Lucut Dan Turunkan Pangkat Ketua Polis Negara - Mahfuz
Kenyataan Media.
Lucut Dan Turunkan Pangkat Ketua Polis Negara.
1. Saya terkejut dengan tindak tanduk Tan Sri Khalid, Ketua Polis Negara yang tidak memperlihatkan profesionalisma beliau sebagai seorang Ketua Polis Negara.
Tindakan beliau yang membawa bersamanya empat Pegawai Penyiasat dari Bukit Aman ke Thailand untuk menemui Xavier Andre Justo bagi menyoal siasat kes yang dikatakan pemalsuan dokumen berkaitan 1MDB sesungguhnya suatu yang sangat memalukan.
2. Apa lah malang nasib Malaysia mempunyai Ketua Polis Negara seperti beliau yang hanya selayaknya menjadi Ketua Balai Polis Keroh Perak sahaja.
Persoalannya, Khalid telah menghabiskan Wang Negara sedangkan hakikatnya mereka tidak pun berjaya untuk berjumpa dengan Justo. Sepatutnya Tan Sri Khalid boleh berhubung melalui telefon terlebih dahulu dengan pihak Polis Thailand untuk mendapatkan kepastian apakah Pihak Thailand bersedia memberi laluan kepada Polis Malaysia untuk berjumpa dan menyoal siasat Xavier Andre Justo.
Amat malang Ketua Polis Negara ini telah melakukan kebodohan dan membawa kerugian pada negara setelah negara mengalami masalah kewangan yang kronik akibat Skandal 1MDB. Kini, Tan Sri Khalid pula bertindak membazir dan menghabiskan kantong negara yang sudah sememangnya kempis.
3. Saya meminta pihak yang bertanggungjawab dalam perlantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara agar segera melucutkan jawatan beliau dan diturunkan pangkat ke jawatan Ketua Balai sahaja.
Malaysia memerlukan Ketua Polis Negara yang lebih cekap, berwibawa dan berkemampuan serta telus dalam melaksanakan tugas.
Selamatkan Malaysia!
DATO' MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
26 Julai 2015/ 10 Syawal 1436H
--
Sila kongsi artikel ini...