Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts

Gambaran Isu Kampung Mutiara - Zainulfaqar




GAMBARAN ISU KG. MUTIARA

Sebelum saya perjelaskan isu kononnya orang Melayu Kg. Mutiara diusir oleh Kerajaan Negeri, elok dapat gambar sebenar dulu isu tersebut.

الحكم على الشيء فرع عن تصوره

Isu Kampung Mutiara dekat Batu Feringghi, Pulau Pinang pun sebenarnya membabitkan tiga pihak.

Pertama, tuan tanah persendirian. Kedua, pemaju. Dan ketiga, penduduk asal di situ.

Tuan tanah persendirian itu menang kes di peringkat Mahkamah Rayuan Putrajaya, sekaligus mengakibatkan pengusiran penduduk asal dari kampung tersebut.

Secara pentadbiran, telahpun menyediakan khidmat guaman untuk penduduk-penduduk asal berwajib demi menghadapi tuntutan tuan tanah persendirian tersebut hingga ke peringkat akhir mahkamah.

Dari segi undang-undang, Tuan Tanah Persendirian memang mempunyai hak ke atas tanah tersebut, tetapi, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) secara pentadbiran biasanya tidak akan meluluskan permohonan pelan perancangan pembangunan di atas tanah tersebut sehinggalah tuntutan penduduk asal di situ turut diambil kira.

Selain itu, pemaju serta tuan tanah perlu mendapatkan kelulusan memulakan kerja-kerja daripada MBPP sungguhpun telah ada perintah mahkamah, supaya tidak berdepan risiko undang-undang macam kes perobohan Pasar Perai yang akan didengar pada 18 September depan.

Rundingan mesti dilakukan antara ketiga-tiga pihak terbabit, dan Kerajaan Negeri memang mahu situasi 'menang-menang' berlaku.

Contoh terbaru, 54 setinggan/penduduk asal di Sandiland Offshore dekat Komtar dapat 'rumah ganti rumah' apabila pemaju Tanjung Villa setuju dengan syor negeri.

Justeru, mengapa pula pentadbiran Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng digambarkan cuba mengusir komuniti Melayu daripada kampung setinggan berkenaan, jika kaedah pentadbiran seperti di atas dilakukan.

Dan, mengapa kita yang GHB pun digambarkan sanggup berdiam diri sebab nak bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Negeri?

Kalau parti Islam berkenaan telah putuskan tahaluf siyasi dengan DAP, jangan panjangkan kebencian sesama rakyat Pulau Pinang yang mahu keharmonian kaum dan agama.

Firman Allah S.W.T :

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ

"... dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa..." (Surah Al-Maidah: 8)

Sekian.

s

SAMM: Halang Sekolah Sertai Hari Kebangsaan Peringkat Negeri: Kementerian Pelajaran Tidak Faham Konsep Persekutuan



Halang Sekolah Sertai Hari Kebangsaan Peringkat Negeri: Kementerian Pelajaran Tidak Faham Konsep Persekutuan

Kenyataan Media
23 Ogos 2015

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pulau Pinang mengecam tindakan Kementerian Pelajaran yang memberi arahan supaya semua sekolah di Pulau Pinang diharamkan menyertai sambutan Hari Merdeka anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Di mana salahnya bagi sesebuah kerajaan negeri melaksanakan sambutan hari kemerdekaan di peringkat negeri?

Ini sambutan hari kemerdekaan negara. Tindakan kementerian langsung tidak mencerminkan semangat cintakan negara sebaliknya cuba menyuburkan kebencian warga terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.

Pentadbiran Najib Razak juga tidak sepatutnya menjadi seperti Mahathir pada zamannya yang tidak hormati demokrasi berperlembagaan. Kerajaan P.Pinang adalah sebuah kerajaan negeri yang telah dipilih majoriti rakyat Pulalu Pinang.

Semua pihak harus faham bahawa Malaysia ini adalah sebuah 'persekutuan' di mana negeri juga mempunyai kuasa dan kedaulatan yang dijamin perlembagaan. Ini termasuklah penganjuran acara sambutan ulangtahun kemerdekaan negara di peringkat negeri. Tindakan 'halang' tersebut bererti kementerian dan menterinya tidak faham konsep semangat perlembagaan.

SAMM P.Pinang menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran sambutan hari kemerdekaan oleh Kerajaan Penang dan mengucapkan tahniah buat juga ketua menteri CM Lim Guan Eng yang istiqomah melaksanakan acara tersebut. Malah SAMM P.Pinang juga bersedia untuk turut bersama dalam sambutan hari kebangsaan peringkat negeri.

Sekian

Aidil Fitri Ibrahim
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia Pulau Pinang
Like

Jawapan Terhadap Kenyataan Media Darul Hadis Pulau Pinang - Dr MAZA

JAWAPAN TERHADAP KENYATAAN MEDIA DARUL HADIS PULAU PINANG


Sumber
Pagi ini saya terlihat kenyataan mudir Darul Hadis Pulau Pinang di akhbar SH yang menyebut nama saya berhubung dengan what's app yang diviralkan oleh pihak tertentu. Beliau meminta secara terbuka saya memberikan penjelasan kerana nama saya telah diviralkan oleh pihak tertentu berkaitan dengan pusat mereka. Di sini saya ingin jelaskan seperti berikut;

1. Saya telah dimaklumkan tentang isu ini sejak semalam. Saya mengambil langkah mengelak untuk mengulas dengan harapan isu ini reda dan tiada pihak yang kesukaran. Bahkan, saya telah meminta agar pihak admin mengeluarkan kenyataan bahawa KENYATAAN RASMI saya hanyalah yang disiarkan di FB ini sahaja. Pun begitu nampaknya pihak mudir berkenaan memilih untuk memanjangkan isu ini.

2. What’s app berkenaan bukanlah kenyataan rasmi. Ia satu kenyataan pihak lain untuk diperbincangkan bersama dalam group kecil khusus. Ia belum satu keputusan rasmi, tetapi ketika itu masih di peringkat perbincangan yang belum final. Kenyataan yang dibincangkan itupun tidak menyebut secara khusus nama tempat mudir berkenaan, cuma menyebut di negeri Pulau Pinang. Kesalahannya ialah apabila ada pihak yang menyebarkannya secara meluas.

3. Perbincangan itu terjadi rentetan sebaran tentang nama ‘darul hadis’ yang ingin mengutip derma. Secara kebetulan saya dalam bidang berkaitan dan juga pensyarah hadis di universiti, maka ada pihak yang mengemukakan perbincangan tersebut. Ia sesuatu yang normal untuk mana-mana what’s app group membincangkan sesuatu isu secara tertutup.

4. Punca perbincangan ialah kerana mudir darul hadis berkenaan DILIHAT telah menyebar dan mengamalkan hadis-hadis yang tidak sahih seperti al-Musalsal bi Ilbas al-‘Imamah iaitu hadis musalsal memakaikan serban kepada pihak lain. Gambar majlis tersebut disiarkan di media social secara meluas. Secara umumnya musalsal bermaksud setiap periwayat sesuatu hadis meniru perbuatan seperti mana yang diriwayatkan kepadanya oleh rawi sebelumnya sehingga kepada Rasulullah s.a.w. Kebanyakan hadis musalsal adalah tidak sahih bahkan palsu. Kata al-Imam al-Zahabi (meninggal 848H) yang merupakan tokoh hadis agung: “Secara umumnya hadis-hadis musalsal adalah dhaif, kebanyakannya pula adalah batil, disebabkan pembohongan perawinya” (al-Dhahabi, al-Muqizah fi `ilm al-Mustalah al-Hadith, m.s. 44. Syria: al-Matbu`at al-Islamiyyah).

5. Walaupun saya tidak kenal mudir berkenaan, tapi saya sendiri pernah berforum dengan beliau yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ketika itu beliau telah pun memakai gelaran mudir darul hadis. Saya telah pun memberikan pandangan balas mengenai hadis daif yang beliau baca dalam forum berkenaan. Boleh ditonton forum tersebut di youtube. Ini antara perkara yang menyebabkan tajuk itu rancak diperbincangkan, sejauh manakah jenama ‘darul hadis’ itu digunapakai. Saya sendiri selepas majlis itu mencadangkan kepada mudir berkenaan agar beliau menyambung pengajian dalam bidang hadis ke peringkat yang lebih tinggi. Tidak mencukupi jika sekadar asas yang terlalu basic untuk mengendalikan darul hadis.

6. Gambar-gambar beliau dengan individu yang memakai darul hadis di negeri tertentu yang pernah membuat dakwaan ganjil seperti keanjaiban angka tertentu, Nabi Adam turun di negerinya, kapal Tariq bin Ziyad dibuat oleh orang negerinya, kapur Firaun diambil dari negerinya dan seumpamanya, juga menjadi asas kepada perbincangan itu.

7. Masih banyak perkara jika hendak dibangkitkan di sini. Apapun, seperti yang dijelaskan bahawa sebaran what’s app berkenaan BUKANLAH kenyataan rasmi. Ia satu perbincangan dalaman yang belum ke peringkat untuk sebaran awam secara meluas. Walaupun secara peribadi, saya merasakan penggunaan jenama ‘darul hadis’ memerlukan penelitian yang lebih cermat agar tidak berulang seperti yang sedang berlaku di darul hadis negeri tertentu yang membuat dakwaan-dakwaan yang ganjil itu.

Saya harap jawapan memadai bagi menunaikan tuntutan kenyataan media pihak mudir berkenaan yang ingin saya membuat kenyataan balas. Saya mendoakan agar Allah memberikan KEBAIKAN dan KERAHMATAN kepada beliau dan niat baik beliau. Perbincangan ilmu tidaklah memutuskan persaudaraan dan kasih sayang sesama muslim yang ada antara kita. Dr MAZA,
Kangar, Perlis







--

Kenyataan Rasmi Berkenaan Isu Fitnah Terhadap Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang Yang Di Dakwa Menjadi Pusat Penyebaran Hadis Palsu



Kenyataan Rasmi Berkenaan Isu Fitnah Terhadap Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang Yang Di Dakwa Menjadi Pusat Penyebaran Hadis Palsu

Saya menerima panggilan yang banyak untuk memintak penjelasan terhadap isu Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang menjadi pusat penyebaran Hadis Palsu di Pulau Pinang yang telah disebarkan Atas Nama Dr Jailani (Penguam) Melalui Aplikasi Whatsapp Dr Maza.

Ini Jawapan saya :

Pertama sekali saya merasa begitu kesal atas fitnah yang dibuat. Namun saya mengambil sikap yang diajarkan oleh Islam adalah dengan meminta kepastian dan penjelasan dengan menghubungi sendiri Dr Jailani dan dalam perbualan kami beliau sendiri tidak pasti adakah kenyataan itu benar ataupun tidak dari Dr Maza.

Maka disini jelaslah bahawa sebaran ini jelas sekali tidak berasas dan hanyalah fitnah semata-mata kerana kami tidak pernah menubuhkan Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang untuk tujuan demikian.

Sehubungan dengan itu, saya mengharapkan dan menuntut kepada Dr Maza dan Dr Jailani yang sengaja atau dengan tidak sengaja membangkitkan berita ini, supaya memberikan kenyataan rasmi terhadap isu ini secara terbuka kerana dengan sebab PENAMA ini telah mengecewakan hati-hati dan menghilangkan kepercayaan mereka yang telah membuat sumbangan terhadap Institusi ini (PPDHPP).

Perbuatan fitnah ini juga boleh menggagalkan impian kami untuk membina Pusat Pengajian dengan mengumpul dana pembelian tanah di Lot 439 & 440 Pokok Machang Tasek Gelugur seluas 5,4 ekar yang berharga RM2,008660.40

Jesteru, saya dengan hati yang terbuka juga meminta kepada mereka yang telah membuat dan menabur fitnah terhadap kami supaya memohon maaf kerana fitnah memfitnah ini bukanlah ajaran yang diajar oleh Islam.
Bertapa ruginya ummat Islam dalam isu fitnah ini

Sekian dari saya,

Mohmad Hanif Bin Haron
Mudir,
Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang
1 Ogos 2015 Sabtu
Jam 6.10 petang

s

--

Struktur Menara Telekomunikasi Tanpa Izin Di Atas Tanah Rezab Kerajaan Bersebelahan Masjid Batu Uban



KENYATAAN AKHBAR
STRUKTUR MENARA TELEKOMUNIKASI TANPA IZIN DI ATAS TANAH REZAB KERAJAAN BERSEBELAHAN MASJID BATU UBAN
____________________________________________________

Dimaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah menerima aduan bahawa satu menara telekomunikasi haram telahpun dibina bersebelahan Masjid Batu Uban. Aduan tersebut kemudiannya telahpun dipanjangkan kepada Pejabat Tanah pada 26.05.2014 untuk tindakan lanjut bagi struktur tanpa izin yang dibina atas tanah rezab kerajaan.


Malangnya perkara tersebut telah disalahtafsir oleh pihak tertentu melalui media-sosial untuk dijadikan isu sensitif seakan-akan seperti yang dituduhkan, "Majlis akan mengambil tindakan merobohkan Menara Masjid Batu Uban yang dibina beberapa tahun lalu sebagai mercu tanda Masjid" dalam media-sosial tersebut.

Kenyataan ini disebarkan secara meluas melalui media-sosial dengan maklumat yang tidak benar. Majlis amat kesal sekiranya benar kenyataan tersebut dilakukan oleh seorang bekas Ahli Majlis yang mengetahui akan prosedur Majlis dalam mengendalikan struktur telco haram atas tanah rezab kerajaan.

Majlis menyeru kepada sesiapa saja yang ingin membuat sesuatu kenyataan mendapatkan maklumat yang sebenar daripada pihak Majlis sebelum membuat sesuatu kenyataan agar tidak menimbulkan salah faham orang awam terhadap Majlis.

Tindakan seumpama ini melalui media-sosial akan menimbulkan salah faham dan menyebabkan kemarahan pihak tertentu terhadap Majlis. Perkara seumpama ini seharusnya tidak berlaku sama sekali.

Sekian, terima kasih.

Dikeluarkan oleh :
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam
Jabatan Khidmat Pengurusan
Majlis Bandaraya Pulau Pulau Pinang
Bertarikh : 31 Julai 2015





--

Kabinet Baharu Tiada Nilai Selagi Dasar Tidak Diubah - PAS PP



KENYATAAN MEDIA
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI PULAU PINANG
13 Syawal 1436H | 29 Julai 2015M

"Kabinet Baharu Tiada Nilai Selagi Dasar Tidak Diubah"


Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kabinet baharu Kerajaan Malaysia yang diumumkan semalam bukan satu kejutan, kerana sejarah telah membuktikan beberapa Timbalan Perdana Menteri pernah mengalami situasi sama. Ini sebagaimana dilakukan Tun Mahathir Mohamad sewaktu beliau sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Bezanya, pemecatan yang dibuat oleh Dato' Sri Najib Razak dilakukan tanpa sebarang alasan munasabah. Perkara sebegini suatu yang zalim dan tidak wajar dilakukan.

Sepertimana disaksikan umum, mutakhir ini Tan Sri Muhyiddin lantang mengkritik isu 1MDB yang turut dilontarkan secara terbuka dalam majlis-majlis UMNO.

Seandainya ini adalah indikator yang diukur oleh Najib untuk menggugurkan Muhyiddin, maka ianya amat memalukan dan mendukacitakan seluruh rakyat Malaysia.

Lantaran kebenaran cuba ditegakkan Muhyiddin, maka beliau dihumban keluar dari kabinet. Ini memberi mesej jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawasanya UMNI-BN tidak berdiri di atas kebenaran dan perjuangannya sentiasa menentang kebenaran yang ingin ditegakkan.

Justeru itu, saya yang mewakili PAS Pulau Pinang menuntut supaya Perdana Menteri mengemukakan alasan dan hujah yang kukuh terhadap pemecatan tersebut.

PAS Pulau Pinang melihat tindakan dilakukan itu menyamai usaha-usaha menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan pemecatan Anwar Ibrahim sewaktu beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri satu ketika dahulu.

Sekalipun kabinet dirombak dan memiliki Timbalan Perdana Menteri yang baru, itu belum bermakna segala kezaliman dan penyelewengan telah dilakukan oleh UMNO-BN akan terus dilupakan dan dilenyapkan begitu sahaja. Bahkan tindakan drastik ini akan lebih membangkitkan kemarahan rakyat dengan pelbagai rentetan isu yang berlegar antaranya kenaikan harga minyak, kejatuhan teruk matawang ringgit Malaysia, 1MDB, GST, TPPA, kehilangan pesawat MH 370 dan sebagainya, tidak akan pudar dan luput dari ingatan rakyat.

Kenaikan pimpinan yang baharu ini belum menjamin segala isu ini mampu diselesaikan dengan telus dan adil lantaran pemerintah itu masih lagi pimpinan dari parti sama iaitu UMNO-BN.

UMNO dan Presidennya Dato' Sri Najib Razak sudah tidak relevan untuk memerintah Malaysia berikutan pelbagai salah laku dan penyalahgunaan kuasa yang telah berlaku sepanjang pemerintahan.

Oleh itu, PAS Pulau Pinang menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bingkas bangkit berjuang bersama PAS mendepani kemelut yang berlaku. Kita perlu merubah acuan pentadbiran negara ini daripada berhakimkan ideologi ciptaan manusia kepada ketuanan Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS.

Ayuh kita semua selamatkan Malaysia dengan Islam. Jangan biarkan kezaliman dan penindasan ini dibiarkan tanpa penyelesaian daripada Islam.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Penerangan
PAS Negeri Pulau Pinang







--

Kerajaan Malaysia Perlu Tarik Diri Dari TPPA Memandangkan Rundingan Akan Dimuktamadkan Pada Minggu Ini - S. M. Mohamed Idris



Kenyataan Akhbar
23 Julai 2015

Kerajaan Malaysia Perlu Tarik Diri Dari TPPA Memandangkan
Rundingan Akan Dimuktamadkan Pada Minggu Ini
Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) akan diadakan pada minggu ini dan minggu depan di Hawaii.

Dijangkakan ia adalah pusingan terakhir rundingan TPPA. Ketua Perunding dan pasukan mereka akan bertemu pada 24 – 27 Julai diikuti oleh mesyuarat Menteri Perdagangan pada 28 – 31 Julai.

Menteri-Menteri dijangka menyelesaikan semua isu tertangguh dan memuktamadkan teks TPPA pada 31 Julai. Selepas beberapa pindaan dan “semakan perundangan”, Perjanjian itu dijangka ditandatangani pada Oktober atau November 2015.

Oleh sebab itu mesyuarat di Hawaii pada minggu ini amat penting. Ia merupakan peluang terakhir bagi Malaysia untuk membuat pilihan yang betul kerana ia akan menjejaskan rakyat dan generasi masa hadapan Malaysia.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yakin bahawa TPPA merupakan perjanjian yang penuh dengan kecacatan dan akan memberikan kesan buruk ke atas ekonomi dan masyarakat Malaysia, serta tidak langsung membawa sebarang manfaat sepenuhnya.

Oleh sebab itu kami menggesa Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kabinet, supaya menarik keluar Malaysia dari rundingan TPPA dan tidak menjadi sebahagian daripada pihak yang memuktamadkan rundingan atau menandatangani perjanjian itu.

Kami juga turut menggesa Ahli Parlimen peka akan isu dalam TPPA dan menyuarakan bantahan agar Malaysia tidak meneruskan penyertaan dalam TPPA, serta mengundi agar Malaysia tidak menyertai TPP.

Rundingan di Hawaii pada minggu ini amat berbahaya memandangkan Amerika Syarikat (AS) khususnya akan memberi tekanan ke atas Malaysia agar bersetuju dengan terma dan syarat bagi isu yang tertangguh dalam TPPA.

AS percaya ia kini berada dalam kedudukan yang kuat disebabkan Presidennya telah memperolehi kuasa ‘fast track’ daripada Kongres. Ini membolehkan Pentadbiran AS meletakkan TPPA dihadapan Kongres AS untuk diundi “Ya atau Tidak” tetapi bukan untuk mengubah teks.

Oleh itu ia amat berbahaya kerana AS akan cuba mengasak pandangan mereka berhubung isu tertangguh yang akan menjadi tumpuan dalam pertemuan di Hawaii.

Antara isu tertangguh yang utama dalam pusingan rundingan di Hawaii ialah:

· Menjadikan perlindungan harta intelektual lebih panjang dan kuat untuk manfaat syarikat transnasional, terutama sekali industri farmaseutikal, dan dengan itu melemahkan peranan dan kemudahan mendapatkan ubatan generik yang lebih murah.

· Sama ada Malaysia mampu untuk mengambil langkah kesihatan seperti kawalan ke atas pemasaran tembakau yang sedang dicabar dalam banyak peruntukan TPPA.

· Mengembangkan hak pemegang hakcipta dan dengan itu menjadikan buku teks, jurnal, maklumat saintifik dan maklumat digital menjadi mahal untuk jangkamasa lebih lama.

· Menghapuskan duti import ke atas hampir semua barangan, dan membenarkan syarikat asing bebas masuk ke dalam sektor perkhidmatan.

· Menekan Malaysia untuk menyertai banyak perjanjian antarabangsa, termasuk UPOV 1991, yang akan mengurangkan kemampuan petani untuk mengawal benih mereka sendiri dan menjadikan mereka bergantung kepada dan membayar royalti ke atas benih milik syarikat transnasional.

· Memuktamadkan butiran sistem pertikaian pelabur-negara, di mana pelabur asing dibolehkan untuk menuntut berbilion ringgit daripada kerajaan bagi sebarang kerugian daripada keuntungan masa hadapan akibat pengenalan atau perubahan dalam dasar negara atau negeri dan juga dalam melaksanakan undang-undang dan dasar sedia ada.

· Meminta Malaysia supaya menerima undang-undang baharu mengenai pemerolehan kerajaan di mana kerajaan hilang hak untuk memberikan keutamaan kepada perniagaan tempatan dalam pemerolehan barangan dan perkhidmatan.

· Meminta Malaysia supaya menerima undang-undang baharu mengenai perniagaan milik negara di mana syarikat berkaitan kerajaan tidak akan dibenarkan untuk menerima bantuan kerajaan atau memberikan keutamaan kepada syarikat dan penduduk tempatan apabila membeli atau menjual bahan atau perkhidmatan.

· Melarang atau mengehadkan hak kerajaan untuk mengawal aliran masuk dan keluar dana dan memberikan hak yang belum pernah terjadi sebelum ini kepada institusi kewangan asing untuk menyaman kerajaan di tribunal antarabangsa.
Jika menteri Malaysia tunduk kepada tekanan ini, kesan sampingan yang akan berlaku termasuklah:

· Harga bagi ubatan yang lebih tinggi, menjadikannya sukar untuk dicapai oleh golongan miskin dan kelas pertengahan. Contohnya, ubatan terbaharu bagi Hepatitis C kini berharga lebih RM300,000 untuk rawatan 12 minggu.

· Syarikat ubatan generik tempatan akan mendapati lebih sukar untuk kelangsungan dan pengimportan banyak ubatan generik murah juga akan menjadi sukar dan lambat. Ini akan menafikan pesakit Malaysia terhadap hak mereka untuk mendapatkan akses terhadap rawatan, dan menyebabkan banyak kematian yang tidak sewajarnya dan penyakit serius yang tidak dirawat akan berterusan.

· Perlindungan kesihatan awam melalui kawalan ke atas penjualan tembakau akan dikompromi memandangkan langkah ini boleh dicabar oleh syarikat tembakau yang akan mengambil kesempatan daripada peruntukan dalam TPPA. Penjualan produk tembakau membunuh ramai rakyat Malaysia setiap tahun.

· Penghapusan tarif secara menyeluruh akan mengancam daya maju industri tempatan dan mengancam pekerjaan serta kehidupan beribu penduduk tempatan.

· Beribu petani kecil akan terancam kehidupan mereka oleh import yang murah dan mereka terpaksa membayar lebih untuk benih dan input pertanian lain.

· Pelajar dan rakyat Malaysia lain perlu membayar harga yang tinggi bagi buku dan bahan maklumat mereka bagi tempoh yang lebih panjang, atau tidak membelinya disebabkan oleh harga tinggi.

· Kerajaan akan dibataskan daripada mengawal aliran dana ke dalam dan keluar negara, dengan itu akan kehilangan alat dasar penting untuk memastikan kestabilan kewangan dan mengelakkan krisis kewangan. Ini akan memudaratkan kerana Malaysia akan mudah terjejas oleh krisis kewangan global baharu.

· Rakyat dan perniagaan tempatan kita tidak lagi mampu untuk menikmati keutamaan atau bantuan daripada perbelanjaan dan projek kerajaan memandangkan orang asing dari negara TPPA akan diberikan layanan yang sama atau lebih baik daripada warganya.

· Syarikat dan perniagaan negara di mana kerajaan mempunyai kepentingan akan dibendung dalam operasi mereka dan syarikat asing yang besar mampu dengan lebih baik untuk mengambil saham mereka daripada pasaran tempatan.

· Hak kedaulatan negara untuk membuat dasar dan Parlimen untuk menggubal undang-undang dan kehakiman untuk mentafsir undang-undang berada dalam bahaya disebabkan sistem pertikaian pelabur-negara dalam TPPA di mana orang asing boleh menyaman kerajaan berbilion ringgit di tribunal asing yang menunjukkan lebih berpihak kepada pelabur asing.

Sementara TPPA akan memberikan kesan sampingan yang serius ke atas rakyat Malaysia, tiada sebarang manfaat yang akan dibawa oleh TPPA. Malaysia sudah pun menikmati akses pasaran ke Amerika Syarikat dan negara maju lain bagi hampir semua produk penting kita, manakala akses pasaran ke negara Asia dan ASEAN lain sudah pun diperolehi melalui perjanjian perdagangan kita dengan mereka.

Oleh itu tiada alasan bagi Malaysia untuk menyertai TPPA. Tidak terlambat bagi kerajaan untuk membuat keputusan yang betul dan menarik diri dari TPPA sebelum ia dimuktamadkan pada minggu ini.

Tiada apa yang perlu dimalukan untuk menarik diri daripada perjanjian yang tidak memberikan manfaat tetapi sebaliknya membahayakan negara. Banyak negara lain telah membuat keputusan untuk tidak menyelesaikan rundingan mereka apabila berhadapan dengan hasil perjanjian perdagangan yang tidak memihak kepada mereka.

Malah ia lebih memalukan dan menjadi satu tragedi kepada negara untuk melengkapkan dan menyertai perjanjian yang komprehensif dan yang memusnahkan sepertimana TPPA ini, yang akan melepaskan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin di masa lalu untuk Malaysia, dan yang akan merosakkan prospek bagi masa depan pembangunan sosial dan ekonomi kita.

Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kabinet perlu membuat keputusan sekarang untuk tidak menyertai TPPA dan untuk tidak meneruskan rundingan itu.


S. M. Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang




--

Recent Posts Widget

.

.