Mahasiswa Berpolitik : Kerajaan Jangan Bersandiwara
Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
MAHASISWA BERPOLITIK : KERAJAAN JANGAN BERSANDIWARA
1. Merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh pada Khamis lalu (23 Julai 2015) yang bersetuju supaya mahasiswa universiti diberi ruang lebih luas dalam sistem demokrasi negara, termasuk melibatkan diri dalam politik, DPPM mengingatkan pihak Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan agar tidak bersandiwara dalam isu ini.
2. DPPM melihat sikap dan tindakan Kerajaan dalam mendepani mahasiswa yang terlibat dalam politik sendiri pun tidak selari dengan pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2012 yang sepatutnya akta ini dimansuhkan terus.
3. Pentadbiran universiti juga bersikap cauvinis, paranoid dan tidak profesional berurusan dengan kepimpinan dan gerakan mahasiswa yang konsisten menuntut penambahbaikkan dalam segenap sektor pentadbiran negara dan universiti termasuk prestasi sektor pendidikan negara kita.
4. Pidato Jelajah Kerajaan Mahasiswa, Pidato Umum DS Anwar Ibrahim di UM, insiden UM8, tindakan ke atas pejuang isu air di UKM (#UKM13), insiden #UIA3M dan insiden merampas mikrofon semasa Dialog GST di UIAM dan terkini isu 11 orang pimpinan mahasiswa UIAM yang bakal dikenakan tindakan berikutan kenyataan media berhubung isu yang melibatkan PM cukup menjadi bukti kegagalan Kerajaan berhubung dan berinteraksi dengan kumpulan mahasiswa.
5. Pindaan pelbagai undang-undang dan peraturan kononnya untuk memperlihatkan keterbukaan Kerajaan hanyalah bertujuan memerangkap mahasiswa yang komited memperjuangkan kepentingan awam sekalipun di luar pagar kampus.
6. Sedangkan perjuangan mahasiswa ini sendiri adalah kesan daripada tekanan serta bebanan yang dihadapi rakyat secara umumnya dan mahasiswa khususnya berikutan pelaksanaan GST, hutang PTPTN, peningkatan kos sara hidup dan kelemahan serta ketirisan yang berlaku dalam pengurusan kewangan dan ekonomi negara sehingga berlakunya skandal 1MDB, Tabung Haji, MARA dan kejatuhan merudum nilai Ringgit.
7. DPPM menyokong penuh tindakan berani dan semangat kepedulian yang tinggi golongan mahasiswa terhadap situasi negara, pentadbiran Kerajaan dan kehidupan rakyat kerana mahasiswa merupakan generasi teras kepada ketamadunan dan pembangunan bangsa dan negara Malaysia yang lebih aman, makmur, sejahtera dan berkebajikan.
AHMAD TAUFIQ BIN KAMARUDDIN
Pengarah,
Jabatan Pembangunan Mahasiswa,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Ahad, 26 Jul 2015 | 10 Syawal 1436 H
--
Sila kongsi artikel ini...