggi negaranya yang membawa kepada perletakkan jawatan Presiden Richard Nixon pada tahun 1974 dari parti Republik.

Skandal ini bermula selepas 5 orang lelaki yang memecah masuk ibu pejabat Democrate National Committee (DNC) di kompleks Watergate pada 17 Jun 1972 telah ditangkap.

Ketika Presiden Nixon masuk bertanding pemilihan semula sebagai presiden, Amerika Syarikat terlibat dalam Perang Vietnam yang menyebabkan berlakunya krisis dalaman negara yang teruk. Demi mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden, Nixon telah mengarahkan orang-orangnya untuk memecah masuk ke dalam ibu pejabat parti Demokrat di Watergate, Washington D.C. Lima orang ahli Jawatankuasa Pemilihan Semula Presiden (dikenali sebagai Creep) telah ditugaskan untuk memecah masuk ke bangunan Watergate tersebut untuk mencuri dokumen-dokumen rahsia parti Demokrat dan memasang alat pengintipan pada telefon bagi memintas sistem komunikasi parti tersebut.

Malangnya, ketika mereka bersiap sedia untuk memecah masuk ke dalam pejabat tersebut, seorang pengawal keselamatan pejabat itu menyedari kehadiran mereka di dalam bangunan tersebut dan melaporkannya kepada pihak polis untuk membuat tangkapan.

Di peringkat awal penyiasatan, FBI berjaya mengaitkan pencerobohan tersebut dengan White House tetapi ia kemudiannya telah berjaya dinafikan oleh Presiden Nixon.

Skandal tersebut pada awalnya tidak menjejaskan sokongan Nixon untuk terus kekal sebagai Presiden Amerika Syarikat buat penggal yang berikutnya. Nixon berjaya menutup skandal tersebut selama 2 tahun. Dalam tempoh tersebut, pelbagai tindakan telah dirancang oleh Nixon untuk meyakinkan rakyat bahawa pencerobohan tersebut tiada kaitan dengannya. Contohnya beberapa hari selepas kejadian pecah masuk, Nixon mengatur untuk membayar wang yang banyak kepada pemecah masuk. Dia dan pembantunya kemudian mengarahkan CIA untuk menghalang siasatan FBI terhadap jenayah itu. Sementara itu, 7 orang telah didakwa atas tuduhan yang berkaitan dengan kejadian Watergate dan atas gesaan pembantu Nixon, 5 mengaku bersalah dan mengelak perbicaraan manakala 2 yang lain telah disabitkan pada Januari 1973.

Pada masa yang sama, beberapa konspirator mengalami tekanan dalam cubaan menutup kes itu. Akibat dari tekanan tersebut, beberapa pembantu Nixon mendedahkan di Mahkamah bahawa Nixon secara diam-diam telah merakam setiap perbualan yang berlaku di Pejabat Oval.

Nixon bertungkus-lumus melindungi pita-pita itu. Peguamnya berhujah bahawa keistimewaan eksekutif presiden membenarkan Nixon untuk menyimpan pita-pita itu, tetapi Sirica, jawatankuasa Senat dan pendakwa khas bebas, Archibald Cox berazam untuk mendapatkan pita-pita itu. Apabila Cox enggan menyerah kalah untuk mendapatkan pita-pita rakaman itu, Nixon mengarahkan Cox dipecat, yang akhirnya membawa kepada perletakan jawatan beberapa pegawai Jabatan Kehakiman yang lain sebagai tanda protes terhadap campur tangan yang dilakukan oleh Nixon. Akhirnya, Nixon bersetuju untuk menyerahkan beberapa pita rakaman tersebut tetapi tidak kesemuanya.

Pada bulan Julai 1974, Mahkamah Agung mengarahkan Nixon untuk menyerahkan pita-pita rakaman yang masih disimpin oleh Nixon. Walaupun Nixon melengahkan arahan mahkamah, Kongres mengundi untuk mensabitkan Nixon bersalah atas tuduhan menghalang proses keadilan, penyalahgunaan kuasa, usaha mahu menutup skandal dan beberapa pelanggaran terhadap Perlembagaan negara. Akhirnya pada 5 Ogos 1974, Nixon terpaksa menyerahkan kesemua pita-pita rakaman tersebut yang menyimpan bukti yang tidak dapat dinafikan oleh Nixon mengenai penglibatannya dalam jenayah skandal Watergate. Akhirnya pada 8 Ogos 1974, Richard Nixon meletakkan jawatannya selaku Presiden Amerika Syarikat.

Ia merupakan antara skandal politik terburuk yang pernah melanda Amerika Syarikat. Hari ini di Amerika Syarikat, skandal Watergate telah menjadi satu istilah bagi merujuk kepada konspirasi politik, rasuah, penggunaan harta awam untuk kepentingan peribadi dan penyalahgunaan kuasa politik.

Di Malaysia, kita berdepan pula dengan skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib. Saya berani katakan bahawa skandal Watergate tidaklah seteruk skandal 1MDB yang memalit Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia.

Dalam skandal Watergate, sekalipun Nixon telah melakukan banyak tindakan untuk menutup skandal tersebut, tetapi ia tidaklah seteruk jika hendak dibandingkan dengan tindakan yang sedang dilakukan oleh Najib Tun Razak dalam skandal melibatkan 1MDB dan dirinya sendiri.

Demi menyelamatkan dirinya yang sedang lemas, Najib sanggup melakukan apa sahaja sehingga ke tahap menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalannya dan merombak Kabinet baru kepada Kabinet Najib atau Kabinet 1MDB yang tujuannya hanyalah untuk mempertahankan salah saku Najib selaku Perdana Menteri dan menutup skandal 1MDB yang sedang membarah.

Serentak dengan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut, Tan Sri Gani Patail selaku Peguam Negara yang mengetuai Pasukan Khas siasatan skandal 1MDB juga telah ditukar secara tiba-tiba dengan Peguam Negara yang baru.

Sebelumnya, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil tindakan menggantung permit dan menyekat akhbar The Edge dan Sarawak Report daripada diakses oleh para pembaca agar pendedahan demi pendedahan yang dilaporkan oleh akhbar tersebut mengenai skandal 1MDB dan salah laku Najib tidak sampai kepada rakyat.

Najib juga telah memainkan propaganda kotor apabila menggunakan pihak tertentu untuk mengugut tokoh-tokoh penting yang berada di dalam pasukan Special Task Force termasuklah terhadap Gabenor Bank Negara, Timbalan Gabenor Bank Negara, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM dan lain-lain lagi di samping menahan dan menyoal siasat beberapa yang lain termasuk penasihat SPRM dan Penolong Pendakwaraya SPRM yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB tersebut atas dakwaan yang bukan-bukan di bawah s. 124 Kanun Keseksaan.

Yang lebih menyedihkan, Speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya mengambil sikap berkecuali telah bertindak "bias" apabila cuba campur tangan dalam inkuiri PAC dengan mengarahkan agar PAC menangguhkan prosidingnya itu sehingga Pengerusi PAC yang baru dilantik semula. Bukan sekadar itu, kenyataan media SPRM semalam yang mendapat kritikan ramai mengenai dana RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib itu dilihat telah dimandulkan oleh tangan-tangan ghaib yang berperanan untuk menutup jenayah rasuah yang dilakukan oleh Najib Tun Razak.

Kita sedang menyaksikan negara kita dimusnahkan sedikit demi sedikit oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Skandal 1MDB dan kebobrokan Najib sudah sampai ke kemuncaknya. Aset-aset negara telah banyak digadaikan. Institusi-institusi yang sepatutnya menjalankan tugasnya secara telus dan amanah serta menjadi tulang belakang dalam menjaga keadilan, keselamatan dan kedaulatan negara dan rakyat telah disalah guna dan diselewengkan.

Apa lagi kemusnahan yang akan dilakukan oleh Najib selepas ini?

Sepandai-pandai Richard Nixon menutup skandal Watergate tersebut akhirnya beliau tersungkur juga. Begitu juga Najib. Beliau sudah berada di puncak kerakusannya. Rakyat mahu melihat sejauh mana Najib mampu bertahan..Adakah beliau akan mengikut jejak langkah Richard Nixon ataupun sebaliknya. Apapun yang berlaku, kita harus mengakui bahawa skandal 1MDB bakal memahat sejarah hitam buat negara.

Kita nantikan bagaimana skandal ini berkesudahan..

‪#‎HarapanBaru‬

MOHD FITRI ASMUNI
Timbalan Ketua Pemuda
Gerakan Harapan Baru
Negeri Perak




s

SPRM Perlu Beri Penjelasan Kepada Rakyat - Anak Muda #‎HarapanBaru‬ Perak



KENYATAAN MEDIA
HARAPAN BARU NEGERI PERAK
4 OGOS 2015

SPRM PERLU BERI PENJELASAN KEPADA RAKYAT


Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak tidak boleh menarik nafas lega dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Ini kerana rakyat akan terus mendesak dan mempersoalkan mengapa ada pihak yang sanggup memberi sumbangan atau derma sejumlah itu ke dalam akaun peribadinya itu.

Apapun yang berlaku, rakyat Malaysia yang prihatin dan cakna terhadap skandal yang membabitkan Perdana Menteri Malaysia ini pasti tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM itu. PEMUDA HARAPAN BARU NEGERI PERAK secara peribadi menganggap kenyataan SPRM itu seperti sekadar 'melepaskan batok di tangga', tidak telus, tidak tegas dan tergantung.

Di dalam kenyataannya itu, SPRM gagal menjelaskan apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh suruhanjaya itu setelah mendapati bahawa dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato' Sri Najib Tun Razak itu merupakan wang sumbangan dan derma. Ia seolah-oleh seperti satu makluman sahaja.

Walhal rakyat ingin mengetahui apakah pendirian SPRM berhubung hasil siasatannya itu. Apakah SPRM berpuas hati dengan hasil siasatan tersebut dan tidak akan meneruskan lagi siasatan terhadap Perdana Menteri atau satu siasatan lanjut akan diteruskan selepas ini?

Seandainya SPRM berpendirian bahawa wang sumbangan sebanyak RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu bukan merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), maka SPRM perlu memberikan penjelasan lanjut mengapa dan kenapa ia tidak dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah akta tersebut.

Kami menegaskan bahawa rakyat berhak dan perlu diberikan pendedahan yang lebih mendalam mengenai keputusan siasatan tersebut kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan maruah negara.

Kami berpendirian bahawa kegagalan SPRM untuk bertindak sedemikian akan menyebabkan badan tersebut terus dipertikaikan oleh rakyat Malaysia dan badan-badan antarabangsa, sudah pastinya ia akan memberi kesan yang sangat buruk serta negatif kepada negara.

Oleh itu, demi menjaga dan memelihara integriti SPRM sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan telus, PEMUDA HARAPAN BARU NEGERI PERAK mendesak agar SPRM bertindak menjelaskan keputusannya itu sama ada mereka akan meneruskan siasatannya ke atas Dato' Sri Najib Tun Razak atau mengambil keputusan untuk menutup kes dan memberhentikan siasatan!

‪#‎HarapanBaru‬

USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Ketua Pemuda,
Harapan Baru Negeri Perak

Fokus Gerak Kerja Lawan Kebrobrokan BN : #HarapanBaru Perak



KENYATAAN MEDIA
2 Ogos 2015

FOKUS GERAK KERJA LAWAN KEBROBROKAN BN


Pemuda Harapan Baru Negeri Perak selesai membentuk jawatankuasa penuh dalam mesyuarat kedua yang diadakan di Ipoh, pada hari ini.

Jawatankuasa ini telah melibatkan anak muda daripada pelbagai golongan sama ada agamawan, professional dan aktivis.

Masing-masing menyatakan kesediaan dan menawarkan diri mereka untuk menyumbang bakti dalam menggerakkan wadah baru yang menjadi harapan rakyat Malaysia.

Mesyuarat hari ini juga telah membincangkan pelbagai perkara termasuklah gerak kerja gerakan ini diperingkat negeri sama ada pra dan pasca penubuhan parti baharu.

Pemuda Harapan Baru Negeri Perak menegaskan untuk memfokuskan gerak kerja bagi menentang serta membongkar ketidakadilan, penyelewengan, dan salah urus tadbir negara yang ketika ini berada dalam situasi sangat getir.

Kami mengingatkan kepada para penyokong Harapan Baru agar tidak sesekali bersifat negatif dan provokatif kepada mana-mana pihak.



USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Ketua Pemuda
Harapan Baru Negeri Perak



--

Mb Baharu Perak: Zambry Bakal Disingkirkan? - Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss



MB BAHARU PERAK: ZAMBRY BAKAL DISINGKIRKAN?

PAS Kawasan Kuala Kangsar dimaklumkan bahawa terdapat beberapa kepimpinan UMNO Bahagian di Negeri Perak sudah mula menyuarakan ketidak puasan hati mereka terhadap kepimpinan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Negeri Perak. Ianya berikutan dengan bersangkutan penyikiran Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini dan hubungan rapat Datuk Seri Zambry dengan Tan Sri Muhyiddin dikatakan usaha ini berjalan, adakah nasib yang sama bakal berlaku terhadap Datuk Seri Zambry di Perak?

Difahamkan beberapa kepimpinan Ketua UMNO Bahagian ‘senior’ dari Perak yang berstatus kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO Malaysia sudah mula ‘mencongak’ pengganti Datuk Seri Zambry pada masa kini. Sumber dalaman UMNO Perak juga memaklumkan, dengan perlantikan Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri ke – 11 yang satu-satunya berasal daripada Perak turut sebagai penyumbang kepada perubahan yang bakal berlaku nanti. Sudah tentu dengan perubahan dan rombakan Kabinet Malaysia atau Jemaah Menteri baru-baru ini akan turut juga disusuli semestinya perubahan di peringkat kepimpinan Kerajaan Negeri termasuk pertukaran Menteri Besar khasnya.

Kami lontarkan kepada Datuk Seri Zambry bagi ianya menafikan ‘khabar angin’ tersebut yang sudah mula ‘ditiupkan’ oleh kepimpinan UMNO Bahagian di Perak khasnya. Jika benar apa yang dimaklumkan, sudah tentu kedudukan Datuk Seri Zambry akan teramcam di Perak khasnya kerana sudah ada usaha menggantikan pengaruh beliau di Perak berikutan isu dalaman UMNO kini. Difahamkan sudah ada penama bagi menggantikan Datuk Seri Zambry sebagai Menteri Besar dan ‘beliau’ cukup rapat dengan Dato’ Seri Zahid serta pernah menjadi Setiausahanya dahulu. Apa pun, marilah kita tunggu respon Datuk Seri Zambry bagi beliau menafikan maklumat tersebut dan Dato' Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak perlu memuktamatkan bahawa Datuk Seri Zambry kekal bagi ‘mematikan’ berita perubahan tersebut.


DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Yang DiPertua,
PAS Kawasan Kuala Kangsar.

Raja Iskandar Al Hiss

s


--

Recent Posts Widget

.

.