APABILA MEREKA TIDAK MENGHARGAI WANITA - PARTI AMANAH NEGARA BANGKIT MEMBELA
Seluruh negara terpukau dengan keberanian seorang wanita, Anina Saaduddin. Ketika seorang lelaki veteran seperti Timbalan Presiden UMNO dibuli semata-mata kerana cuba melaksanakan amal nahi mungkar; wanita ini bangkit menyambung perjuangan lelaki mantan Timbalan Perdana Menteri itu, dengan menyaman Presiden UMNO.
Ketika wanita ini dipecat dari UMNO, beliau terus berikrar mempetahankan agama, bangsa dan tanah air, sebagaimana dia ungkapkan dalam sajak indahnya itu.
UMNO kehilangan seorang wanita berani dengan menyingkirya dari parti. UMNO mempamerkan sifat tidak menghargai wanita kental seperti ini, malahan membunuh semangat seluruh kaum wanita.
Dari satu sudut yang lain pula, ada organisasi yang bertema mewakili Islam, mempertaruhkan wanita-wanita mulianya sebagai cagaran mempertahankan tiket partinya dalam kerusi Parlimen mahupun DUN.
Wanita-wanita salihah yang ikhlas, yang tidak berdosa, seolah-olah menjadi mangsa hukuman terhadap suami yang terpaksa membuat keputusan baharu, selepas partinya mengubah orientasi perjuangan asalnya.
Beberapa pemimpinnya dengan tidak segan-silu seolah-olah turut bergembira dan mengumumkan rumah tangga bekas ahli mereka sudah runtuh sedang mahkamah syariah belum membuat apa-apa keputusan.
Wanita-wanita dari pelbagai NGO Islam, NGO masyarakat sivil dan penjawat-penjawat awam dan sektor korporat membantah tindakan-tindakan dari kedua-dua parti berkaitan terhadap wanita.
Teman-teman bukan Islam kehairanan dan kebingungan, inikah keindahan Islam yang sebenarnya? Wanita dipandang rendah dan diperlakukan sedemikian rupa?
PARTI AMANAH NEGARA bangkit membela kaum wanita dan akan sentiasa menyakini akan kemuliaan wanita seperti mana yang telah dijaminkan haknya oleh ad-Diinul Islam.
Tindakan terhadap Anina Saaduddin adalah tidak wajar. Tekanan perasaan yang dikenakan ke atas para isteri dan keluarga bersabitan lafaz taklik juga sangat tidak wajar.
AMANAH NEGARA menawarkan seluas-luas gelanggang, kepada seluruh wanita Malaysia, tidak kira apa agama mahupun bangsa, untuk berjuang mempertahankan hak mereka.
Seluruh ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO termasuk Anina Saaduddin, diseru untuk meninggalkan parti yang telah tersasar dari perjuangan itu.
Seluruh wanita yang merasai mereka dianiaya, semata-mata kerana kerakusan pemimpin yang berpolitik secara sempit, diseru untuk berjuang bersama-sama kami dalam sebuah wadah baru, sebuah parti yang memperjuangkan Islam atas nama Parti AMANAH NEGARA.
Mari bersama membina Malaysia yang lebih baik yang memberi bahagian dan tempat yang adil kepada wanita tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.
“Sebuah HARAPAN BARU, untuk masa hadapan kita bersama".
USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS
7 September 2015
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Parti Pekerja)
KENYATAAN MEDIA
INTEGRITI PM TERHAKIS AKIBAT SKANDAL RASUAH: PANGGIL SEGERA SIDANG TERGEMPAR PARLIMEN
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memandang serius kecaman masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, berikutan kegagalan beliau memberikan penjelasan mengena ‘derma’ sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang diterima dalam akaun peribadi Presiden Umno itu.
Minggu ini, beberapa badan dunia yang terlibat dalam membanteras rasuah pada Persidangan Antarabangsa Pencegahan Rasuah (IACC) ke-16 di Putrajaya, mengkritik kegagalan PM dan Kerajaan Malaysia dalam menangani gejala rasuah.
KEADILAN berasa gusar apabila Pengerusi Transparency International (TI) Jose Ugaz menggambarkan sumbangan itu sebagai satu kes rasuah dahsyat, yang boleh memberi kesan kepada hak asasi manusia. Naib Pengerusi TI, Elena Panfilova menegaskan sokongan badan antarabangsa itu terhadap Perhimpunan Bersih4 yang turun ke jalanan bagi mendesak PM menjelaskan mengapa dana sebesar itu masuk ke dalam akaun peribadi beliau.
Manakala Cobus de Swardt daripada Transparency International-Afrika Selatan mendakwa Najib tidak boleh berdiam diri jika beliau mahu meyakinkan dunia, terutama pelabur, untuk membuat pelaburan di Malaysia. Turuk mengkritik PM juga adalah Setiausaha Agung TI, Salil Shetty dan anggota IACC, Michael Hershman.
Bagi KEADILAN, kenyataan-kenyataan ini adalah senada dengan pendirian kira-kira 500,000 rakyat Malaysia yang turun ke Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos lepas. Malah di kalangan anggota komponen BN dan dalam Umno sendiri, begitu sangsi dengan kredibiliti PM, termasuk dalam isu membabitkan 1MDB dan skandal-skandal lain.
Tindakan PM merombak Kabinet dengan memasukkan Pengerusi dan beberapa orang anggota PAC dalam kerajaan, jelas bertujuan menghalang siasatan menyeluruh dilakukan terhadap beliau.
Majoriti rakyat Malaysia, termasuk badan yang mewakili kumpulan anti-rasuah antarabangsa, mengkritik sikap berdiam diri PM terhadap dakwaan derma yang diterima beliau dalam akaun peribadinya.
KEADILAN turut sama mempersoalkan siapa yang memberikan AS$700 juta itu dan apakah tujuan derma itu?
KEADILAN mendesak supaya dipanggil suatu sidang tergempar Parlimen Malaysia dalam kadar segera, bagi membolehkan PM memberikan jawapan secara jujur kepada rakyat Malaysia apakah sebenarnya yang berlaku terhadap 1MDB dan derma RM2.6 bilion.
SELAMATKAN MALAYSIA
DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN
6 September 2015
-
MEDIA STATEMENT
INTEGRITY OF PM ERODED BY CORRUPTION SCANDAL: CALL FOR EMERGENCY PARLIAMENTARY SESSION
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) is extremely concerned by the international community's criticisms of Prime Minister Najib Razak's credibility following his failure to explain the USD700 million (RM2.6 billion) 'donation' that was transferred into the Umno President's personal account.
This week, several international organizations involved in combatting corruption had criticized the PM and Malaysian Government during the 16th International Anti-Corruption Conference in Putrajaya for their failure to tackle corruption.
KEADILAN is deeply concerned when the Chairman of Transparency International (TI), Jose Ugaz described the financial transaction as a major corruption case that has an impact on human rights. TI Vice-Chair, Elena Panfilova expressed the organization's support for Bersih4 which gathered to pressure the PM to explain why such a large amount of money was transferred into his personal account.
Furthermore, Cobus de Swardt of TI-South Africa said that Najib cannot stay silent if he wanted to allay fears, especially among investors who are keen on investing in Malaysia. TI Secretary General, Salil Shetty and IACC member, Micharl Hershman also criticized the PM.
For KEADILAN, these statements are in line with the sentiments of some 500,000 Malaysians who descended on Dataran Merdeka on 29 and 30 August. In fact amongst BN component parties and even in Umno itself there are persistent doubts on the credibility of the PM, including on the 1MDB issue and other scandals.
The PM's decision to execute the recent Cabinet reshuffle, which saw the PAC Chairman and several PAC members being brought into the government, clearly is designed to stop a full investigation into this matter from taking place.
The majority of Malaysians including international anti-corruption organizations criticize the PM's continued silence on the "donation" allegation.
KEADILAN also asks who was this generous donor who donated the USD700 million, and for what purpose?
Therefore KEADILAN urges that an emergency Parliamentary session be held immediately in order to allow the PM an opportunity to give an honest account to the Malaysian people on what has actually happened with 1MDB and the RM2.6 billion donation.
SAVE MALAYSIA
DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Leader of the Opposition
KEADILAN President
6 September 2015
APA NIAT PRESIDEN PAS SEBENARNYA DALAM ISU BAI'AH TAKLIQ TALAK TIGA, SOAL AHLI PARLIMEN SEPANG, YB HANIPA MAIDIN
Saya mendengar dan menonton rakaman video ucapan Presiden Pas mengenai isu baiah yang melibatkan Yb Dr Hatta Ramli.
2. Setelah mendengar dan mengamati beberapa kali ucapan beliau tersebut nampaknya wujud jalan keluar ( exit route atau escape clause ) bagi isu kesan baiah tersebut yang mengandungi satu hukuman ( 'iqab) yang amat keras iaitu penceraian talak tiga ke atas pihak yang berbaiah sekaligus menghukum juga pihak ketiga yang bukan menjadi pihak dalam baiah tersebut iaitu isteri Ahli Parlimen dan sudah tentu juga dirasai kesannya oleh anak anak beliau.
3. Ada dua perkara menarik daripada kenyataan Presiden Pas tersebut yang menimbulkan tandatanya.
4. Pertamanya, beliau menukilkan pendapat Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan yang mengatakan jatuhnya talak 3 kesan daripada baiah tersebut dan berkemungkinan Mahkamah Syariah Kelantan akan "'ligan"'('kejar )'Dr Hatta untuk dibawa ke Mahkamah Syariah Kelantan.
5. Walaupun Presiden Pas tidak secara jelas menyatakan sokongan atas apa yang dikatakan oleh Ketua Hakim tersebut, namun sikap Presiden Pas yang tidak sama sekali mengkritik tindakan seorang Hakim yang mendahului menjatuhkan hukum sebelum pihak yang dihukum itu dibawa ke Mahkamah menimbulkan persoalan -adakah Presiden Pas merestui kaedah dan bentuk keadilan sebegitu ?
6. Bukankah prinsip sub judice ( tidak mendahului menjatuhkan hukum ) adalah satu prinsip asas dan fundamental dalam sistem keadilan Islam yang sudah tentu Presiden sebuah parti Islam yang berstatus ulama sepatutnya ke depan mempertahankan prinsip keadilan Islam itu?
7. Keduanya, Presiden Pas juga nampaknya bersetuju di sana wujudnya jalan keluar bagi mengelakkan kesan baiah yang keras itu iaitu dengan pihak Pas boleh membuat keputusan memecat Dr Hatta sekaligus kesan baiah tersebut tidak lagi wujud dan terpakai. Sudah tentu ini kaedah terbaik yang Pas patut lakukan demi menyelamatkan satu rumahtangga yang telah dibina sekian lama, dengan andaian baiah itu sendiri bukan baiah yang laghah. Sudah tentu jika baiah itu sendiri diputuskan laghah,saranan Presiden Pas itu tidak relevan lagi.
8. Mengambil kira wujudnya pelbagai pendapat tentang kesahihan baiah itu ,sudah tentu mencari jalan keluar dari masalah pertikaian tersebut ( al-khuruj min khilaf ) adalah satu cara yang baik yang para ulama anjurkan dalam situasi sebegitu.
9.Persoalannya kenapa Pas atau Presiden Pas enggan mengambil atau memilih jalan keluar itu demi menyelamatkan suatu rumah tangga seseorang? Keengganan Pas atau Presiden Pas menawarkan formula jalan keluar itu dengan memecat Dr Hatta mengundang spekulasi liar bahawa dendam menjadi asas kepada keengganan Pas tersebut. Di manakah Islam sebagai rahmat ( mercy ) yang Pas selalu canangkan selama ini ?
10. Bukankah 'Allamah Ibnu Al Qayyim menyatakan "Syariah itu adil keseluruhannya, rahmat keseluruhannya, hikmah ( wisdom ) keseluruhannya, maslahah keseluruhannya dan mana mana perkara yang keluar dari prinsip keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada sebaliknya, dari maslahah kepada kerosakan ( mafsadah ) dan dari hikmah kepada sia sia ia bukanlah syariah meskipun kita cuba masukkan ianya dalam kategori syariah.."
11. Saya tertanya, adakah ketika mana isu baiah ini dihebohkan serata dunia , adakah kita sedang tonjolkan syariah yang sebenarnya atau bagaimana?
Wallahu 'alam wa huwa al Musta'an
Mohamed Hanipa Maidin
Parti Amanah Negara
Mengapa Najib masih membisu pasal dana RM2.6 bilion?
Meskipun Malaysia dan beliau sendiri dimalukan di Persidangan Antarabangsa Anti Rasuah (IACC) ke-16 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih enggan tampil menjelaskan misteri-misteri di sebalik derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaunnya.
Ini menimbulkan lebih banyak persoalan dan spekulasi mengapa Najib memilih untuk membisu daripada menjawab soalan mengenai RM2.6 bilion. Berikut ialah 5 teori yang paling hangat diperkatakan.
Teori 1: Apakah sebenarnya duit itu tidak digunakan untuk Umno?
Persoalan ini timbul kerana Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pun tidak tahu berapa baki yang ada di akaun tersebut ketika ia ditutup. Jika benar duit itu telah digunakan untuk Umno dan pilihanraya, sudah tentu Najib akan berani menjawab Muhyiddin, dan Muhyiddin tidak akan berani bertanya begitu.
Teori 2: Apakah duit itu sebenarnya bukan derma?
Persoalan ini timbul kerana sehingga hari ini penderma yang berbesar hati ini masih misteri kepada rakyat Malaysia. Spekulasi ini lebih hangat apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berani menjawab cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendedahkan nama penderma tersebut setelah Zahid mengaku telah berjumpa dengan wakil keluarga dari asia barat yang mendermakan RM2.6 bilion kepada Najib.
Jika penderma itu sanggup menderma RM2.6 bilion kepada Najib, mengapa beliau tidak sanggup tampil membersihkan nama Najib? Tidakkah penderma itu takut duit derma itu akan dibazirkan jika Najib jatuh nanti sedangkan derma itu untuk Umno bukan untuk Najib? Apakah betul dakwaan Tun Mahathir bahawa duit itu sebenarnya duit 1MDB?
Teori 3: Apakah ia satu kesilapan taktikal untuk mengelarkan RM2.6 bilion itu sebagai derma?
Dana RM2.6 bilion di akaun Najib didedahkan oleh WSJ pada 3 Julai 2015 yang disyaki duit 1MDB. Sebulan kemudian, barulah SPRM berkata duit itu ialah duit derma. Sehingga kini, tidak kedengaran Najib menyaman WSJ meskipun derma cerita RM2.6 bilion ini sudah menjadi perbualan dan lawak antarabangsa. Apakah ini satu kesilapan taktikal yang teruk? Oleh kerana itu, sehingga kini Najib tidak berani menjawab isu RM2.6 bilion ini secara berdepan meskipun menerima kritikan hebat di IACC di negara sendiri.
Teori 4: Apakah memang ada bukti salahlaku yang dijumpai mengenai RM2.6 bilion?
Spekulasi ini juga antara terhangat diperkatakan ekoran terbubarnya pasukan siasatan khas isu 1MDB, pemecatan Muhyiddin dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail secara mengejut, terbantutnya persidangan PAC, pemindahan pegawai Peguam Negara dan SPRM yang dilakukan secara mendadak, penahanan pegawai SPRM seperti penjenayah untuk disoalsiasat dan kebisuan Bank Negara dalam isu dana RM2.6 bilion. Jika derma itu bersih dari segi tatatertib kewangan, mengapa Najib tidak menggalakkan siasatan diteruskan? Malah, menurut Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Najib belum menjelaskan kepada pemimpin Umno mengenai wang RM42 juta yang dimasukkan ke akaun persendiriannya oleh anak syarikat SRC International.
Teori 5: Apakah antara orang yang dapat menikmati dana RM2.6 bilion itu ialah pemilik akaun atau warisnya?
Persoalan ini juga hangat diperkatakan berdasarkan gaya hidup pasangan ini, yang digelar mewah oleh Tun Mahathir. Apakah disebabkan ini, Najib memilih untuk membisu kerana beliau tahu rakyat dan Umno akan lebih marah?
Tanpa jawapan yang memuaskan, lebih banyak spekulasi mengenai RM2.6 bilion di akaun Najib akan timbul dan hangat diperkatakan. Bukan sahaja Najib yang kena pukul, Malaysia dan nilai Ringgit turut dilanyak bersama kerana hilangnya integriti daripada pemimpin tertinggi dan kabinetnya.
Jika nilai Ringgit terus turun, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi kemelesetan ekonomi dan peningkatan inflasi secara mendadak di suku ke keempat 2015 kerana semua barangan import telah menjadi mahal. Situasi dijangka akan diburukkan melalui risiko yang perlu diambil untuk mengekalkan kadar faedah semalaman (OPR) untuk tidak membebankan rakyat Malaysia yang mempunyai hutang isi rumah yang tinggi (melebihi 80% daripada KDNK) dan tekanan daripada GST apabila barang-barangan yang dikecualikan turut dikenakan GST bermula 2016.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
6 September 2015
TAHNIAH DOLLAH SALLEH HANYA DENGAN KALAH 10-0 ANDA LEBIH BERANI DARI PM NAJIB YANG MUNGKIN MENUNGGU RM10.0 BILION DARI TOK ARAB UAE TAPI BELUM PASTI MELEPASKAN JAWATAN PM.
1. Kekalahan teruk pasukan bolasepak negara skuad harimau Malaya pada pasukan UAE sebanyak 10-0 sesuatu yang sangat mengejutkan. Agak sukar untuk diterima kekalahan terburuk ini. Gambaran kekalahan ini menunjukan betapa lemahnya skuad harimau Malaya dalam berdepan dengan UAE bagi kelayakan piala dunia 2018/piala Asia 2019. Saya tidak lah mengharapkan kemenangan tetapi kalau kalah sekali pun tidaklah sampai 10-0.
2. Skuad Harimau tidak lagi menjadi harimau yang mengaum dan mengganas tapi skuad harimau hanya menjadi skuad harimau kertas yang tiada taring untuk menerkam mangsanya. Persoalannya apakah kelemahan pemain,jurulatih atau pengurusan dan kepimpinan FAM. Suatu bedah siasat menyeluruh perlu dibuat.
3. Apa pun saya ucapkan tahniah pada Dollah Salleh jurulatih skuad harimau Malaya mengambil tanggung jawab dengan meletakan jawatan sebagai jurulatih atas kekalahan yang sangat memalukan.Saya percaya Tindakan Dollah Salleh untuk memberi ruang dan peluang kepada penyusunan semula skuad harimau Malaya untuk bangkit mengaum dan mengganas membaham mangsa.
4. Mungkin pengurus skuad harimau Malaya dan kepimpinan FAM masih menunggu PM Najib mendahului mereka meletakan jawatan atas kekalahan ringgit Malaysia yang begitu teruk pada matawang asing. Apakah Najib nak tunggu derma RM 10.0 bilion lagi dari tok arab UAE baru nak letak jawatan.Negara juga perlu disusun semula untuk mampu bangkit berdepan dan mengatasi cabaran seperti mana satu ketika dulu Malaysia dikenali sebagai harimau Asia (Asian Tiger) dari sudut ekonomi.Tetapi Malaysia tidak mampu berdepan dengan cabaran kalau PM mengidap penyakit risau dan takut tak selamat tahap 4.
JANGAU RISAU, MALAYSIA SELAMAT TANPA NAJIB DAN BN.
Dato' Mahfuz Hj Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
5 Sept 2015/21 Zulkaedah 1436H
5 September 2015 | Pulau Pinang
Kenyataan balas kepada kenyataan MP Bukit Bendera .
Apakah benar PAS Pulau Pinang fitnah Kerajaan DAP Pulau Pinang setelah kamiturun meninjau dan melakukan kajian ke atas nasib Kampung Mutiara sejak 2013 ?
1) Apa yang berlaku di Kampung Mutiara sebenarnya saya merujuk kepada ketidak sungguhan sikap Kerajaan Negeri mempertahankan Kampung Kampung warisan Melayu seperti yang dijanjikan melalui manifesto PRU 13 lalu, malah mereka masih tidak menunaikan janji melaksanakan manifesto PRU13 yang lalu dibawah tajuk Warisan iaitu Rujuk kepada Manifesto PRU 13 dibawah Tajuk 10 : Kesenian, Kebudayaan & Warisan pada item no. 10.3 " Menetapkan Lingkaran Tanah Warisan Melayu di Kampung Batu Uban dan Tanjung Tokong"
2) Tujuannya agenda ini adalah untuk membuktikan di Pulau Pinang ini bukan sahaja ada warisan kolonial di GeorgeTown yang diagung-agungkan malah di jaga rapi dengan mendapat dana khusus untuk pemuliharaan bangunan warisan kolonial. Manakala warisan orang Melayu khususnya Perkampungan Awal orang melayu yang lebih Awal berada di Pulau Pinang yang asalnya milikan kerajaan Kedah Gagal dipertahankan malah diambil tindakan perobohan tanpa belas kasihan dan dilenyapkan dimana hampir 25 Kampung sedang dan telah lenyap ditelan pembangunan.
3) Mungkin Kampung Mutiara tidak menepati ciri-ciri warisan tetapi asal usul orang Melayu di situ ada kaitan sebahagiannya adalah bekas tentera Kerajaan Negeri Kedah dimasa lampau ketika bertempur dengan Siam mengikut kajian maklumat yang diperolehi oleh Lajnah Tanah PAS Negeri Pulau Pinang malah segala dokumen dan kertas kajian serta kronologi berada dalam simpanan Lajnah Tanah PAS Negeri Pulau Pinang yang cuba diminta oleh Zairil suatu ketika lalu.
4) Dari perbincangan 3 Parti dimana saya turut terlibat mewakili PAS Negeri Pulau Pinang pada tahun 2012 sebelum pilihan Raya ke 13, persetujuan 3 Parti DAP, PKR dan PAS menggariskan janji untuk mewujudkan lingkaran sempadan Kampung Warisan yang mempunyai nilai-nilai sejarah supaya generasi mendatang tahu sejarah sebenar warisan. Warisan tinggalan beberapa generasi lalu sebelum penjajahan Inggeris di Tanah Melayu dan juga sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957 iaitu sebagai contoh Kampung Batu Uban sejak 1734 sebelum Inggeris ke Pulau Pinang 1786, Kampung Siam sejak 1845 sebidang Tanah yang dianugerahkan oleh Queen Victoria melalui Syarikat India Timur, Kampung Tanjung Tokong adalah settelment Kampung melayu ke dua pada 1786 setelah Kampung Batu Uban .
5) Mengikut manifesto PRU13 yang telah diubah suai dari persetujuan asal iaitu usaha itu perlu dibuat oleh Kerajaan Negeri dalam mengistiharkan lingkaran sempadan kampung warisan berkenaan oleh Kerajaan Negeri tetapi untuk mencapai usaha ini pula mereka telah ubah suai dan ditujukan kepada Kerajaan Pusat pula untuk mengambil tanggungjawab seolah-olah ia ingin lari dari tanggungjawab Kerajaan Negeri.
6) Malah jika dirujuk kepada Sidang DUN Pulau Pinang pada 28 February 2012 Ketua Menteri LGE berani mengistiharkan KAMPUNG TRADISI TANJONG TOKONG SEBAGAI WARISAN. Walaubagaimanapun pengistiharaan itu sekadar Acuh tak Acuh dalam mencapai aspirasi sebenar warisan Tanjong Tokong dan tidak di aplikasikan malah senyap selepas itu dan tiada usaha bersungguh-sungguh kepada pemeliharaan Kampung warisan tertua di Pulau Pinang.
( Rujukan : http://www.daulahrakyat.com/blog/?p=648 )
7) Apakah dengan hanya mengistiharkan janji manifesto PRU13 itu dengan menuding jari kepada Kerajaan Pusat untuk menunaikan janji manifesto dan apakah Kerajaan Pusat akan mengambil usaha menunaikannya janji itu?
Tidakkah ini pelik sekali?
8) Lajnah Tanah PAS Pusat telah menemui Menteri Pelancong dan warisan Dato Seri Nazri Aziz pada April 2014 dalam membincangkan HAL Ehwal isu Tanah warisan di Pulau Pinang dimana saya juga turut serta, Dato Seri menegaskan Hal Ehwal Tanah Adalah kuasa Kerajaan Negeri yang memerintah dan Kerajaan Persekutuan adalah pemudah cara untuk mencapai Matlamat warisan mengikut garis panduan yang termaktub.
9) Sehingga kini usaha kearah mencapai Matlamat manifesto ini tidak kelihatan langsung semata mata umpama muslihat hanya memancing undi orang melayu untuk PRU13.
10) Diatas sikap sedemikian mereka tidak Acuh dalam menunaikan janji manifesto warisan PRU13 diataslah maka saya merujuk sikap mereka ini kepada isu Kampung Mutiara dan dalam pemerhatian saya sikap mereka umpama menabur janji disaat genting sebaik mahkamah menetapkan tarikh tindakan perobohan barulah mereka mula mengambil tindakan berjanji sedemikian seperti yang disebut oleh MP BUKIT BENDERA.
11) Semasa saya dalam pentadbiran Kerajaan Tempatan acapkali saya mendengar hujah mereka bahawa penduduk yang terlibat adalah orang UMNO sedangkan saya menegaskan bukan soal balas dendam kepartian tetapi perlunya SIKAP PERIHATIN KEMANUSIAAN TANPA MENGIRA KAUM, BANGSA DAN PARTI seperti juga mereka yang terlibat di Kampung Siam 2014, Kampung Pekan Teluk Kumbar 2012, walaupun kes berada dalam Mahkamah tetapi Kerajaan Negeri ketika itu menunjukkan sikap PERIHATIN menyediakan Alternatif dan rundingan sejak dari awal lagi masalah penduduk berdepan dengan makamah timbul yang melibatkan Kaum tionghua malah Ketua Menteri Sendiri memanggil penduduk ke KOMTAR untuk berunding dan memberi sokongan kepada mereka. Inilah yang menampakkan perbezaan tindakan bilamana ia melibatkan Kampung Mutiara.
12) PAS Negeri Pulau Pinang sesi 2013-2015 pada bulan July 2014 telah menulis memorandum yang ditulis oleh Timbalan Pesuruhjaya 1 ketika itu Dato Mujahid Yusof Rawa telah mengariskan Kerajaan Negeri perlu bersungguh sungguh menyelesaikan masalah Kampung Mutiara dan beberapa Kampung lain dari lenyap ditelan pembangunan dan tidak mengambil sikap tunggu dan lihat. Memorandum itu diserahkan kepada LIM Guan Eng ketika Majlis Berbuka Puasa di Restoran D' Pauh Seberang Perai oleh Mat Sabu Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang yang ketika itu agak keberatan menandatangani memo berkenaan. Penyerahan Memorandum itu adalah susulan dari Memorendum yang pertama kertas cadangan solusi penyelesaian keatas semua Kampung yang terlibat dengan pembangunan yang diserahkan oleh Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pusat saudara Mazlan Aliman pada Mac 2014 kepada Timbalan Ketua Menteri Dato Hj Rashid Hasnon. Penyerahan 2 memorandum berkenaan tidak diambil perhatian langsung oleh Ketua Menteri dan tiada apa apa tindakan kearah penyelesaian secara total.
13) Selain itu saya bersama AJK Lajnah Tanah PAS Negeri Pulau Pinang pada bulan February 2014 (sebaik Mat Sabu ditabalkan sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang) mengaturkan lawatan bersama Mat Sabu turun ke Kampung Kampung yang bakal dikenakan Perobohan namun Gagal mengunakan kesempatan itu sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang untuk berunding dan mencari penyelesaian dengan adik angkat beliau iaitu LIM GUAN ENG seperti yang termaktub didalam dua (2) memorandum yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri.
14) Persoalan sekarang adakah tindakan Zairil dan Kerajaan Negeri yang terdesak memberi perhatian kepada penduduk dikala Mahkamah Mengambil tindakan Perobohan pada 24 Ogos 2015 ( Penangguhan tindakan dan diberi tempoh 2 minggu sehingga 7 Sept 2015) lalu menampakkan tindakan "last minute" mereka memberi bantuan dan janji disebabkan tekanan dari pelbagai pihak khususnya PAS kerana ramainya orang melayu disitu yang juga Penyokong kuat UMNO?
Iszuree Ibrahim
Pengerusi Peneroka Bandar
Lajnah Tanah PAS Pusat ,
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang
Rujukan :
1) Rujuk kepada manifesto PRU 13 dibawah Tajuk 10 : Kesenian, Kebudayaan & Warisan pada item 10.3
2) USAHA MELESTARIKAN MASA DEPAN WARISAN MELAYU TG TOKONG
- http://www.daulahrakyat.com/blog/?p=648
3) PAS fitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang lagi mengenai Kampung Mutiara Batu Feringgi.
- https://malaysiakini.com/news/311132
BERSAMA MEMIKUL TANGGUNGJAWAB MEMELIHARA KEHARMONIAN KAUM.
Keunikan negara ini adalah latarbelakang sosialnya yang berbilang kaum dan agama. Islam menuntut keamanan, keharmonian, kemajuan, kekayaan dan hormat-menghormati.
Insiden memijak gambar 2 pemimpin utama parti Melayu negara ini mencetuskan kemarahan ahli-ahli kedua-dua parti tersebut, sedangkan tuan mangsa tidak pula bersuara. Insiden tersebut menjadi lebih panas kerana ia berlaku dalam himpunan aman Bersih 4.0 dan orang yang memijak pula bukanlah Melayu.
Kedudukan gambar diletakkan sebegitu rupa seolah-olah dirancang pihak tertentu bagi memburukkan nama baik himpunan aman yang dihadiri ratusan ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum. Insiden tersebut juga seolah-olah satu usaha pihak tertentu bagi mencetuskan ketegangan kaum demi survival politik dan pemerintahan.
Bukankah lebih baik dan bermakna jika mereka menyuarakan kemarahan mereka terhadap pemerintah yang tidak pedulikan rakyat terutamanya Melayu. Hutang 1MDB sebanyak RM42 billion pasti akan ditanggung bebannya oleh rakyat dan wang akaun peribadi Perdana Menteri sebanyak RM2.6 billion tidak pula dikongsi bersama semua Melayu. Bebanan gst dan kos sara hidup yang tinggi tidak dipedulikan dalam keadaan 40% pendapatan Melayu di bawah RM2000 sebulan.
Bangkitlah wahai Melayu mengubah sistem pemerintahan yang korup ini dan bebaskan negara ini daripada cengkaman penindasan, penyelewengan dan ketidakadilan. Insiden memijak gambar pemimpin tersebut biarlah diselesaikan di antara pihak yang terbabit. Usahlah insiden tersebut dijadikan api perkauman yang merugikan rakyat dan negara.
AMANAH kepada rakyat dan negara dengan memelihara keharmonian kaum dan bersama membina ekonomi negara yang lebih mampan dan berkebajikan.
FAIZ FADZIL
Pengarah Komunikasi
Pemuda AMANAH
3 September 2015