Kenyataan PAS: Penstrukturan Kabinet dan Pertukaran Peguam Negara Bermotif 1MDB ?

3:37 AM 0 Comments A+ a-



Penstrukturan Kabinet dan Pertukaran Peguam Negara Bermotif 1MDB ?

Oleh: Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat


Tarikh: 12 Syawwal 1436 / 28 Julai 2015

1. Penstrukturan kabinet yang mengejutkan sehingga menggugurkan YB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin dilihat sebagai bermotifkan skandal 1MDB sahaja. Nasib yang sama berlaku kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang telah ditamatkan perkhidmatannya semalam walaupun beliau akan bersara wajib pada 6 Oktober 2015.

2. 1MDB yang diasaskan oleh YAB Perdana Menteri telah bergelut dengan hutang yang berjumlah RM 41.5 bilion. Ia terpaksa mencairkan beberapa aset (assets stripping) sehingga memaksa Lembaga Tabung Haji dan Tenaga Nasional Berhad membelinya. Sehingga sekarang, kontroversi ‘bailed out’ tersebut belum selesai. Ini tidak termasuk pelaburan kontroversi KWSP dalam bon dan anak-anak syarikat 1MDB.

3. Isu 1MDB mendapat perhatian masyarakat dunia apabila The Wall Street Journal pula mendedahkan hasil daripada siasatan yang dilakukan berkaitan urus niaga 1MDB, sejumlah hampir RM 2.6 bilion tunai telah didepositkan ke dalam akaun yang dipercayai milik Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pergerakan transaksi antara bank, syarikat dan agensi kerajaan. Sehingga hari ini juga, Perdana Menteri masih belum mengemukakan saman terhadap WSJ.

4. YB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin adalah antara tokoh penting yang mengkritik dan menyuarakan isu ini selain Tun Dr Mahathir Mohamad. Sejak bulan Mac 2015, beliau telah meminta satu audit forensik dilakukan dan meminta Jawatankuasa Akaun Awam Negara (PAC) menyiasat segera akaun 1MDB tanpa menunggu laporan Jabatan Ketua Audit Negara. Dua hari yang lalu, beliau turut meminta laporan interim 1MDB didedahkan kepada awam untuk dinilai dan pasukan penyiasat khas yang juga dianggotai oleh Tan Sri Gani Patail tidak diganggu.

5. Akhirnya, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Gani Patail menerima nasib politik yang sama sepertimana tindakan yang diambil terhadap The Edge dan Sarawak Report. Datuk Seri Najib Razak telah bersikap autokratik dengan mencantas semua pihak yang mengkritik skandal 1MDB. Sebaliknya, mereka yang dilihat bersamanya telah mendapat kedudukan yang baik dalam kabinet hari ini. Apakah ini masih belum membuktikan bahawa Najib telah mengganggu gugat proses penyiasatan yang masih berjalan serta berlaku konflik kepentingan.

6. Tidak ada maknanya pada negara dan rakyat malah tiada juga nilai tambah pada UMNO itu sendiri jika reshuffle ini sekadar untuk melupuskan pengkritik 1MDB, andai Datuk Seri Najib masih meneruskan trend kepimpinan yang tidak telus dan adil. Sebaiknya jadilah pemimpin negara yang baik, adil, telus, bertanggungjawab terhadap amanah kepimpinan atau akhirnya UMNO mesti berdepan dengan kebangkitan rakyat yang akan menghukum sebuah pemerintahan yang korup dalam pilihanraya umum kelak.

Sekian, terima kasih.







--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.