PAS MENERAJUI PENYATUAN UMMAH BERTERASKAN SYARIAT
Oleh: Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob
Timbalan Mursyidul Am PAS
3 Rabiul Awwal 1437/15 Disember 2015
1) PAS sejak awal penubuhannya dibangunkan diatas dasar menegakkan hukum dan tuntutan Allah. PAS telah berusaha untuk menjadikan Syariat Islam sebagai pegangan umat Islam di Malaysia. Dalam memperteguhkan Syariat Islam ini, PAS telah mengangkat Al-Quran, Al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai sumber rujukan dan sehingga kini PAS tidak berganjak dalam memperjuangkann
ya.
2) Masih ramai umat Islam di Malaysia yang tidak mempedulikan tuntutan Al-Quran. Ada dalam kalangan mereka yang beriman dengan sebahagian ayat dan mengenepikan sebahagian yang lain. Diatas kesedaran ini, PAS mengambil peranan untuk memacu ummah dalam mendaulatkan tuntutan Allah sebagaimana terkandung dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman:
وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ إِنَّ اللَّهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ. ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ
Maksudnya: Dan Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) adalah merupakan kebenaran yang mengesahkan Kitab-Kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya lagi Maha melihat dan memerhatikan. Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata-mata). (Fatir : 31-32) :
3) PAS telah melalui pengalaman yang sangat lama dalam kancah politik dan telah mendepani pelbagai cabaran serta tribulasi tersendiri. Akhir-akhir ini terdapat pula pihak yang mendakwa perjuangan PAS sudah terpesong daripada dasar perjuangan Islam. Malah ada yang begitu berani menyamakan perjuangan PAS dengan puak ISIS yang ekstrim. Ini adalah tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda jahat terhadap PAS.
4) PAS sangat mengutamakan perpaduan ummah sebagaimana asas perpaduan yang telah dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah. Kenyataan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang bertajuk ‘Syariat Islam Asas Penyatuan Ummah’ adalah suatu lontaran yang sangat tepat khususnya menyedari situasi negara kita pada hari ini dalam keadaan parah akibat politik kepartian yang mengenepikan Syariat. Islam telah meletak garis panduan dalam berpolitik dan berparti. Terasasnya sesebuah parti bagi umat Islam adalah untuk melaksanakan segala tuntutan agama agar tertegak di dalam negara. Agenda melaksanakan tuntutan Allah yang merangkumi hal ehwal pentadbiran, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain lain adalah menjadi fokus utama PAS.
5) Rasulullah SAW melalui usaha konstruktifnya telah berjaya menyatukan ummah di Madinah. Sebelum kedatangan Rasulullah, masyarakat Madinah hidup di dalam keadaan berpecah-belah. Hal ini disebabkan Madinah terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama. Sebelum ini Aus dan Khazraj bertelagah antara satu sama lain sementara hubungan antara Yahudi dan kabilah Arab penuh dalam ketegangan.
6) Nabi sedar, negara Madinah mungkin tidak dapat ditegakkan jika penduduk Madinah tidak bersatu terlebih dahulu. Sehubungan dengan itu, Nabi SAW telah bertindak mempersaudarakan golongan Aus dan Khazraj dan mereka diberi nama baru iaitu golongan Ansar, golongan ini kemudiannya telah dipersaudarakan pula dengan golongan Muhajirin dan seterusnya mengadakan perjanjian damai dengan golongan Yahudi. Nabi juga membina masjid sebagai tempat untuk menyatukan umat Islam. Dengan usaha-usaha yang dilakukan ini maka terbentuklah satu ummah yang teguh di Madinah dan akhirnya terbina Madinah Sejahtera dan Barakah.
7) Pembentukan ummah ini telah berjaya mengukuhkan kedudukan politik Islam. Ia telah membuka peluang kepada penyebaran agama Islam. Orang Islam bebas beribadat dan menyebarkan agama Islam. Hal ini menyebabkan bilangan penganut Islam bertambah dengan ramainya. Dalam tempoh sepuluh tahun Nabi di Madinah, penganut Islam telah meningkat lebih daripada 100,000 orang. Hal ini terbukti semasa Nabi mengerjakan ibadat haji yang terakhir, seramai 100,000 orang telah mendengar khutbah baginda yang terakhir. Bilangan ini sangat besar berbanding dengan bilangan yang berjaya di islamkan dalam tempoh 13 tahun ketika Nabi SAW di Mekah.
8) Inilah agenda yang ditumpukan oleh PAS, ianya bukan sekadar memenuhi tanggungjawab politik kepartian dan mendambakan kuasa pemerintahan semata-mata, akan tetapi agenda dakwah dan tarbiyah mesti selari dengan usaha siyasah atau politik. PAS tidak mahu negara ini hancur disebabkan percaturan politik yang hanya menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat. PAS mendukung usaha perpaduan semua kaum, orang Islam dan bukan Islam. Apatah lagi dalam usaha untuk membangunkan Malaysia sebagai Negara Islam, maka tidak dapat tidak PAS mesti menjadi pencatur untuk umat Islam berpadu.
9) PAS tidak akan bergabung dengan Umno dan Barisan Nasional sehinggalah Umno melaksanakan Syariat Islam. Hal ini dipertegaskan berkali-kali oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini. Umno dan Barisan Nasional wajib memertabatkan Syariat Islam dalam negara ini dengan kuasa yang ada ditangan mereka. Inilah sahaja jalan untuk membentuk perpaduan yang akan mempastikan tuntutan Islam dapat ditegakkan.
10) Dalam usaha PAS untuk membangunkan negara dengan Syariat Islam, PAS akan sentiasa menjadi parti checks and balances kepada Kerajaan Persekutuan. Kini, PAS sudah memerintah negeri Kelantan dan Selangor bersama pakatan tahaluf. Dengan pengalaman mentadbir ini, PAS melalui negeri yang dikuasainya akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha ta’awun atau saling bantu-membantu demi untuk kesejahteraan dan faedah kepada rakyat. PAS insya-Allah akan menonjolkan model terbaik bagi mendirikan sesebuah pemerintahan untuk menaungi ummah.
11) PAS sehingga kini terus menjadikan Kelantan sebagai negeri dibawah payungan Syariat dan alhamdulillah masyarakat diasuh dengan didikan agama, penganut Islam dan bukan Islam saling hidup tolong-menolong dan usaha mendirikan agama didukung bersama. Sebagaimana usaha di Kelantan, inilah juga usaha PAS dalam melebarkan kuasa ke negeri-negeri lain termasuklah untuk memenuhi hasrat rakyat ke Putrajaya dengan model kepimpinan yang adil lagi saksama.
RETORIK PERPADUAN MELAYU HANYALAH SANDIWARA ULANGAN UMNO
Angkatan Muda Keadilan yakin rakyat tidak lagi mudah termakan propaganda perpaduan Melayu yang cuba disampaikan oleh UMNO terutama pasca perhimpunan agung parti itu baru-baru ini.
Rakyat sudah maklum, setiap kali terhimpit, UMNO akan lebih lantang dan kerap menyuarakan perpaduan Melayu, dengan harapan ia akan dapat mengalih perhatian ramai daripada kepincangan parti itu.
Hakikat yang tidak dapat disembunyikan UMNO ialah parti itu sendiri kini berpecah kerana skandal penerimaan wang kira-kira RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Presiden UMNO Najib Razak serta keraguan dalam tadbir urus 1MDB di mana beliau merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.
Jelas, meskipun perpaduan adalah sebuah idealisme unggul, ia mestilah atas prinsip keadilan dan kebebasan, bukan berkompromi dengan rasuah dan salah guna kuasa.
UMNO terus memainkan propaganda usang konon kuasa orang Melayu dan Islam kian terhakis, walhal bilangan ahli parlimen Melayu dan Islam terus bertambah meskipun penguasaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO merosot.
UMNO cuba meyakinkan orang Melayu kononnya tanpa UMNO mereka akan hidup susah dan ditindas. Hakikatnya, rakyat tanpa mengira kaum hari ini terbeban oleh pelbagai dasar kerajaan yang pentadbirannya dikuasai oleh UMNO. Orang Melayu yang merupakan majoriti dalam kumpulan 40 peratus rakyat berpendapatan paling rendah terpaksa bergelut dengan dasar-dasar tersebut.
Bantuan demi bantuan yang diberi, sebenarnya lebih memperkayakan golongan elit, yang ramai daripadanya mempunyai kaitan rapat dengan pemimpin UMNO.
Sebab itu, meskipun pelbagai bantuan telah cuba diberikan sejak sekian lama, jurang ekonomi antara orang Melayu miskin dan orang Melayu kaya semakin melebar.
UMNO akan terus mengulang retorik perpaduan Melayu untuk menyelamatkan diri tetapi orang melayu akan berpadu menolak kebobrokan parti itu, seterusnya nanti bersama-sama dengan rakyat Malaysia seluruhnya membina semula negara ini yang lebih bebas, adil dan bersatu.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
ISU TANGKAPAN KHALWAT
Isu yang dibangkitkan oleh G25 baru-baru ini tentang tangkapan khalwat perlu didasari atas beberapa konsep dosa dan apa yang dikategorikan sebagai kesalahan awam.
1. Islam amat tegas dalam soal dosa atau ذنب kerana ذنب adalah perosak kepada individu dan berpotensi untuk menjerumuskan masyarakat dalam kelalaian dan kealpaan terhadap ajaran Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Janganlah memandang kecil kesalahan (dosa) tetapi pandanglah kepada siapa yang kamu durhakai” (hadith riwayat ath-Thusi)
2. Dosa dinilai kebejatannya dari sudut pelaku dan sejauhmana kesannya pada orang ramai. Pelaku dosa yang hanya merosakkan dirinya tak sama dengan pelaku dosa yang merosakkan dirinya dan orang ramai. Rasuah dan merompak harta awam dan menyembunyikan kebenaran adalah contoh kategori dosa yang melibatkan kerosakan pada manusia terbanyak. Kesan jangka panjang sesebuah perbuatan dosa juga hendaklah dipertimbangkan oleh pemimpin masyarakat dan penggubal polisi awam. Berhubung hal ini Imam Al-Shabiti menyatakan:
“Memperhatikan kesan masa depan sesebuah perbuatan adalah antara perkara yang menjadi tuntutan untuk merealisasikan objektif Syara’.”
3. Dosa atau kesalahan yang mengundang murka Allah juga dilihat dari sudut perbuatan samada dibuat secara Jahri (terang-terangan) atau Sirri (senyap dan diam-diam). Walaupun kedua-dua keadaan tetap satu dosa namun melakukannya secara terangan menambah satu lagi kesalahan iaitu 'mencabar' perintah laranganNya. Tidak solat dalam diam adalah dosa namun mengisytiharkan solat itu tak berfaedah dan mengingkarinya secara terangan bagi seorang muslim adalah satu perbuatan mencabar Allah. Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda:
“Setiap umatku akan mendapat ampunan, kecuali mujahirin (orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa). Dan yang termasuk terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang berbuat (dosa) pada malam hari, kemudian pada pagi hari dia menceritakannya, padahal Allah telah menutupi perbuatannya tersebut, yang mana dia berkata, “Hai fulan, tadi malam aku telah berbuat begini dan begitu.” Sebenarnya pada malam hari Rabb-nya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi pada pagi harinya dia menyingkap perbuatannya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah tersebut.” (Muttafaq ‘Alaih)
4. Bagi Muslim piawaian dosa serta taklifnya (tanggungjawab) pula hanyalah mengikut apa yang ditetapkan oleh syara'. Kita tidak boleh paksa piawaian dosa ke atas penganut lain. Firman Allah SWT:
"Tidak ada paksaan dalam beragama." (QS. Al-Baqarah: 256)
5. Dosa boleh dianggap kesalahan umum apabila perbuatan seseorang samada Muslim atau non Muslim mencerobohi ruang awam dan membahayakan keselamatan atau merosakkan akhlaq awam dan berupaya merosakkan prinsip masyarakat yang diterima ramai.
6. Bagi ruang peribadi atau sendiri kesalahan melakukan sesuatu perbuatan dosa tanpa pelaku menceroboh ruang awam, kesalahannya diperhitung kelak oleh Allah. Jika kita mengetahuinya maka hendaklah menasihati agar ia bertaubat dan memohon istighfar. Rasulullah SAW bersabda:
“Agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat”. Mereka (para sahabat) bertanya,"Untuk siapa, wahai Rasulullah?" Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,"Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam kaum Muslimin atau Mukminin, dan bagi kaum Muslimin pada umumnya.”(hadith riwayat Muslim)
7. Penguatkuasaan atas jenayah dosa lebih kepada kesedaran dan pertanggungjawaban hamba dengan Allah selagi ia bukan jenayah mencabar Allah terang-terangan dan merosakkan maslahat kepentingan masyarakat sehingga lahir benci-membenci antara manusia.
8. Islam mewajibkan hamba Allah bertaubat pada kesalahannya dengan beristighfar dan membenci perlakuan dosa serta menghayati perasan kesal pada perbuatannya. Tanggungjawab para ulamak dan mereka yang mengetahui adalah senantiasa menasihati supaya senantiasa membenci perkara maksiat dan menekankan Kerahmatan Allah pada pelaku dosa. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Bahawasanya kerahmatan-Ku itu dapat mengalahkan kemurkaan-Ku,” (Muttafaq ‘Alaih)
8. Peruntukan penguatkuasa agama membasmi maksiat janganlah melampaui had menceroboh ruang peribadi kerana kesalahan menceroboh ruang peribadi seseorang juga adalah satu dosa. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?,” (QS. Surah al-Hujurat: ayat 12)
9. Penguatkuasaan atas nama agama perlu dicermati malah ada kasus yang melibatkan salahguna kuasa para penguatkuasa dan ini amatlah menjengkelkan. Sudahlah menceroboh ruang peribadi ditambah pula salahguna kuasa. Semuanya dibuat atas nama Islam.
10. Dosa tetap dosa selagi ia ditetapkan oleh Syara’. Penguatkuasaan diperlukan terhadap perbuatan yang dianggap sebagai mencabar ajaran Islam secara terangan-terangan. Walaubagaimanapun tindakan penguatkuasaan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab.
Jaga nama baik Islam
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH)
Ahli Parlimen Malaysia
Bertarikh 14 Disember 2015
TINDAKAN TANAH TRX - TABUNG HAJI: BEBANKAN PENCARUM, MEROSAK IMEJ SERTA INTEGRITI AMANAH TABUNG HAJI
Sudah 4 hari berlalu semenjak Perhimpunan Agung UMNO 2015 bermula, namun tidak kedengaran mana-mana perwakilan dengan keberanian untuk membincangkan perihal institusi Negara yang tercalar dengan skandal yang melibatkan Presidennya.
Mahu tidak mahu, umum mengakui, Presiden UMNO sudahpun terpalit bukan sahaja dengan skandal 1MDB dan derma yang di poket akaun peribadi; malah kini menjalar kepada insitusi ibadah Tabung Haji.
Keputusan Tabung Haji (TH) dalam pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM 188.5 juta telah menimbulkan beberapa persoalan daripada pelbagai pihak, terutamanya kepada pendeposit.
Mereka mula memikirkan kemungkinan bebanan di masa hadapan dan terjejasnya kewangan untuk menjalankan ibadah haji.
Mengapakah keputusan pembelian dibuat secara tertutup dan tergesa-gesa? Sekali lagi kemelut pengurusan hutang 1MDB menjelma apabila keputusan pembelian tanah TRX dibuat TH.
Menerusi jawapan Parlimen, rakyat dimaklumkan pembelian tanah TRX sebanyak RM 2,773 per kaki (RM188.5 juta) memberi keuntungan yang besar kepada 1MDB yang membeli tanah TRX tersebut daripada kerajaan dengan harga hanya sebanyak RM 64 per kaki pada tahun 2011; iaitu lebih kurang RM4 juta sahaja! Adakah pendeposit Tabung Haji merelakan RM184 juta keuntungan kepada 1MDB; ataupun 47 kali ganda? Apa istimewanya 1MDB dibandingkan dengan TH?
Laba sebegini mengukuh persepsi bahawa dana pendeposit telah dikorbankan semata-mata demi kepentingan sebuah syarikat ‘kontroversi’ dan bermasalah; dengan Badan Penasihat yang dipengerusikan Perdana Menteri!
Ternyata, transaksi yang melibatkan TH merupakan pendekatan yang paling pantas untuk 1MDB mendapat keuntungan berlipat kali ganda mengikut ‘pintu belakang’; menggunakan dana awam dan agensi kerajaan tanpa memikirkan kesannya kepada imej TH dan wang pendeposit.
TH secara tidak langsung telah membelakangkan kepentingan pendeposit sebelum membuat keputusan ini. Orang awam turut mengkritik penglibatan CEO TH, Tan Sri Ismee Ismail yang juga lembaga pengarah 1MDB dalam membuat keputusan pembelian tanah tersebut. Isu ini membuktikan terdapat konflik berkepentingan yang ‘kritikal’ dalam transaksi pembelian tanah TRX dengan harga yang melambung tinggi.
Kerajaan yang diwakili pemimpin utamanya, Presiden UMNO perlu memberi perincian adakah keputusan ini bakal mempengaruhi peratusan dividen yang dinikmati oleh penyimpan TH, terutamanya sekiranya TH gagal menjual tanah tersebut dengan harga pasaran?
Apakah jaminan dan mekanisme TH memastikan pendeposit akan mendapat kesan yang positif dari penjualan semula tanah tersebut?
Kini, persepsi umum adalah TH menghadapi masalah untuk mencari pembeli tanah TRX tersebut. TH sebelum ini melalui laporan The Malaysian Insider [1] mengatakan bahawa sedang mempertimbangkan 3 pembeli berpotensi yang berminat untuk membeli tanah TRX pada awal bulan Mei 2015. TH juga menyatakan bahawa rundingan jual tanah TRX mengambil masa dua minggu, Malangnya, TH gagal menjual tanah tersebut dalam tempoh lapan bulan, iaitu hingga awal Disember 2015.
Adakah kegagalan ini merupakan bukti bahawa sebenarnya tanah TRX tidak mempunyai pembeli? Sebelum ini digemparkan bahawa TH akan membuat untung sebanyak RM5 juta jika tanah ini dijual. Bagaimana pula dengan kos pelaburan, kos pengurusan, kos kontrak perjanjian jual beli yang mungkin boleh melangkau sehingga melebihi RM5 juta untuk transaksi sebesar RM188.5 juta ini.
Lebih bermanfaat sekiranya 1MDB dan TH membatalkan transaksi jual beli tanah ini bagi mengembalikan semula wang tersebut kepada TH dalam usaha menambah baik perkhidmatan ibadah haji dan mengurangkan beban jemaah haji secara langsung. Kedua, Kerajaan tidak patut dimaafkan apabila membiarkan 1MDB membuat keuntungan besar seperti ini dengan memberi risiko serta tambahan kos kepada pencarum TH.
Jangan cemari nama baik TH dengan mainan politik parti. Kembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi ibadah kita dengan meletakkan keutamaan kepada kredibiliti TH dan keperluan pendeposit; bukannya talian hayat dan penerus dana bagi entiti kesayangan Perdana Menteri.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN MERANGKAP PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN
PAS terus istiqamah di atas prinsip syariat
PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang mendahulukan pendekatan dakwah, tarbiah dan siasah akan terus mengajak umat Islam khasnya dan rakyat negara ini kepada suatu pembinaan sebuah negara sejahtera, maju dan berjaya dengan Islam sebagai dasar.
Sebagai sebuah gerakan dakwah, PAS sentiasa mengajak agar kembali kepada dasar dan prinsip syarak yang berpaksi kepada apa yang dinyatakan oleh Allah dalam al Quran.
Allah SWT berfirman,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُإِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an Nisa : 52)
Inilah slogan PAS sejak ditubuhkan dan ia bukanlah asing bagi sesiapa yang memahami dasar dan perjuangan PAS.
Umno menjadi musuh tradisi PAS adalah kerana prinsip syarak bukan kerana nama atau diri ahli Umno. Apa ruginya bangsa dan negara andai kita kembali kepada dasar syariat yang diturunkan oleh Allah untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia.
Umno mempunyai tanggungjawab aqidah dan syariat di atas pundaknya kerana ia diberi amanah dan kekuasaan pemerintahan. Amanah ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat.
PAS, sebagai parti pembangkang, akan tetap dengan dasarnya mengajak manusia dan mendesak mereka yang berkuasa untuk kembali kepada sistem yang diturunkan oleh Allah. Kita tidak akan jemu mengajak, mendesak dan menyeru Umno agar meninggalkan dasar nasionalisme yang menjadi asas perjuangan mereka.
Malangnya, akibat perbezaan dasar ini, PAS dan ahli PAS terus menerima tekanan dan penindasan, terutamanya di tangan Umno. Ribuan kakitangan awam yang menderita ditukar dan dikenakan pelbagai tindakan kerana mereka menyokong PAS. Kelantan terus menderita dan ditindas dengan teruk sejak Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan di 1990. Sistem federalisme langsung diperkosa dan tidak dipraktik secara adil.
Meskipun begitu, sebagaimana yang diajar Islam, setiap orang diberi ruang bertaubat. Sejarah perjuangan PAS membuktikan PAS sanggup melupakan sejarah silam andainya mereka sedia menerima dasar Islam yang di bawa oleh PAS.
Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi arkitek menumbangkan PAS di Kelantan diterima sebagai rakan politik PAS semasa beliau menerajui Semangat 46.
Demikian juga, Dato Seri Anwar Ibrahim yang hebat bertembung dengan PAS sewaktu bersama Umno diterima sebagai rakan sepasukan apabila menubuhkan PKR dalam Barisan Alternatif dan kemudian Pakatan Rakyat.
Bahkan, DAP yang sangat sukar diterima di kalangan pengundi Melayu, mendapat keuntungan politik bilamana PAS menerima mereka sebagai rakan politik sebelum ini meskipun bukan mudah bagi PAS menghadapi suasana tersebut di mana PAS dituduh menjadi barua DAP, kuda tunggangan dan pengkhianat Melayu. Bahkan lebih jauh dari itu, Dato Onn Jaafar yang mengasaskan Umno diterima sebagai sekutu PAS bersama Parti Negara. Inilah semua menjadi sejarah panjang perjuangan PAS.
Sebagai sebuah gerakan Islam, matlamat PAS ialah menyelamatkan manusia dan negara dari kerosakan.
Kenyataan Presiden Umno di Perhimpunan Agong Umno baru-baru ini agar PAS bersama Umno membina negara berteraskan syariat, hampir menyamai perisytiharan Tun Dr Mahathir Mohamad satu ketika dulu bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam ketika PAS memperjuangkan sebuah negara Islam di bawah Almarhum Ustaz Fadhil Noor dilihat sebagai ancaman besar kepada kerusi Umno.
Kini, oleh kerana perjuangan PAS memberi fokus kepada syariat, maka Perdana Menteri tampil dengan cadangan gagasan pembinaan negara berteraskan syariat tatkala beliau terus lemas di dalam jawapan-jawapan yang semakin mengelirukan mengenai penderma RM2.6 bilion di akaun peribadi beliau samada daripada penderma, para penderma atau wakil-wakil penderma.
PAS tidak akan bersekongkol 'memikul biawak hidup' sebagaimana yang diucapkan oleh Presiden PAS. PAS akan terus mendesak dan memperjuangkan agar syariat diperkukuhkan kerana itu antara tanggungjawab dan amanah PAS sebagai gerakan Islam kepada negara dan juga rakyat.
Negara perlu diselamatkan dari rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan, salah urus tadbir dan politik wang yang kini subur dan menjadi ciri-ciri ‘terkenal’ dalam pentadbiran kerajaan yang diterajui Umno yang mengamalkan dasar yang bercanggah dari tuntutan syariat.
Antara keadilan Islam pertama yang perlu dihayati Umno ialah keperluannya untuk berlaku adil dan menghentikan kezaliman kepada musuh-musuh politiknya. Ini termasuklah membayar royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan berhenti menzalimi rakyat Kelantan dengan meneruskan projek Lebuhraya Pantai Timur sehingga sampai ke Kota Bharu atas dasar keadilan syariat Islam.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
12 Disember 2015
Kenyataan Media.
PENDERMA RM2.6 BILION : SPRM KENA "KENCING"
PM NAJIB BERI KETERANGAN PALSU.
1. Persoalan paling asas berkaitan Skandal RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Perdana Menteri, iaitu siapa yang ‘mendermakan’ wang tersebut nampaknya masih belum terjawab sehingga kini.
2. Rentetan siri penjelasan dan kenyataan yang dikeluarkan sama ada oleh pihak Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin menunjukkan percanggahan yang ketara.
3. Selepas Perdana Menteri gagal memberikan penjelasan secara telus kepada sidang Parlimen dan kepada ahli UMNO sendiri di dalam beberapa kesempatan, ‘skrip’ terbaru yang didendangkan secara ‘berduet’ oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ialah betapa wang RM2.6 bilion yang berada di dalam akaun peribadi Perdana Menteri adalah sumbangan politik yang disumbangkan oleh ‘penderma-penderma’ dari Timur Tengah.
4. Ini sekaligus bercanggah dan menimbulkan keraguan kepada beberapa kenyataan awal daripada pihak kerajaan yang sebelum ini cuba menggambarkan bahawa wang RM2.6 bilion tersebut datangnya daripada hanya satu sumber. Timbalan Perdana Menteri selaku Naib Presiden UMNO sewaktu berucap di dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, Johor pada Ogos lalu dengan penuh yakin menyatakan bahawa beliau telah berjumpa dengan wakil penderma tersebut yang memberikan sumbangan RM2.6 bilion kepada UMNO sebagai tanda penghargaan kepada Malaysia di dalam usaha memerangi keganasan.
5. SPRM pula di dalam dua kenyataan berasingan pada awal Ogos mengesahkan bahawa wang RM2.6 bilion tersebut adalah sumbangan politik dan mereka telah memperolehi maklumat terperinci berkaitan dengan seorang individu yang dikenalpasti sebagai penderma tersebut. Bahkan, di dalam kenyataan terkini SPRM yang disiarkan di dalam akhbar the New Straits Times pada 7 Disember 2015, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki menyatakan bahawa SPRM telah pun mengadakan perjumpaan dengan individu penderma tersebut di sebuah Negara Timur Tengah baru-baru ini.
6. Lantas, persoalan yang perlu dijawab secara jujur oleh Perdana Menteri adalah berapakah sebenarnya penderma yang kononnya telah menyumbangkan wang sebanyak RM2.6 bilion tersebut? Adakah hanya seorang penderma atau terdiri daripada beberapa orang penderma? Sepanjang siasatan dijalankan SPRM, apakah maklumat atau keterangan yang telah Perdana Menteri salurkan kepada SPRM bagi membantu siasatan SPRM?
7. Dengan percanggahan dan kekeliruan yang wujud ini, saya tertanya-tanya adakah Perdana Menteri selama ini telah memberikan "MAKLUMAT PALSU"kepada SPRM? Apakah sikap SPRM sendiri apabila SPRM yang selama ini telah begitu yakin dan bersusah payah menemui individu penderma tersebut yang dipercayai adalah satu-satunya penderma wang RM2.6 bilion tersebut, tiba-tiba mendapati Perdana Menteri dan Timbalannya dalam sehari dua ini mengatakan wang tersebut disumbangkan oleh "beberapa orang penderma"? Siapakah sebenarnya yang ditemui oleh SPRM? Adakah yang ditemui oleh SPRM adalah PENDERMA UPAHAN Najib yang juga mendapat habuan dari RM2.6 bilion?
8. Suka saya mengingatkan bahawa memberikan KETERANGAN PALSU kepada agensi penyiasat seperti SPRM adalah merupakan "satu kesalahan jenayah"dan boleh didakwa sama ada di bawah Akta SPRM sendiri atau peruntukan-peruntukan undang-undang yang lain seperti Seksyen 177 dan Seksyen 181 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang boleh membawa kepada hukuman penjara dan denda. Dengan timbulnya ‘skrip’ terbaru daripada Perdana Menteri ini, saya ternanti-nanti apakah langkah dan tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh SPRM atas KETERANGAN PALSU PM Najib?
“SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA”
DATO’ HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
11 Des 2015/29 Safar 1437H
GEOPOLITIKA 1MDB: KENAPA ROTHSCHILD TOLONG JUAL ASET 1MDB?
oleh Wan Fayhsal
Bila saya tulis sesuatu yang serius dan berat, tak ramai yang minat nak komen (kecuali beberapa kenalan yang dah biasa dengan penulisan saya).
Tapi bila saya komen bab politik yang menaikkan emosi, laju saja orang komen semua.
Saya nak bawa perhatian sedikit tentang FAKTA yang telah berlaku dalam penjualan aset 1MDB iaitu Edra Energy kepada China General Nuclear Corporation (CGN) yang telah saya tuliskan baru-baru ini iaitu "TIGA PETANDA MALAYSIA AKAN BUAT JANAKUASA NUKLEAR": http://themalaysianreserve.com/new/story/three-indicators-why-malaysia-will-go-nuclear
Salah satu tanda ialah bilamana terlibatnya Rothschild iaitu penasihat kewangan terkenal yang kita semua tahu siapa dibelakangnya menasihati Edra Energy yang merupakan anak syarikat 1MDB.
Apa misi utama Rothschild dalam transaksi tersebut? 'MONETIZATION' yakni usaha untuk memaksimakan nilai jualan aset-aset tenaga 1MDB untuk CGN bayar dengan harga yang premium - diluar harga asal yang TNB tawarkan.
Persoalannya kini, bagaimana dan apakah yang telah dinasihati oleh Rothschild kepada Edra untuk berupaya menawarkan harga yang amat mahal (bukan saja mahal hampir RM 2 bilion tetapi juga CGN ambil KESEMUA HUTANG EDRA berjumlah RM 8 BILION!) dan CGN berjaya ambilnya tanpa rasa ada masalah!
Macam mana Rothschild bantu Edra justifikasi lebihan premium RM 2 bilion dan segala hutang tersebut untuk CGN yang semuanya berjumlah RM 18 BILION!
Tak masuk akal bukan?
Pasti ada sesuatu. Sesuatu itu dalam spekulasi i saya adalah Purchasing Power Agreement (PPA) berkenaan Janakuasa Nuklear yang 1MDB memang dari awal ingin bina seperti saya tulis panjang lebar dengna semua "qarīnah" (circumstantial
evidences) lalu di sini: http://www.rausyanfikir.com/2015/08/najibs-samson-option-is-nuclear-power.html
Tak mungkin CGN dapat kaut balik lebihan RM 8 bilion dalam jangka masa pendek.
Kemungkinan besar CGN sanggup bayar lebih sebagai "entry fees" untuk CGN bertapak dalam arena janakuasa elektrik di Malaysia yang mana mereka akan bersaing dengan TNB kelak.
Di sinilah saya ada satu lagi "circumstantial evidence" seperti saya tulis dalam artikel di atas bahawa ketika mana saya hadir ke Nuclear Power Asia 2015 awal tahun ini, saya teringat memang ada seorang konsultan senior daripada Rothschild yang turut sama menyampaikan pandangan dalam "roundtable" di seminar itu. Malangnya saya menyertai roundtable lain, bukan "financing for newcomers" yang dikelolakan oleh Rothschild.
Kalau tanya orang bank atau corporate finance tentu mereka kata ini adalah hal biasa - Rothschild sama seperti Goldman Sachs merupakan nama besar dan baik dalam arena kewangan dunia. Dulu pun Bank Bumiputera guna Rothschild untuk tubuhkan unit Perbankan Perbandangan (Merchant Bank) yang amat "lucrative" itu.
AKAN TETAPI, bagi pengkaji sejarah dan geopolitik, nama-nama seperti Rothschild, Goldman Sachs BUKAN SEBARANG NAMA.
Mereka adalah 'SHAKER DAN MOVER' dalam arena politik ekonomi antarabangsa.
Sebab itu dari awal lagi, saya jauh beda dengan penganalisa 1MDB yang lain. Saya tidak tumpukan kepada DS Najib Razak tetapi cabaran geopolitik. Bila saya dengar ucapan DS Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO dan ulasan beliau berkenaan 1MDB dalam majlis tertutup bersama perwakilan, saya tahu beliau tidak ada kemampuan yang menyeluruh lagi tajam - seperti Tun Mahathir, Tun Daim, Tan Sri Razaleigh - untuk memahami permainan dahsyat golongan "bankers" dan "geopoliticians" yang gunakan perniagaan sebagai muka depan operasi mereka.
Saya terpanggil untuk persoalkan ini kerana saya lihat Goldman Sachs pun membeli ekuiti aset strategik Turki iaitu milik SOCAR dan Petkim berhampiran lautan Aegean (http://www.hurriyetdailynews.com/goldman-sachs-buys-into-turkish-petkims-aegean-port.aspx?pageID=238&nID=69354&NewsCatID=345).
Pada masa yang sama dua syarikat minyak Genie Energy dan Grenel Energy yang ada kepentingan dalam kawasan minyak di Syria.
Siapa pegang Genie Energy? Nama-nama besar dalam geopolitik dunia: Dick Cheney, James Woolsey, Bill Richardson, Jacob Lord Rothschild, Rupert Murdock, Larry Summers dan Michael Steinhardt
(Rujuk: http://journal-neo.org/2015/10/26/genies-and-genocide-syria-israel-russia-and-much-oil-2/)
Siapa pegang Genel Energy?
Tony Hayward, mantan bos besar BP yang letak jawatan selepas peristiwa tumpah minyak "Deepwater Horizon". Dilaporkan oleh wartawan penyiasat Genel Energy ada kepentingan dengan kerajaan Kurdistan untuk menguruskan minyak yang dibeli daripada ISIS di Iraq dengan bantuan kerajaan Turki.
Ini membuat saya tertanya-tanya, apakah dua negara Sunni paling stabil - Turki dan Malaysia - sudah diserapi pengaruh dan tangan-tangan yang boleh merosakkannya dari dalam sama seperti yang Argentina, Greece, Indonesia kena dahulu?
Kalau kes Turki bila kita faham siapa dan apa dibelakang Erdogan seperti Genie dan Genel Energy, maka kita tak hairan kenapa Syria jadi begitu.
Adakah kita juga bakal menerima nasib yang sama memandangkan petanda itu sudah wujud - walaupun dinamika berbeda??
Saya serahkan kepada anda untuk berfikir lanjut.