PAS perlu segera nyatakan halatuju politiknya, yang logikal dan praktikal.

1:13 PM 0 Comments A+ a-

oleh Ahmad Sabki Yusof

Hari ini, saya bercadang untuk menulis lanjut tentang krisis organisasi PAS dan memberi cadangan. Kali ini mengenai kepimpinan.

Tapi oleh kerana ramai yang memberikan komen-komen dalam tulisan pagi semalam, saya kemukakan beberapa maklum balas sebelum terus menulis dan memberi cadangan kepada PAS.

Pertamanya, saya tidak lagi memegang apa-apa jawatan di dalam PAS, hanya ahli biasa. Jadi tak salah rasanya mencadang di dinding FB ini. Sehingga semalam, FB ini pun sudah lama tidak dikemaskini, mungkin lebih dari 7 tahun.

Seterusnya terima kasih kepada yang memberikan komen – samada menyokong atau menolak, itu hak tuan-tuan sebagai pembaca. Jazakallahu khair.

Pernyataan saya yang menarik respon ramai dalam tulisan tersebut mungkin diambil dari para: “Mereka yang percaya model politik UMNO/BN lebih baik untuk Islam dan Melayu mula menunjuk sikap tidak mesra Pakatan Rakyat dan apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah yang kita semua tahu”.

Ada yang mengadakan saya terpengaruh dengan cybetroopers, ada yang kata itu fitnah dan tohmahan dan ada yang mengatakan itu falasi.

Bila saya menulis perkara tersebut, bukan saya membuat tuduhan, jauh sekali saya mencetuskan fitnah, tapi ini adalah pemerhatian saya sepanjang berada di lingkaran kepimpinan pusat sejak 2003 hingga 2013 (dalam Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jawatankuasa PAS Pusat).

Ada juga komen minta saya menyalahkan DAP. Saya belum sampai ke situ. Tunggulah dalam penulisan yang lain.

Sebelum saya pergi lebih lanjut, saya perhatikan ramai di kalangan ahli PAS yang cukup fobia dan melenting apabila bercakap soal kerjasama politik bersama UMNO/BN – seolah-olah menimbangkan kerjasama politik bersama UMNO/BN adalah satu dosa yang mutlak dalam apa jua keadaan. Pada saya ini adalah pandangan politik yang cetek.

PAS bebas menimbangkan apa jua strategi dan pendekatan dalam politik selagi mana ianya boleh membantu PAS mencapai matlamatnya dan ianya tidak bercanggah dengan shari’ah – termasuk dalam soal membina hubungan dengan UMNO. Maka mempertimbangkannya tidak menjadi satu dosa. Apa yang penting ia perlu melalui proses membuat keputusan mengikut sistem yang sedia ada di dalam parti, untuk melihat dari sudut keuntungan politik dan juga samada ianya bertentangan dengan shari’ah.

Proses ini berlaku selepas PAS memenangi kerusi dan berpeluang menubuhkan beberapa kerajaan negeri selepas PRU-12. Penilaian rasmi parti telah dibuat, dan akhirnya PAS memutuskan untuk bersama PKR dan DAP dan menubuhkan Pakatan Rakyat.

Tapi untuk mereka yang terlibat dalam operasi dan kepimpinan politik, mereka tidak boleh mengelak dari terus membuat penilaian demi penilaian. Malah pimpinan mesti membuat penilaian. Ya, kerana ijtihad politik boleh berubah dari masa ke masa.

Dan tentunya, walau berapa kalipun Presiden PAS pertegas bahawa PAS memilih Pakatan Rakyat dan komited dengan Pakatan Rakyat, tetap ada yang menilai dan mempunyai pandangan peribadi yang berbeza – terutama sekali setelah melalui isu-isu sukar dalam pentadbiran negeri bersama PKR dan DAP terutamanya di Selangor dan apabila berpolemik melibatkan prinsip agama seperti hudud, kalimah Allah dan sebagainya.

Pada saya tidak ada salahnya kalau mana-mana pimpinan berpandangan model politik UMNO/BN lebih selamat untuk Islam dan Melayu, selagi mana ianya pandangan peribadi dan mereka masih patuh pada keputusan parti. Apa yang salah apabila tindakan dan sikap politik yang diambil bertentangan dengan keputusan rasmi parti pada waktu tersebut.

Ya, ada pemimpin PAS yang memegang pandangan model kolisi politik UMNO/BN lebih baik untuk Islam dan Melayu berbanding model Pakatan Rakyat. Dan tidak kurang juga kalangan pimpinan PAS yang berpandangan Pakatan Rakyat tidak lagi sesuai untuk PAS tapi tidak pula menerima model kolisi politik UMNO/BN. Kedua-dua kecenderungan ini mempengaruhi tindakan politik yang tidak mesra Pakatan Rakyat.

Anda tanya, mana buktinya ada kumpulan pimpinan yang berpandangan begitu?

Oleh kerana saya berada bersama kepimpinan pusat, bukti-bukti itu berlegar di keliling saya, dari 2008 hingga sekarang. Sebahagiannya saya kutip dari pergaulan dengan rakan-rakan pimpinan (saya mengenali dekat semua pimpinan PAS Pusat – melainkan seorang dua yang baru menduduki JK PAS Pusat untuk kali pertama tahun ini), sebahagiannya saya kutip melalui perbahasan dalam mesyuarat dan sebahagian lagi melalui pengalaman sendiri dalam peristiwa-peristiwa signifikan sejak 2008.

Sudah banyak yang terdedah dan didedahkan. Anda sendiri mampu mencarinya.

Saya tidak berminat untuk bercakap tentang individu dan peristiwa, saya hanya ingin bercakap tentang idea.

Cukup jelas dan meyakinkan saya, tapi saya tak perlu memaksa tuan-tuan mempercayainya. Tuan-tuan boleh terus dengan apa yang tuan-tuan percaya, dan saya teruskan dengan apa yang saya tahu.

Cadangan saya tetap sama - PAS perlu segera nyatakan halatuju politiknya, yang logikal dan praktikal.

Jumpa lagi di hari Sabtu, minggu depan. InshaAllah.


Ahmad Sabki Yusof
26 Julai 2015



--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.