rungkaikanlah kekeliruan anda itu dengan menghadiri sesi dialog, wacana dan diskusi yang dianjurkan oleh GHB - Mohd Fitri Bin Asmuni
Pagi semalam saya bersarapan dengan Lotpi Yusob, sahabat lama semasa belajar di universiti dulu. Sekarang beliau merupakan Pensyarah di salah sebuah universiti tempatan di Malaysia.
Seringkali kami bertemu, perkara yang sering kami bualkan adalah berkaitan politik. Beliau dan keluarganya adalah penyokong PAS. Begitu juga saya.
Walaubagaimanapun, perubahan angin politik dalaman PAS pasca Muktamar PAS ke-61 yang lalu telah membawa saya untuk menyertai Gerakan Harapan Baru manakala sahabat saya itu kekal berada di dalam PAS. Perubahan itulah yang membuatkan kami teruja untuk bertemu pagi semalam.
Banyak hal berkaitan PAS dan GHB yang kami bualkan. Ada perkara yang kami sepakati dan ada juga perkara yang kami berbeza pandangan. Beliau sedikit kritikal atau "reserve" terhadap masa depan GHB tetapi dalam masa yang sama tidak menafikan kesilapan dan kelemahan pimpinan PAS sedia ada.
Akhirnya kami mengambil sikap "Agree to disagree". Beliau menghormati keputusan saya untuk bersama #HarapanBaru dan saya juga menghormati keputusannya untuk kekal bersama PAS. Pun begitu, ukhwah kami tetap utuh dan erat sekalipun di atas platform yang berbeza.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah, saya lebih suka bersemuka dan berbincang secara berdepan terhadap isu-isu yang melingkari persoalan antara PAS dengan GHB. Banyak persoalan, kekusutan dan kekeliruan boleh dirungkaikan (kalaupun tidak semua) melalui kaedah tersebut berbanding melalui Whatsapp, Facebook dan Telegram.
Bagi saya, penggunaan media sosial seperti Facebook, Whatsapp atau Telegram lebih banyak mencetuskan pergaduhan dan perbalahan berbanding penyelesaian kerana ia bukan medium yang diciptakan untuk tujuan tersebut. Tetapi saya lihat lebih ramai yang berani untuk bersuara di medan sosial sehingga sebahagiannya menjadikan medium sebegitu sebagai medan fitnah dan label-melabel tetapi bacul apabila diajak untuk berdialog, berdiskusi atau berwacana.
Oleh itu, kepada masyarakat di luar sana yang keliru dan dikelirukan mengenai GHB, rungkaikanlah kekeliruan anda itu dengan menghadiri sesi dialog, wacana dan diskusi yang dianjurkan oleh GHB di tempat anda. Anda juga dialu-alukan menganjurkan sesi tersebut dan jemputlah wakil-wakil GHB yang berautoriti untuk berwaca dan berdiskusi.
Saya juga optimis terhadap kesediaan mana-mana pimpinan GHB untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk pimpinan PAS sendiri jika mereka dipanggil untuk berwacana dan berdialog mengenai masa depan dan hala tuju GHB.
Elakkan politik fitnah, budayakan politik wacana.
Saya optimis, anda bagaimana?
--
Sila kongsi artikel ini...