Parti Baru Dilancarkan Ambil Alih Parti Pekerja

11:13 PM 0 Comments A+ a-



PARTI BARU DILANCARKAN AMBIL ALIH PARTI PEKERJA

Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Haji Mohamad Sabu mengumumkan pelancaran parti baru yang dinamakan Parti Amanah Negara (PAN) sebentar tadi Hotel Vistana Kuala Lumpur.

Pelancaran PAN ini memang dinantikan oleh segenap rakyat Malaysia yang tidak sabar-sabar untuk mengetahui nama dan hala tuju parti baru yang bakal ditubuhkan.


Parti baru yang ditubuhkan ini bukan parti yang baru didaftarkan sebaliknya ia adalah parti lama yang ditukar nama dan perlembagaannya. Parti yang diambil alih ialah Parti Pekerja. Langkah ini diambil disebabkan ROS tidak membenarkan penubuhan Parti Progresif Islam (PPI) seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi.

Protem Parti Pekerja ini akan mengumumkan perlembagaan dan nama parti pada 16 September 2015. Pihak protem Parti Pekerja ini sedang giat menggubal perlembagaan parti baru ini.

Ternyata parti baru ini memang signifikan lebih-lebih lagi ianya mendapat sokongan padu dari DAP dan PKR serta NGO-NGO di Malaysia. Ia terbukti apabila program-program GHB mendapat sokongan dari DAP, PKR, NGO dan rakyat Malaysia pada program road show yang dianjurkan oleh GHB.

Begitu juga dalam himpunan BERSIH 4.0 semalam GHB dilihat mendapat sokongan padu dari demonstran yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (PAN)

Penasihat Umum : Ustaz Ahmad Awang

Pengerusi : Hj Mohammad Sabu
Timbalan Pengerusi : Hj Salahuddin Ayub

Naib Pengerusi :
Dato' Dr Mujahid Yusof
Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Ketua Wanita : Dr Mariah Mahmud
Ketua Pemuda : Mohd Sany Hamzan
Setiausaha : Mohd Anuar Tahir
Timb. Setiausaha : Abang Ahmad Kardee Abang Masagus
Bendahari : Hj Asmuni Awi
Setiausaha Organisasi : Suhaizan Kaiat

Ahli Jawatankuasa :

Dr Mohd Hatta Ramli
Ir Khalid Samad
Ir Izham Jashim
Hj Adly Zahari
Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al Jundi
Dato Seri Muhammad Nizar Jamaluddin
Mazlan Aliman
Aminolhuda Hassan
Mohd Hanipa Maidin
Dato' Fakhrulrazi Zawawi
Saari Sungib
Zulkifli Mohd Omar
Hu Pang Chaw
Dato Wan Abd Rahim Abdullah
Hasnul Baharuddin


Sila kongsi artikel ini...

BERSIH 4: Imej Presiden PAS dan Parti Diperlekeh - Nasrudin Hassan

10:35 PM 0 Comments A+ a-



BERSIH 4: IMEJ PRESIDEN PAS DAN PARTI DIPERLEKEH.

Penerangan PAS Pusat kesal dan dukacita dengan paparan klip aksi 2 peserta BERSIH 4 yang memijak gambar YB Dato' Seri Presiden PAS ketika himpunan sedang berlangsung, sebagaimana yang sudah dilaporkan oleh berita tempatan dan viral pula di Facebook dan YouTube.

Lebih dikesalkan apabila imej Dato' Seri Tuan Guru di"superimpose" berpelukan dengan Perdana Menteri Najib untuk memberi gambaran seolah-olah Presiden PAS dan Presiden UMNO serta kedua-dua parti berseteru ini bersekongkol.


Saya mendesak agar pihak penganjur BERSIH 4 segera tampil menjelaskan sama ada gambaran sebegitu adalah sebahagian dari strategi kempen BERSIH 4 untuk meraih sokongan, mengambilkira penglibatan meluas kepimpinan DAP dan GHB di dalam himpunan kali ini yang umum ketahui sememangnya galak membuat fitnah mengaitkan PAS dengan UMNO.

Sekiranya itulah pendirian BERSIH, maka jelaslah BERSIH tidak langsung menghargai sumbangan PAS dan jasa Unit Amal PAS yang gigih memberi sokongan selama ini.

Sekiranya BERSIH masih menghargai PAS maka sekurang-kurangnya kami boleh menjangkakan kenyataan maaf dalam tempoh 48 jam ini dan jaminan bahawa gambaran tersebut bukanlah sebahagian dari agenda BERSIH dan aksi tidak sopan sebegitu tidak akan diulangi.

Kepada ahli dan penyokong gerakan Islam ini diharap anda tenang berdepan provokasi sebegini. Inilah masanya kita menunjukkan sikap jiwa besar kita ketika berdakwah dan memohon doa pertolongan dari Allah swt tatkala ayahanda Tuan Guru Presiden dan perjuangan jamaah ini difitnah sebegini rupa.

Jaga tuturkata, tunjukkan kelembutan dalam ketegasan dan jauhi sikap kasar dan biadap. Contohilah akhlaq baginda Rasulullah saw yang sabar dan tsabat dalam perjuangan meskipun baginda dilempar najis dan batu.

Dalam usaha kita melebarkan mesej Islam, inilah masanya kita mencontohi resam Rasulullah saw, bukannya bertukar menjadi Che Guevara.

"Istiqamah Sehingga Kemenangan"

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat



Sila kongsi artikel ini...

Perutusan HAri Kebangsaan ke 58 Presiden Keadilan

9:52 PM 0 Comments A+ a-



PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN KE 58 PRESIDEN KEADILAN

BismillahiRahmaniRahim
Assalamu'alaikum warahmatullah dan Salam Sejahtera

Tema Hari Kebangsaan ke 58 Malaysia adalah Sehati Sejiwa.

Jika diukur dengan usia manusia 58 tahun – ia adalah umur seorang insan yang sudah dewasa, matang penuh hikmah dan seharusnya lebih bertanggung jawab ketika sudah melangkah masuk ambang senja kehidupan dengan menyediakan warisan peninggalan terbaik untuk anak cucu, generasi masa depan.

Jika dinilai tema Sehati Sejiwa - ia membawa maksud tersurat dan tersirat bahawa kita ada perpaduan, ada kasih sayang, mahabbah serta muhibah, ada kesaksamaan berpaksikan darjat kerohanian yang mencerminkan kebaikan, keadilan dan kebenaran.

Dan jika diselami maksud suatu kemerdekaan – ia bererti kita bebas merdeka dari semua bentuk penjajahan asing maupun watan sendiri dapat menentukan hala tuju negara melalui pilihan raya yang bersih, telus dan adil, memiliki sebuah kerajaan yang Bersih, Cekap dan Amanah, menikmati kemakmuran ekonomi bersama dan media bersuara benar.

Juga kita harus bebas merdeka untuk hidup tanpa ditindas, difitnah, diugut, dikecam, dicerca, dipecah belahkan dan dimiskinkan, dengan hak-hak kewarganegaraan yang dijamin suatu perjanjian kenegaraan atau ‘aqadun daulah’ iaitu Perlembagaan Persekutuan dalam sebuah demokrasi.

Tarikh 31 Ogos 1957 dan 16 September 1963 merupakan tarikh peristiwa satu harapan dan satu permulaan baru sebuah negara oleh rakyat dan demi rakyat – dimana janji kemerdekaan dan janji kesatuan Malaysia terjamin dan dipertahankan kemurniannya.

Ia adalah tarikh Tanda Mercu Pengorbanan - pejuang kemerdekaan dahulu, pejuang keselamatan negara kini dan bakal pejuang masa depan agar Malaysia terus bebas, merdeka dan berdaulat.

Ianya harus dilihat sebagai Tarikh Mengukur Pengisian suatu kemerdekaan - sama ada janji dan jaminan asas dan dasar dipenuhi - Janji Kemerdekaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Janji Kesatuan yang tertulis dalam Perjanjian Malaysia dipenuhi.

Sudah tentu rakyat yang berbaris berjuang penuh ikhlas, memegang tanggungjawab memerintah dengan penuh amanah, mengutamakan kepentingan rakyat penuh saksama dan menyatukan hati dan jiwa penuh muhibah, berani kerana benar berdiri menentang kezaliman pihak berkuasa dan insaf berundur bila sudah jauh dari pangkal jalan amanah pemerintahan - adalah Patriot Negara yang sebenar.

Sebagai Patriot kita perlu hayati lagu Negaraku yang penuh makna.

"Negaraku Tanah Tumpahnya Darahku" - jiwa raga dan darah semua bangsa Melayu, Cina, India Dusun, Dayak, Orang Asal dan Orang Asli untuk Malaysia.

"Rakyat Hidup Bersatu dan Maju" – hak hidup semua bangsa bebas dari api perkauman dan bebas dari rasuah yang merampas hak rakyat menikmati kekayaan serta kemajuan negara – adalah intipati Kemakmuran Kemerdekaan sejati.

"Rahmat Bahagia Tuhan Kurniakan, Raja Kita Selamat Bertakhta" - nikmat rahmat, kebahagian dan harta juga adalah untuk rakyat jelata bersama Raja-Raja mesti terus didoakan – adalah initipati Kesaksamaan Kemanusian sejagat.

Ini adalah Malaysia, Negaraku untuk semua.

Oleh demikian, janji kemerdekaan dan pengorbanan semua patriot akan lebih bermakna dan impian rakyat akan hanya tercapai apabila kita semua bersatu Sehati Sejiwa untuk Bersihkan Negara.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

31 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Merdeka Dari Pasungan Penguasa - Nurul Izzah

9:51 PM 0 Comments A+ a-



Merdeka Dari Pasungan Penguasa

Salam ‪#‎Bersih4‬ dan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Kali ke-58.

Dalam kejenuhan rakyat mencari erti sebuah kemerdekaan, negara kita masih lagi belum mampu menyelesaikan beberapa isu yang membelenggu masyarakat. Kesenjangan ekonomi dan krisis survival rakyat menghimpit kita dari segenap sudut kehidupan.

Masihkah kita ingat tentang perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan kita yang menentang sistem percukaian yang dikenalkan oleh penjajah negara? Namun, alangkah sayunya apabila kini rakyat dicukai dan dirampas Hak serta hartanya oleh bangsanya sendiri.

Saya merujuk kepada tema hari kebangsaan kali ke-58 sehati sejiwa yang membawa kepada makna saling memahami antara jalur kepimpinan negara di lapangan masyarakat. Namun hakikatnya, rakyat bangun dengan kekuatan mandiri dan mendesak agar perubahan segera dilakukan di peringkat urus tadbir negara.

Pasca himpunan BERSIH 4.0 menyaksikan hampir 200,000 rakyat menuntut Pilihan raya yang bebas dan adil, sebuah kerajaan yang telus, hak untuk membantah, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara.Tidak dapat dinafikan ianya dihangatkan oleh kemarahan rakyat kepada seorang individu yang mendapat derma RM2.6 bilion.

Desas desus musabab skandal kotor yang terus menyumbang kepada kemelut ekonomi ringgit yang menjunam kedengaran lagi menjelang sambutan kemerdekaan tanah air kita yang ke 58 ini.

Kita tidak mungkin selesai melayani retorik dimensi politik yang sibuk berlegar di media - menyalahkan perhimpunan itu atau pun ini; dan bukannya asas ekonomi dan kepimpinan negara yang semakin rapuh.

Izinkan saya merdeka ini menyelusuri topik yang penting dalam sejarah Bangsa Malaysia - Rasuah.

Merdeka ini dirayakan di sebalik penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang wira anti-rasuah serta usaha giat menghancurkan kredibiliti mereka yang menolak praktis dermawan ala suapan yang masuk dalam kocek Perdana Menteri.

Semuanya mengingatkan saya kepada gerakan anti rasuah di kala krisis politik serta kewangan 1998. Umum mengetahui sebab utama Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat adalah kerana seruan lantang beliau di Parlimen pada 1997 menyeru kepada reformasi dan pengakhiran kronisme dan rasuah. Beliaulah yang memperkasakan Akta Rasuah.

Sedar atau tidak RM jatuh ke tahap RM4.17 berbanding Dollar Amerika, sesuatu kejatuhan yang amat rendah sejak krisis ekonomi 1998. Penyusutan ini adalah pada tahap 20 peratus sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Dahulu, rasuah dinafikan dan dikatakan satu pelincir kepada ekonomi yang lebih baik - bak kata Samuel Huntington.

Rasuah adalah kunci kepada permulaan perniagaan lanjut pandangan ini; satu hakikat yang menyedihkan. Namun nukilan Prof Syed Hussein Al Attas dalam buku Rasuah jelas menyanggah tanggapan tempang ini.

Rasuah lah yang akan memundurkan negara. Rasuah lah punca negara tidak berkembang dan terus gagal. Rasuah mengakibatkan rakyat dinafikan

Dan kini, sedang kita diasak pelbagai permasalahan/dari hutang isi rumah sebanyak 150 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), melebihi banyak negara membangun yang lain, dan juga negara maju seperti Amerika Syarikat.

Hutang kerajaan juga telah pun menghampiri tahap 55 peratus daripada KDNK (berbanding kira-kira 40 peratus secara purata di negara membangun yang lain).

Secara keseluruhan, nisbah jumlah hutang kepada KDNK diantara 2007 dan 2013 adalah 222 peratus, yang tertinggi diantara negara membangun.

Justeru , sempena Hari Kemerdekaan ini, marilah kita bersama-sama memasang sebuah impian untuk melihat negara kita benar-benar merdeka dari gejala korupsi yang semakin menjadi-jadi. Kita mesti merdekakan minda dari pengaruh politik bangsa jingoistik. Kita mesti memerdekakan diri dari terus dipergunakan dalam agenda pemusatan kuasa. Kita mestilah memerdekakan sistem ekonomi dari terus dimanipulasikan dan dieksploitasikan oleh elit penguasa.

Semalam kita menuntut kerajaan yang bersih. Hari ini biar kita tuntut rakyat yang Merdeka - dari Rasuah!

Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Permatang Pauh
31 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Anina Tidak Mewakili UMNO Bahagian Langkawi - Dato' Hj. Ir. Nawawi bin Hj Ahmad

9:21 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN AKHBAR YB DATO HJ IR NAWAWI BIN HJ AHMAD KETUA;
UMNO BAHAGIAN LANGKAWI MEWAKILI
UMNO BAHAGIAN LANGKAWI

UMNO BAHAGIAN LANGKAWI MENYOKONG KEPIMPINAN YAB DS NAJIB


ANINA TIDAK MEWAKILI UMNO BAHAGIAN LANGKAWI

LANGKAWI 30aug15.

Saya mewakili Ahli jkuasa UMNO Bahagian Langkawi ingin menegaskan bahawa:

1) tindakan Anina bte Saaduddin ahli umno bahagian Langkawi melakukan tuntutan mahkamah terhadap YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak Pressiden Umno Malaysia adalah semata mata tindakan peribadi dan tidak langsung melibatkan UMNO Bahagian Langkawi. Beliau melakukan tindakan tersebut bersendirian tanpa berbincang atau mendapat restu dari UMNO Bahagian Langkawi.

2) Seluruh Kepimpinan UMNO Bahagian Langkawi juga ingin menegaskan bahawa kami menyokong penuh kepimpinan YAB Dato' Sri Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

YB Dato' Hj. Ir. Nawawi bin Hj Ahmad
Ketua,
UMNO Bahagian Langkawi,
Mewakili kepimpinan UMNO Bahagian Langkawi


Sila kongsi artikel ini...

Nota : Perutusan Kemerdekaan - Dato Mohd Ramalan Yunus

8:19 PM 0 Comments A+ a-



Nota : Perutusan Kemerdekaan.

oleh: 
Dato Mohd Ramalan Yunus

Nota kali ini adalah Perutusan Kemerdekaan dari saya kepada anda semua yang saya hormati. Perlu saya ingatkan, ini adalah Perutusan Kemerdekaan bukan Perutusan Hari Kemerdekaan. Semoga anda semua memahami bahawa ianya adalah dua perkara yang berbeza.

Kenapa Perutusan Kemerdekaan ? Ini kerana saya berpegang teguh kepada kenyataan saya bahawa negara ini tidak pernah di jajah oleh negara luar atau kuasa luar. Namun demikian dalam masa yang sama kita juga belum merdeka kerana kita sedang di jajah UMNO. Sudah 58 tahun kita di jajah oleh UMNO.

Pihak British mengetahui bahawa kesetiaan orang-orang Melayu kepada Raja dan negaranya adalah cukup tinggi. Tidak mudah bagi mereka untuk mengalahkan orang Melayu apalagi untuk menjajah mereka tanpa menggunakan tipu muslihat yang paling halus.

Strategi pertama mereka adalah dengan menukar Raja-Raja Melayu yang haq dengan Raja-Raja Melayu yang di taja oleh mereka. Setelah itu mereka mengarahkan Raja-Raja Melayu tajaan mereka untuk menyerahkan kedaulatan mereka kepada Malayan Union.

Strategi kedua pula adalah menubuhkan sebuah pertubuhan politik iatu UMNO. UMNO ditubuhkan dengan satu tujuan iaitu untuk mengalihkan sokongan orang-orang Melayu daripada Raja-Raja Melayu kepada sebuah pertubuhan politik.

Setelah UMNO berjaya mendapatkan sokongan orang-orang Melayu maka dimeterailah perjanjian antara kerajaan British dan UMNO. Semenjak dari itu sehingga kini UMNO telah menjadi proksi kerajaan British untuk mentadbir dan memerintah Tanah Melayu.

UMNO telah menyuntik fahaman sekularisme ke dalam masyarakat Melayu bagi melemahkan aqidah Islam mereka dan mengawal mereka dengan sistem demokrasi dan kapitalis. Inilah yang berlaku sehingga ke hari ini.

Selama 58 tahun UMNO memerintah negara ini dengan segala fakta dan persepsi yang mengelirukan orang-orang Melayu sehingga orang-orang Melayu percaya bahawa mereka telah di jajah selama lebih dari 400 tahun oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan British kembali.`

Begitu hebat dan dahsyat sekali pembohongan dan penipuan yang telah di lakukan oleh UMNO terhadap orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu lupa asal usul dan sejarah sebenar mereka. Mereka lupa bahawa suatu masa dahulu mereka adalah satu bangsa yang terkenal di seluruh pelusuk dunia.

Sebelum kedatangan British, Tanah Melayu ( suatu masa dahulu di kenali sebagai Benua Siam Kedah Malaka Pasai Ma ) yang pusat pentadbirannya di kaki Gunung Jerai sebelum berpindah ke Ayuthia telah melaksanakan undang-undang Islam seperti Qisas, Taqzir dan Hudud. Ini boleh di buktikan dengan adanya manuskrip Undang-Undang Kedah yang telah di tulis pada tahun 837 Masihi bersamaan dengan 222 Hijrah.

Oleh itu adalah menjadi kewajipan setiap orang Melayu/Islam untuk membebaskan diri dari penjajahan politik yang di lakukan oleh UMNO dan juga parti-parti politik yang lain.

Untuk menjadi bebas dan merdeka, orang-orang Melayu perlu kembali kepada Raja-Raja Melayu dan menolak politik kepartian. Selama 58 tahun telah terbukti bahawa politik kepartian tidak mampu menyatukan rakyat Malaysia. Suasana politik sentiasa berada di dalam ketegangan akibat di landa dengan pelbagai krisis.

Begitu juga dalam bab ekonomi. Ekonomi juga sentiasa berada di dalam keadaan yang tidak stabil kerana sering berlaku krisis ekonomi.

Dalam bab pentadbiran dan pengurusan. Rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah sudah menjadi budaya dan amalan biasa di kalangan penjawat awam dan masyarakat.

Persoalannya sekarang, sampai bila perkara-perkara seperti ini mahu di biarkan berterusan ?

Sampai bila kita mahu di jadikan hamba abdi seperti lembu yang di cucuk hidung kepada sistem yang telah terbukti tidak mampu membawa keharmonian dan kesejahteraan kepada rakyat di negara ini ?

Tanyalah kepada diri masing-masing, apakah kita sudah merdeka sebelum kita berteriak... Merdeka ! Merdeka !

Renungkanlah... Saya sekadar mengingatkan.


Sila kongsi artikel ini...

Sampai Hati Tun Mahathir Jual Agama, Bangsa kepada DAP - Amin Yatim

7:26 PM 0 Comments A+ a-



Assalamualaikum Tun Mahathir,

1. Saya terbaca satu pandangan seorang penulis di Facebooknya (Ab Jalil Backer) yang menyatakan, “Kehadiran Tun Mahathir Mohamad di Himpunan Bersih 4 semalam menunjukkan bekas Perdana Menteri tersebut akhirnya bersedia “menjual” UMNO, Melayu dan Islam kepada DAP kerana kroni-kroni perniagaannya yang berbangsa Cina.”

2. Sungguh saya bersetuju dengan pandangan penulis terbabit. Ahli-ahli perniagaan Cina yang mahu menjatuhkan Mohd Najib dengan menyokong DAP tahu bahawa kehadiran puluhan ribu orang tidak mungkin menggoyahkan kerajaan kerana ia sudah menjadi agenda kaum Cina DAP semata-mata. Beberapa hari lagi kumpulan Bersih akan dikecam sebagai kumpulan cauvinis Cina yang cuba mengganggu sambutan hari kebangsaan dan hari Malaysia.

3. Jalan terbaik membersihkan Bersih 4 dari menjadi agenda Cina semata-mata ialah dengan menurunkan pemimpin-pemimpin Melayu besar yang didokongi oleh mereka. Mereka tidak boleh meminta Timbalan Presiden UMNO turun kerana ia akan menyebabkan beliau dipecat dari jawatan. Ini sekaligus membahayakan kepentingan mereka dalam UMNO dan kerajaan.

4. Justeru orang yang mempunyai pengaruh kuat di kalangan orang Melayu dan boleh meneutralisasikan imej cauvinis Cina DAP dalam Bersih 4 ialah Tun Mahathir Mohamad. Bayangkan bekas Ultra Melayu turun ke perhimpunan Bersih 4. Ia sudah tentu menunjukkan Bersih ialah agenda orang Melayu juga.

5. Kecewa saya bukan kepalang apabila Tun mengambil keputusan hadir dalam himpunan terbabit.

Yang Berbahagia Tun,

6. Adalah tidak masuk akal untuk Tun kata “saya hadir tetapi tidak menyokong Bersih. Saya hanya menyokong usaha menjatuhkan Mohd Najib Razak.”

7. Agaknya Tun lupa bahawa Bersih bukan agenda menjatuhkan Mohd Najib Razak. Bersih ialah agenda untuk menghakis hak-hak bumiputera dan Islam di negara ini. Kumpulan-kumpulan yang ada dalam Bersih ialah penyokong kesamarataan kedudukan semua agama di negara ini dan penghapusan hak istimewa bumiputera.

8. Saya percaya Tun tidak minat bola kerana Tun tidak suka kalah. Tapi saya suka melihat kenyataan Tun dalam konteks permusuhan penyokong bolasepak. Penyokong fanatik Manchester United akan menyokong mana sahaja pasukan yang menentang Liverpool kerana benci mereka kepada pasukan merseyside tersebut. Demikian juga penyokong fanatik Liverpool akan menyokong apa sahaja pasukan yang menentang Manchester United.

9. Kata mereka, “The enemy of my enemy is my friend”. Musuh kepada musuh saya ialah kawan saya.

10. Tapi Tun, hadir dalam Bersih 4 tidak sama seperti penyokong Manchester United menyokong Chelsea hanya kerana tidak mahu Liverpool menang. Ia jauh lebih besar impplikasinya. Ia soal agama, bangsa dan negara.

11. Sampai hati Tun mengkhianati agama Islam, Melayu dan UMNO hanya kerana dendam politik dan kepentingan anak beranak Tun dan kroni Cina yang semuanya sudah bertaraf laksawan (billionaire).

Amin Yatim
Petaling Jaya


Sila kongsi artikel ini...

Mantan Pesuruhjaya PAS Sarawak umum sertai GHB Sarawak

7:09 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

31 Ogos 2015

Mantan Pesuruhjaya PAS Sarawak umum sertai GHB Sarawak


Ustaz Othman Bin Mustapha @ Mos iaitu Mantan Persuruhjaya PAS Sarawak yang pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya PAS dari tahun 2009 sehingga 2011 telah mengumumkan menyertai Harapan Baru Sarawak berkuatkuasa hari ini.

Dalam pertemuan di sidang media pagi tadi bersama saya,beliau menyatakan untuk bersama dengan HB kerana yakin dengan pendekatan Islam yang lebih inklusif dan progresif.

Ustaz Othman pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum pada 1999 di P174 Batang Sadong dengan undi sebanyak 2,438 undi.

Ustqz Othman pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam Bidang Pengajian Usulludin dibawah Jabatan Akidah dan Falsafah.

Dengan kehadiran Ustaz Othman yang memiliki pengalaman yang luas ia mampu membantu HB Sarawak melangkah lebih jauh dalam usaha dakwah di negeri Sarawak dengan lebih berkesan dan progresif.

Sekian.

Selamat Menyambut Hari kemerdekaan ke 58

Andri Zulkarnaen Hamden@Hud abusiraj almuner
Pengerusi HB Sarawak



Sila kongsi artikel ini...

BERSIH , Harapan Baru dan Merdeka - Mujahid Yusof

11:48 PM 0 Comments A+ a-



BERSIH, HARAPAN BARU DAN MERDEKA

Ada apa dalam faktor kesamaan perkataan Bersih, Harapan Baru dan Merdeka?

Kesemuanya membawa kepada satu nilai iaitu KEBEBASAN.

Jika Diambil perkataan Bersih secara bahasa contohnya, berlawanan dengan kotor dan bolehlah dikatakan Bersih adalah kebebasan dari kekotoran dan ia adalah sesuatu yang sangat didambakan oleh manusia.

Perkataan Harapan pula membawa konotasi anti kekecewaan dan apabila dikaitkan dengan deskripsi 'Baru' ia seolah-olah KEBEBASAN dari rasa kecewa dan senantiasa melihat masa depan yang cerah.

Apa pula tentang Merdeka?

Perkataan Merdeka lebih 'direct' kepada makna KEBEBASAN sebagai kata lawan daripada sifat kongkongan dan menjajah.

Ketiga-tiga perkataan adalah sinergi kepada kelahiran entiti baharu dan stimulus kepada impian yang mahu dicapai bersama.

Tetapi faktor kesamaan ini secara operasionalnya jauh lebih realistik dan mencabar sifatnya.

BERSIH sudah terbukti sebagai gerakan massa yang mencipta sejarahnya tersendiri apabila tuntutan Pilihanraya Bersih telah mengubah cara SPR mengendalikan Pilihanraya dan membebaskan sikap SPR yang dilihat berat sebelah sebagai pengadil demokrasi berpilihanraya.

BERSIH merakamkan tiga perhimpunan besar sebelum ini (2007, 2011 dan 2012) melibatkan seluruh rakyat Malaysia yang inginkan demokrasi dan cara pengendaliannya yang adil dan telus.

BERSIH tidak berhenti sekadar isu pilihanraya, kini ia menuntut ketelusan pemerintahan, hak berdemo, mengukuhkan sistem berparlimen serta menyelamatkan ekonomi negara.

Usah dikira susah payah yang terpaksa dilalui berhadapan dengan polis anti rusuhan yang satu ketika memalukan dunia reaksi berlebihan dan salah guna kuasa untuk menyuraikan perhimpunan aman.

BERSIH adalah perjuangan mempertahankan Artikel 10 Perlembagaan Negara serta menguji keberkesanan pihak polis mengawal hak ini bagi melahirkan sebuah masyarakat yang matang dan bertamadun dalam mengendalikan penentangan secara sivil.

Negara tidak terkecuali dari dinamika parti politik yang membentuk sebahagian dari proses demokrasi.

Politik kepartian adalah tonggak terbentuknya sebuah kerajaan, walaupun di negara dunia yang lain parti politik boleh sahaja berubah asalkan mereka menang pilihanraya tetapi di Malaysia kenyataan ini nampaknya masih taboo pada amalan politik Malaysia.

Parti pembangkang sejak sekian lama cuba untuk membentuk pakatan politik yang kuat dan rekod terbaiknya ialah pada PRU ke-13 dengan jentera Pakatan Rakyat atau PR.

PR memperkukuhkan kedudukannya sehingga meraih 52 peratus undi popular dan BN haya mampu mengekalkan kemenangan dengan kerusi yang dimenanginya di Timur Malaysia.

Namun harapan untuk melihat PR bertambah kukuh berkecai kerana parti komponennya masih berbalahan sehingga 52 peratus undi yang diperolehinya seolah tidak dihormati.

PAS, DAP dan PKR sudah tidak dilihat bersatu lagi walaupun jaminan demi jaminan diberikan namun keretakan hanya menanti belah.

Peluang dalam krisis PR tercipta dengan lahirnya sebuah HARAPAN BARU yang mahu mengekalkan momentum pembangkang mengambil alih pentadbiran negara dari UBN.

Kelahiran Harapan Baru adalah dari kehendak gelombang rakyat terbentuk daripada kelompok pelbagai yang mahu bebas dari politik lama dan harapan lama.

Kini Harapan Baru akan muncul sebagai entiti politik menyatukan kekuatan pembangkang dalam kelahiran PR 2.0 yang dinanti-nantikan.

MERDEKA menjadi kebanggaan setiap anak watan negara ini malah lagu Bahtera Merdeka sudah cukup menaikkan semangat menambahkan kecintaan kita pada negara ini.

MERDEKA adalah sebuah perjuangan membina dan mewarisi amanah besar tanpa sebarang syarat dan siap berkorban supaya negara ini kekal merdeka.

Setelah perginya penjajah perjuangan kemerdekaan mengambil bentuknya yang lebih rumit iaitu merdeka daripada korupsi, merdeka dari pemimpin berkepentingan, merdeka dari kongkongan akta yang menyekat, merdeka dari ideologi sempit agama dan kaum serta merdeka minda dan cita-cita.

BERSIH akan berhimpun di ambang kemerdekaan bagi menuntut sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar mengibar Jalur Gemilang atau melaungkan kalimah keramat Merdeka!

Perhimpunan penuh makna ini adalah dalam semangat kemerdekaan yang padat dengan patriotisme kepada negara.

Harapan Baru akan mengumumkan pada pelancaran awalnya 31 Ogos ini tentang parti baharu bagi meneruskan gelombang rakyat dan cita- cita membentuk kerajaan baharu.

MERDEKA akan tetap datang tanpa BERSIH ataupun HARAPAN BARU namun kali ini MERDEKA akan senyum kerana kedatangannya disambut oleh dua pengawal kiri dan kanannya untuk menyuntik semangat pada kita semua bahawa Bahtera Merdeka akan tetap terus melayari lautan bergelora demi memenuhi impian ke Pulau Idaman, destinasi seluruh rakyat Malaysia.

Itulah kebebasan yang dicari, erti sebuah kemerdekaan hakiki.

SALAM BERSIH!
SALAM HARAPAN!
SALAM MERDEKA!

Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia

29 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Perutusan Hari Kebangsaan ke-58 - Tan Sri Muhyiddin Yassin

11:32 PM 0 Comments A+ a-



PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN KE-58

YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO


30 OGOS 2015

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Negara kita telah merdeka selama 58 tahun. Telah banyak kemajuan yang dicapai oleh negara kita selama ini dan Malaysia berdiri megah sebagai sebuah negara yang berdaulat, bermaruah dan dihormati di persada dunia.

Asas yang membina kemerdekaan dan kemajuan negara kita ialah kepercayaan. Sebelum merdeka dahulu, penduduk negara ini yang berbilang kaum dan agama mempunyai rasa sangsi antara satu sama lain. Namun, berkat kebijaksanaan pemimpin kita yang terdahulu, mereka telah berjaya memupuk kepercayaan masyarakat majmuk di negara ini bahawa Malaysia adalah milik semua warganegara tanpa mengira kaum dan agama. Semua warganegara mempunyai hak yang dijamin oleh Perlembagaan dan semua mereka bertanggugjawab untuk memelihara keamanan, keselamatan dan keharmonian negara dengan memupuk perasaan saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.

Kepercayaan juga terbentuk antara pemimpin pelbagai kaum. Pemimpin Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Murut dan lain-lain boleh duduk semeja untuk berbincang mengenai kepentingan semua kaum dan merancang kemajuan negara kerana mereka mempercayai antara satu sama lain. Memang sepanjang negara ini ditadbir oleh Barisan Nasional, terdapat beberapa masalah yang wujud antara masyarakat pelbagai kaum, tetapi semua masalah ini dapat diatasi kerana pemimpin Barisan Nasional percaya bahawa perundingan dan kerjasama adalah jalan terbaik untuk mencari penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.

Rakyat juga mempercayai kerajaan yang memerintah. Mereka percaya bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk memerintah secara adil dan saksama, melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat, memacu kemajuan ekonomi, menyediakan pendidikan yang berkualiti, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Kerana itu, selama 58 tahun merdeka, rakyat di negara kita tidak pernah bertindak melampau untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik menerusi pilihanraya yang bebas dan adil.

Para pelabur dan komuniti perniagaan juga selama ini mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap negara kita. Mereka yakin bahawa dengan kestabilan politik, keharmonian kaum dan kecekapan kerajaan mengurus negara, pelaburan dan perniagaan mereka di negara kita adalah terjamin. Dengan keyakinan ini, Malaysia merupakan antara penerima pelaburan langsung asing yang tertinggi di rantau ini dan saban tahun mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif.

Sekiranya kita dapat mengekalkan, malah memperkukuhkan kepercayaan antara sesama pemimpin, antara sesama rakyat, antara rakyat dan pemimpin, antara kerajaan dan rakyat, antara pelabur, komuniti perniagaan dan institusi ekonomi negara, maka saya yakin negara kita akan terus berada pada landasan yang betul dan bersedia untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Namun, pada masa ini ramai pihak berpandangan bahawa negara kita sedang menghadapi masalah defisit kepercayaan (trust deficit) yang parah. Kepercayaan rakyat kepada kerajaan sudah semakin longgar. Kepercayaan pelabur dan komuniti perniagaan kepada ekonomi negara juga sudah luntur.

Ringgit kita kian merudum terutamanya berbanding Dollar Amerika dengan nilainya sekarang yang paling rendah dalam tempoh 17 tahun. Pasaran saham jatuh, rizab negara merosot dan sentimen pengguna adalah paling rendah dalam tempoh 7 tahun.

Benar, faktor luaran seperti kejatuhan harga komoditi mempengaruhi pasaran kewangan dan ekonomi, tetapi prestasi kita antara yang paling rendah dalam kalangan negara-negara serantau. Inilah realiti yang harus kita terima dan mesti diatasi dengan segera.

Saya menyambut baik kenyataan Gabenor Bank Negara bahawa asas ekonomi negara kita kukuh. Ini adalah satu perkembagan yang amat baik untuk kita membina semula kepercayaan masyarakat dunia terhadap ekonomi dan politik negara kita. Yang perlu kita atasi ialah sentimen rakyat, pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap negara kita yang agak negatif disebabkan oleh beberapa isu politik yang sedang melingkari kita hari ini.

Rakyat semakin resah apabila hari demi hari prinsip integriti dan akauntabiliti kelihatan semakin terhakis dalam pentadbiran negara. Pegawai-pegawai kerajaan yang dedikasi dalam melaksanakan tugas ditamatkan perkhidmatan, ditukar, diugut dan diambil tindakan.

Kebebasan institusi-institusi penting negara seperti Jabatan Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia seolahnya semakin disekat.

Tidak dapat dibayangkan dalam sejarah perkhidmatan awam negara kita, terdapat pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berdedikasi sanggup bersuara lantang menentang pihak atasan yang cuba mencabuli prinsip perkhidmatan awam yang adil, tegas dan berkecuali.

Ada juga sesetengah pemimpin politik yang mengugut untuk menyekat kebebasan rakyat daripada menyuarakan pandangan terutamanya di media sosial kerana tidak sanggup lagi mendengar kritikan dan teguran rakyat yang semakin hari semakin lantang.

Selain itu, mereka yang menegur tindak tanduk pemimpin digelar sebagai pengkhianat dan dituduh hendak menggulingkan kerajaan. Mereka ini jelas tidak dapat membezakan antara menegur pemimpin dengan menggulingkan kerajaan adalah dua perkara yang berlainan. Betapa ramai pemimpin negara sebelum ini yang menerima teguran, tetapi kerajaan terus kekal, malah bertambah kukuh.

Atas segalanya, kredibiliti pemimpin semakin dipersoalkan. Institusi demokrasi yang ada dilihat sudah tidak dapat lagi berfungsi dengan baik untuk melakukan perubahan kerana ditekan dan dikawal dengan ketat oleh mereka yang berkuasa.

Saya bimbang selagi kemelut besar kepimpinan ini tidak dapat diselesaikan, maka selagi itulah negara dan kerajaan akan terus dibebani dengan masalah defisit kepercayaan yang semakin parah.

Bagi saya, isu kepercayaan ini akan dapat diselesaikan jika negara kita kembali dipimpin berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan penanggungjawaban kepada rakyat. Prinsip ini jugalah yang dituntut oleh Islam ke atas setiap pemimpin sebagaimana hadis Rasululullah s.a.w:

Kullukum ra’in wa kullu ra’in mas’ulun ‘an ra’iyyatih

Yang bermaksud:

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya”.

Sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu “Sehati Sejiwa”, marilah kita bersama-sama membentuk kesatuan hati atau “wahdatul qulb” untuk membina semula kepercayaan terhadap negara kita dengan mengembalikan kepimpinan yang berintegriti, berakauntabiliti dan bertanggungjawab.

Yakinlah bahawa Malaysia adalah tanah air kita yang berdaulat dan bermaruah, dan kita sebagai rakyat bertanggungjawab untuk terus memelihara kedaulatan dan maruah negara kita. Saya berdoa agar negara kita terus kekal aman, maju dan berdaulat.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-58.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden UMNO


Sila kongsi artikel ini...

Kecewa fitnah AntaraPos - SAMM

11:28 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
30 Ogos 2015

(Kecewa fitnah AntaraPos)


Merujuk kepada laporan berita (http://antarapos.com/bm/index.php…) bertarikh 28-08-2015 12:08 ditulis oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar yang jelas ia merupakan satu fitnah.

Dalam berita tersebut Antara Pos tersebut dengan sengaja menfitnah cheGuBard dengan mengatakan kononya cheGuBard dalam satu forum menyebut DAP mahu menjatuhkan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor apabila membangkitkan isu Darul Ehsan INVESTMENT Group (DEIG) di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Setelah meneliti berkali kali rakaman video forum tersebut dengan jelas laporan AntaraPos ini fitnah jahat.

Dalam forum tersebut, pihak yang mendakwa DAP menggunakan isu DEIG untuk menjatuhkan Azmin Ali adalah dari pengerusi forum dan juga respon seorang lagi panel lain, mungkin dengan tujuan bagi memberi persepsi buruk menunjukkan bagaimana jahatnya DAP mencaturkan politik menjatuhkan individu. Namun cheGuBard menjelaskan isu DEIG ini bermula 'panas' dengan dibangkitkan oleh YB TS KHALID IBRAHIM (adun bebas) bukan DAP yang bangkitkan.

Hanya kemudian selepas Khalid bangkitkan baru ia mendapat respon wakil DAP, malah ditegaskan bukan sahaja wakil DAP tetapi wakil PAS dan wakil Umno dalam dewan juga turut respon. Jadi cheGuBard dengan jelas menegaskan tidak perlu ada pihak yang cuba 'spin' isu ini sebagai isu perkauman bagi memburukkan DAP.

Ketika memberikan komen berkenaan isu ini dalam forum tersebut dengan jelas cheGuBard menyatakan yang seharusnya malu dalam perkembangan ini ialah pembangkang utama di Selangor iaitu wakil - wakil umno kerana sepatutnya ia dibangkitkan oleh wakil Umno tetapi Umno yang sangat lemah sebagai pembangkang sehingga tidak mampu melantik ketua pembangkang terpaksa menanti Adun bebas Khalid untuk membangkitkan perkara itu barulah kemudian disambut oleh Umno.

SAMM dengan tegas menggesa AntaraPos membetulkan laporan ini yang jelas berniat jahat dan seolah cuba memburukkan cheGuBard dan menjejaskan hubungan SAMM dengan DAP.

SAMM juga memohon ADUN Bukit Gasing (DAP) sebelum memberikan komen kepada media seharusnya beliau memastikan dahulu kedudukan sebenar. Kami yakin YB Rajiv Rishyakaran sendiri tidak menonton rakaman forum tersebut sebaliknya hanya memberikan komen terus tanpa ketahui kebenaran apabila dihubungi wartawan antarapos.

Kami tidak menolak untuk mengambil tindakan lanjutan jika pembetulan dan permohonan maaf tidak diperolehi secara terbuka dalam masa terdekat.

sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


Sila kongsi artikel ini...

Syabas dan Tahniah Rakyat Malaysia di BERSIH 4.0! - Dr Dzulkefly Ahmad

11:24 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

Syabas dan Tahniah Rakyat Malaysia di BERSIH 4.0!

www.harapanbaru.net


1. Gerakan Harapan Baru terpanggil untuk memberi reaksi terhadap propaganda perkauman yang sedang ditiupkan bahawa himpunan‪#‎Bersih4‬ kurang mendapat penyertaan daripada orang Melayu.

2. Umum maklum bahawa himpunan #Bersih4 kali ini dianjur ditengah-tengah ugutan dan ancaman oleh pihak kerajaan BN yang mengisytiharkannya sebagai himpunan haram.

3. Kesemua saluran media perdana digunakan seluasnya dengan membawa hujah pemimpin, tokoh agama dan pihak berkuasa untuk menakut-nakut serta memomokkan rakyat khususnya orang Melayu agar tidak menyertai himpunan ini.

4. Kita juga tahu bahawa himpunan #Bersih4 kali ini tidak mendapat partisipasi secara penuh oleh semua komponen parti pembangkang apatah lagi dari parti-parti komponen barisan pemerintah, yang diharapkan pihak penganjur untuk turut terlibat.

5. Pada masa yang sama, suka untuk saya tegaskan bahawa Gerakan Harapan Baru yang masih berstatus NGO telah berusaha untuk memobilisasi ahli-ahli dan jenteranya seumpama ARif dan Pro-Guam untuk membantu.

6. Pun begitu, ucapan jutaan tahniah dan syabas buat seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum; Cina, Melayu, India dan etnik-etnik dari Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asal yang telah turun sejak semalam menyertai gelombang himpunan rakyat #Bersih4 kali ini.

Disebalik semua propaganda, penyertaan etnik Melayu tetap signifikan khasnya generasi anak muda Melayu yang ketara, meyakinkan dan membanggakan.

7. Alhamdulillah, anda semua warga Malaysia yang patriotik telah berjaya menunjukkan bahawa himpunan ini aman tanpa sebarang provokasi. Terima Kasih juga kita rakamkan buat pihak Keselamatan.

8. Saya ingin menyeru agar sikap profesional yang tinggi ini dikekalkan sehingga ke akhir himpunan ini malam ini.

Kita adalah rakyat Malaysia yang sayangkan negara dan mahukan perosak negara dibersihkan segera.

Kami, Harapan Baru, tetap bersama anda,

Amanah Progresif Peduli

Dr Dzulkefly Ahmad
Setiausaha
Gerakan Harapan Baru
30 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Perutusan Kemerekaan Kali ke-58 Presien PAS

11:23 PM 0 Comments A+ a-



PERUTUSAN KEMERDEKAAN KALI KE-58 PRESIDEN PAS

15 Zulkaedah 1436H / 30 Ogos 2015M

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan negara kita yang kita kecapi sejak 58 tahun yang lalu. Marilah kita semua hayati dan penuhi kemerdekaan ini dengan pengertian kemerdekaan sebenar menurut kaca mata islam yang bukanlah hanya kemenangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah semata-mata.

Erti Sebenar Kemerdekaan Islam

Kemenangan perjuangan Islam yang dipimpin Baginda Nabi dikenali sebagai "Al-Fath" iaitu pembukaan. Pembukaan pembebasan Kota Mekah dari kegelapan jahiliyah menggambarkan satu contoh sebuah kemerdekaan sebenar Islam. Sesuai dengan satu ungkapan yang cukup terkenal oleh seorang Pahlawan Islam iaitu Rubaei Bin Amir apabila ditanya kepada oleh Rustum, Panglima Perang Parsi. Jawab Rubaei :

“Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah yang Maha Pencipta. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan Islam, daripada kekeliruan agama agama kepada keadilan Islam”.

Nilai Kemerdekaan Kita Hari ini

Malaysia merdeka setelah dijajah sejak awal kurun ke-16 selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511. Kemudian bersilih ganti dengan Belanda, British, Jepun dan British semula sehingga hampir sahaja ummat kita kehilangan identiti sebenar. Bermula di zaman British dan Belanda, Tanah Melayu dan Nusantara disusun untuk memenuhi kepentingan politik, ekonomi dan agama empayar mereka. Dengan penduduk asal di kalangan Melayu, penjajah mula membawa pekerja pekerja luar dari India dan China. Penduduk dari India dibawa untuk bekerja di estet-estet getah manakala orang-orang dari Tanah Besar Cina dibawa untuk sektor perlombongan.

Peninggalan penjajahan ini telah menjadikan demografi negara kita masyarakat majmuk yang kompleks. Di hujung era penjajahan, berlaku kebangkitan rakyat di seluruh dunia untuk keluar daripada cengkaman penjajah barat. Perjuangan kemerdekaan negara diisi oleh rantaian perjuangan yang panjang dipelopori oleh golongan ulamak seawal zaman penjajahan yang kemudiannya dikongsi bersama oleh semua kaum di Tanah Melayu. PAS sangat menghargai pengorbanan pejuang pejuang kemerdekaan negara, justeru kita sebagai golongan pewaris perlu mengisi kemerdekaan ini sebaik mungkin supaya pengorbanan mereka tidak disiakan.

PAS meyakini dengan sedalam dalamnya bahawa Islam sahajalah yang akan dapat menyatukan dan memerdekakan seluruh rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dalam erti kata sebenar kemerdekaan. Pembentukan kemerdekaan Islam seperti ini dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW yang memimpin Negara Islam Madinah. Sejak terdirinya Madinah, cahaya Islam telah menerangi seluruh alam sehingga tempiasnya bersinar menyuluh kegelapan Eropah yang tenggelam dalam kezaliman Feudalisme dan Gereja. Namun, malang sekali cahaya Islam itu semakin ditinggalkan ummat Islam, sehingga barat pula mengambil kesempatan menjajah tanah tanah ummat Islam.

Kemerdekaan Islam, Kemerdekaan Hakiki

PAS meyakini bahawa Islam sahajalah yang dapat memerdekakan seluruh ummat manusia khususnya di Malaysia kepada kemerdekaan hakiki. Islam yang merdeka ini bukan sahaja akan dinikmati oleh Islam, tetapi akan juga melimpahi rahmatnya kepada penganut penganut agama lain. Lihat sahaja ketika pembukaan Kota Mesir dan Palestin Di zaman Saidina Umar, Orang orang bukan Islam menerima keamanan dan kemerdekaan di bawah Islam dengan nilai kebebasan yang tak pernah mereka kecapi ketika berada di bawah Rom Timur atau Rom Barat. Kebaikan yang dapat daripada futuhat Islam akan membawa segala kebaikan dan keadilan kepada semua masyarakat dan kaum.

Akhirnya, di hari kita menyambut kemerdekaan kali ke-58 ini, marilah bersama-sama PAS untuk kita membina negara dengan kemerdekaan sebenar. Kemerdekaan yang menyeluruh yang mendapat bimbingan Pencipta seluruh alam yang menjadikan Islam sebagai penyelesaikan kepada seluruh kehidupan manusia.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS



Sila kongsi artikel ini...

Puisi 'BANGSAT' - Faisal Abdul Aziz

10:46 PM 0 Comments A+ a-





Puisi "BANGSAT"




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah menyelongkar dengan dahsyat segala khazanah harta milik rakyat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah merampas jiwa merdeka sebagai azimat dalam diri kami yang selama ini tersemat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah memecahkan perpaduan masyarakat yang selama ini sepakat bermuafakat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah melacurkan dasar pendidikan yang penuh keramat untuk mengangkat generasi kami supaya tinggi martabat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah mengangkat pihak asing yang laknat sebagai penasihat hingga menggadai masa depan negara yang berdaulat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah memeras apa saja barakat yang rakyat dapat dengan bermacam jerat hingga bangsa ini hidup merempat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah menjatuhkan maruah umat yang bermartabat dan dipandang hormat untuk pastikan mereka taat tanpa syarat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah mempermain hukum Tuhan yang bersumber wahyu dan riwayat hingga acap kali menjadi mangsa diperalat.




Hari ini demi membersihkan diri kami dari noda ‪#‎BANGSAT‬, maka seluruh rakyat telah sepakat mengangkat cita mulia BERSIH EMPAT.




Muhammad Faisal Bin Abdul Aziz

Setiausaha Agung ABIM

29 Ogos 2015, Kuala Lumpur


Sila kongsi artikel ini...

Laporan Polis Terhadap Syarikat-Syarikat Dikawal oleh Najib Tun Razak dan Keluarga Jho Low di Ibu Pejabat Polis Hong Kong - Khairuddin Abu Hassan

8:03 PM 0 Comments A+ a-



LAPORAN POLIS TRRHADAP SYARIKAT-SYARIKAT DIKAWAL OLEH NAJIB TUN RAZAK DAN KELUARGA JHO LOW DI IBU PEJABAT POLIS HONG KONG

Saya secara rasminya telah membuat laporan polis di ibu pejabat polis Hong Kong pada 30 ogos 2015 jam 2 petang waktu tempatan keatas empat buah syarikat yang mana najib tun razak menjadi 'signatory' serta syarikat-syarikat yang dimilikki oleh jho low serta keluarganya.


Dalam laporan polis di Hong Kong; saya telah memohon pihak berkuasa di sana untuk menyiasat secara rapi terhadap empat buah syarikat iaitu:
1) ALLIANCE ASSETS INTERNATIONAL LIMITED
2) CITYFIELD ENTERPRISES LIMITED
3) BARTINGALE INTERNATIONAL LIMITED
4) WONDER QUEST INVESTMENTS LIMITED

Syarikat-syarikat ini amat meragukan kerana difahamkan bahawa najib tun razak adalah 'signatory' nya dan di dalam akaun-akaun syarikat ini pernah mempunyai rekod simpanan sejumlah RM1.125 billion yang disimpan melalui bank CREDIT SUISSE HONG KONG BRANCH.




Saya turut memohon pihak polis Hong Kong untuk buat penyiasatan secara terperinci dan komprehensif mengenai sumber kewangan syarikat ini dan transaksi dananya.

Pada masa yang sama, saya turut membuat laporan polis keatas syarikat-syarikat yang dimilikki oleh jho low dan ahli keluarganya merangkumi syarikat-syarikat:
1) JYNWELL CAPITAL (HK)
2) JYNWELL CHARITABLE FOUNDATION
3) STRATEGIC RESOURCES (GLOBAL LIMITED)

Satu siasatan yang teliti akan dilaksanakan oleh pihak polis Hong Kong bagi menyiasat samada syarikat-syarikat milik kepentingan jho low serta keluarganya pernah berusurusan ataupun tidak dengan syarikat 1MDB yang mencecah hutang piutang sejumlah RM42 billion setakat bulan mac 2014.

Saya juga memohon pihak polis Hong Kong untuk menyiasat samada syarikat-syarikat milik jho low serta keluarganya pernah membuat apa-apa pelaburan ataupun tidak bagi pihak syarikat 1MDB di Hong Kong?!

Laporan polis di Hong Kong dibuat adalah semata-mata kerana saya mahu pihak polis dari negara luar menyiasat secara komprehensif, telus serta tanpa sebarang pengaruh dari Perdana Menteri Malaysia yang nampak kini sedang menyalah-guna kuasa bagi mengambil pelbagai tindakan terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang sedang menyiasat kes skandal 1MDB ini!!

Sepertimana yang saya pernah katakan; secara jujur dan ikhlas saya tidak lagi mempunyai kepercayaan mahupun keyakinan terhadap PDRM, Bank Negara Malaysia serta Pejabat Peguam Negara Malaysia.

Badan-badan berkuasa ini tidak berani untuk menyiasat kes skandal 1MDB secara bebas, adil, telus serta komprehensif!! Keseluruhan rakyat dah mula sedar seolah-olah ada 'tangan ghaib' yang sedang mebuat 'kawalan jauh' untuk memperlahankan seterusnya kemungkinan menutup kes penyelewangan skandal syarikat 1MDB!!

Dengan izin Allah swt; seandainya berlaku pertukaran kepimpinan di negara kita maka kesemua pegawai tertinggi badan-badan berkuasa ini bersama sesiapa saja yang terlibat di dalam konspirasi untuk menutup kemungkaran kes skandal syarikat 1MDB mesti didakwa dan dihukum secara setimpalnya!!

Kalangan ini telah menodai dan mengkhianati amanah Allah swt serta rakyat Malaysia untuk melaksana tanggungjawab secara teramanah yang mungkin!!

Adalah tidak keterlaluan sekiranya saya katakan puak-puak haprak ini adalah pengkhinat kepada bangsa, agama mahupun tanahair kita yang tercinta ini!!


Sila kongsi artikel ini...

Perutusan Hari Kebangsaan 2015 YAB Menteri Besar Kelantan

7:58 PM 0 Comments A+ a-



PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN 2015
YAB MENTERI BESAR KELANTAN

بسم الله الرحمن الرحيم


Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَنْ يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, kenanglah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu ketika kaum kuffar yang memusuhi kamu hendak menghulurkan tangannya demi untuk menyerang kamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada menyerang kamu. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.
(Al-Maidah: 11)

Sesungguhnya, Baginda Rasulullah SAW adalah seorang tokoh agung pejuang pembebasan dan kemerdekaan. Bagindalah yang bertanggungjawab membebaskan umat manusia dari segala bentuk penjajahan dan perhambaan. Ianya bermula dengan penjajahan minda dan pemikiran, penjajahan akidah dan kerohanian, sehinggalah kepada penjajahan fizikal dan sistem kehidupan, sama ada dalam bentuk ekonomi, politik mahupun sosial.
Bersempena dengan sambutan kemerdekaan kali ke-58 ini, marilah kita sama-sama menghayati aspek sebenar sebuah kemerdekaan sebagaimana yang telah diungkapkan oleh seorang pejuang kemerdekaan iaitu Rib’ie bin Amir kepada panglima tentera Parsi, Rustum:

إِنَّ اللهَ ابْتَعَثَنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ العِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ رَبِّ العِبَادِ وَمِنْ جَوْرِ الأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الِإسْلَامِ وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْيَا إِلَى سعَةِ الدُنْيَا وَالآخِرَة

Maksudnya: Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki daripada penghambaan diri kepada sesama manusia agar mereka menghambakan diri hanya kepada Tuhan manusia, daripada penyelewengan agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada sempitnya dunia menuju kepada luasnya dunia dan akhirat.

Inilah intipati kemerdekaan yang sebenar iaitu membebaskan diri sendiri daripada belenggu kesesatan yang mendiami diri. Manusia yang bebas ialah yang menyerahkan semua urusannya kepada Tuhan dalam segala hal dan sentiasa menjadikan kebaikan serta keadilan agenda utama kehidupan mereka.

Ini bermakna, kemerdekaan menurut Islam ialah tidak tunduk kepada makhluk Allah, kemerdekaan yang meletakkan sepenuhnya cara hidup berlandaskan syariat Allah dan kemerdekaan yang menolak ideologi dan pemikiran manusia yang bertentangan dengan hukum Allah yang ianya akan membawa kepada kemurkaanNya. Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama ialah menentang jahiliyah yang ada dalam masyarakat Arab ketika itu. Mekah pada masa itu bukannya dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi, tetapi dijajah oleh jahiliyah Arab. Kemerdekaan dicapai setelah peristiwa Fathul Makkah berlaku dan disitulah jahiliyah mula tunduk kepada kekuasaan syariat islam sehinggalah ke zaman khulafa Al-Rasyidin.

Di negara kita, setiap tahun pada tanggal 31 Ogos disambut sebagai tarikh perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan kuasa asing. Sambutan ini seharusnya diraikan oleh kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik mahupun aliran fahaman, kerana ia merupakan satu anugerah kemenangan yang besar dalam sejarah perjuangan umat ini membebaskan diri dan watan daripada cengkaman kuasa asing.

Sejarah telah merakamkan perjuangan suci para ulama mempertahankan akidah umat Islam semenjak negara kita menerima pengaruh Islam pada abad ke-13 lagi. Nama-nama besar seperti Tuan Guru Haji Hassan bin Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut yang bangkit mempertahankan ketuanan Islam di Pasir Puteh Kelantan pada tahun 1915, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu telah memimpin kebangkitan ummah menentang kemaraan penjajahan British serta tokoh-tokoh lain seumpama Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Abas Mohamad Taha, Pendita Za’ba, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir dan Dr Zulkifli Mohamad adalah merupakan antara golongan terawal memulakan gelombang pertama meniupkan semangat kemerdekaan. Peta pemikiran yang dibina mereka juga telah melahirkan idea dan pemikiran bagi memajukan masyarakat untuk bangkit membina tamadun umat Islam yang unggul di negara kita.

Sempena memperingati kemerdekaan ini juga, marilah sama-sama kita kukuhkan jalinan ukhuwwah, Ta’awun ‘Ala Al-Birri Wa Al-Taqwa iaitu berganding bahu dalam perkara kebaikan dan takwa untuk membina umat yang kuat. Dengan kesatuan hati, bergerak sehati sejiwa dan rasa tanggungjawab terhadap negara, kita akan mampu membina ketamadunan yang unggul dalam negeri dan negara, kita akan mampu membangunkan negara dengan stabil dan saksama.

Akhirnya, marilah sama-sama kita menjadikan kemerdekaan ini sebagai anugerah Allah SWT yang sangat bermakna dalam usaha membangunkan negara ini dengan tuntutan syariat sepertimana yang disifatkan Allah sebagai;
بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُور ٌ

“MERAKYATKAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”

“MERDEKA FIKRAH DARIPADA FAHAMAN JAHILIYAH”

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
Menteri Besar Kelantan Darulnaim

Bertarikh: 15 Zulkaedah 1436/30 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Jangan takut pada baju - Tuan Ibrahim Tuan Man

10:32 AM 0 Comments A+ a-



Jangan takut pada baju

Kerajaan BN tidak perlu takut pada baju. Yang lebih menakutkan sekarang ialah kredibiliti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kegawatan ekonomi negara dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia kerana imej Najib yang sudah hancur.

Terfikir juga apakah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang mensabotaj Najib dengan tindakan mengharamkan baju Bersih 4?


Rakyat kini kian tersepit. Percayalah dalam keadaan ini, sebarang tindakan bodoh hanyalah akan menambah kemarahan rakyat.

Mengapa Najib dan kabinetnya tidak mahu mendengar nasihat adik Perdana Menteri Datuk Seri Nazir Razak yang menasihatkan kerajaan untuk henti melakukan perkara bodoh sebagai langkah pertama menstabilkan ekonomi.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
29 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

G.A.M Harapan Baru Melaka kesal dan dukacita dengan tindakan Menteri (KDN) berhubung pengharaman baju kuning @ berlogo BERSIH

7:10 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
(Untuk Sebaran Segera)

Gerakan Anak Muda Harapan Baru Melaka berasa kesal dan dukacita dengan tindakan Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pengharaman penjualan & pemakaian baju kuning @ baju berlogo BERSIH 4 sepertimana yang dilaporkan oleh media cetak & media elektronik pada 28 OGOS 2015.


Tindakan dari Menteri KDN ini jelas menunjukkan bahawa Najib & kerajaannya kini berada dalam ketakutan & kebimbangan apabila melihat rakyat yang berbilang kaum di negara ini semakin jelek dan marah dengan kegagalan Najib & kerajaannya menguruskan ekonomi negara yang semakin parah dari hari ke hari.

Kejatuhan nilai ringgit yang paling teruk dalam dekad ini, kenaikan kos sara hidup yang semakin membelenggu kehidupan rakyat, skandal 1MDB yang masih menjadi tanda tanya serta isu derma RM 2.6 bilion jelas membuktikan bahawa rakyat Malaysia berhak bangkit dan menyuarakan kemarahan mereka melalui sebuah perhimpunan aman yang dibenarkan oleh Perlembagaan di negara ini.

Justeru itu, Gerakan Anak Muda Harapan Baru Melaka telah mengerahkan kesemua pimpinan, ahli & para penyokong kami untuk terus hadir ke Perhimpunan Bersih 4 biarpun terdapat provokasi & juga halangan dari pihak berwajib kerana kami berasakan bahawa misi untuk MENYELAMATKAN MALAYSIA adalah menjadi hak dan tanggungjawab kami daripada menyelamatkan individu yang gila kuasa dan zalim kepada rakyat di negara ini.

Sekian, terima kasih.

Adeysham Nor
Pengarah Komunikasi,
Gerakan Anak Muda Harapan Baru Negeri Melaka.




Sila kongsi artikel ini...

Keutamaan Adalah Kepada Rakyat - Tunku Mahkota Johor

6:18 AM 0 Comments A+ a-

KEUTAMAAN ADALAH KEPADA RAKYAT

Baru-baru ini, ada yang telah memaklumkan kepada saya bahawa ada pihak tertentu yang telah diarahkan untuk "menyerang" saya dan ayahanda saya, berikutan sifat kami yang vokal dalam pelbagai isu. Persoalannya sekarang, adakah saya dan ayahanda saya bersuara untuk kebaikan negeri dan negara, atau untuk mendatangkan kemudaratan kepada negara? Kami hanya memperjuangkan kesejahteraan rakyat, selain menasihati para pemimpin negara supaya menjalankan tugas dengan telus dan berintegriti demi rakyat. Namun begitu, saya amat sedih melihat sesetengah pihak yang hanya memikirkan kedudukan, kuasa dan kepentingan peribadi, melihat saya dan ayahanda saya seolah-olah mencabar kerajaan. Jikalau nasihat dan pandangan ayahanda saya sebagai Sultan, dan saya sebagai Tunku Mahkota, hendak disekat serta dipertikaikan, apalah pula harapan rakyat?

Lebih baik kita berusaha mencari jalan penyelesaian mengatasi permasalahan negara, kerana bertelagah sesama sendiri tidak membawa ke mana pun. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan kepada pihak-pihak tertentu, janganlah menimbulkan isu berkenaan saya dan ayahanda saya, semata-mata untuk mengalih perhatian daripada isu-isu yang lebih menekan rakyat. Janganlah kami dijadikan kambing hitam sedangkan keadaan semasa terus melarat. Daripada hendak serang-menyerang antara satu sama lain, lebih baik masa dan tenaga tersebut dimanfaatkan untuk menangani permasalahan negara. Saya berdoa agar Allah SWT sentiasa berkati rakyat Johor dan Malaysia. Allah peliharakan Sultan. Hidup Johor.

DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

----

THE PEOPLE COMES FIRST

Lately I received word that there are some quarters who are instructed to "attack" my father and myself, due to our vocal stand on various issues. The question is, are we vocal for the benefit of the state and nation, or do we harbour malicious intent towards the country? We are only concerned about the prosperity of the people, as well as wanting the nation's leaders to carry out their duties with integrity and transparency, for the sake of the rakyat. However, I am saddened to see that some people, who only think about position, power and personal interests, see my father and I as though we are challenging the government. If advice and opinions from my father as the Sultan, and myself as the Crown Prince, are to be restricted and disputed, what are the rakyat to hope for?

It is better that we find solutions to the nation's woes, as arguing amongst each other will get us nowhere. I would also like to take this opportunity to stress to certain quarters, not to create issues about my father and I, just to divert attention of the rakyat from more pressing issues. Do not use us as scapegoats while the current situation deteriorates. Rather than "attacking" each other, the time and effort would be better spent to solve the problems plaguing our country. I pray may Allah always bless the people of Johor and Malaysia. Allah save the Sultan. Long live Johor.

HRH Brigadier General Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, The Crown Prince of Johor.



Sila kongsi artikel ini...

INTERPOL Telah Menolak Permohonan Putrajaya untuk menahan Editor Sarawak Report - Khairuddin Abu Hassan

2:52 AM 0 Comments A+ a-



Apa macam semua kaki bodek minda lemah berotak udang bila pihak 'interpol' secara rasminya telah menolak permohonan Putrajaya untuk menahan claire brown editor sarawak report??!!


Sebagai rakyat Malaysia saya merasa amat malu kerana negara kita tidak dihormati lagi oleh pihak penguatkuasa undang-undang antarabangsa!! Sungguh memalukan!!

Kini secara rasminya interpol telah menolak permohonan Putrajaya untuk menahan editor sarawak report. Ini juga membawa makna semua pertuduhan terhadap clare brown tidak mempunyai asas kebenaran serta tidak mempunyai bukti yang kukuh!!

Semua reka cerita Putrajaya tidak menjadi!! Semua penipuan Putrajaya tidak menjadi!! Ini kemungkinannya semua para penasihat najib tun razak hakikaktnya adalah kalangan kaki bodek minda lemah berotak udang!!

Imej Putrajaya, PDRM dan para menteri-menteri kabinet 'half past six' yang mengeluarkan pelbagai kenyataan kononnya semua laporan yang ditulis oleh clare brown di dalam portal sarawak report tidak tepat dan berteraskan matlumat palsu kini telah terbukti tidak benar sama sekali!!

Apabila interpol menolak permohonan Malaysia ianya membawa makna semua yang dilaporkan oleh clare brown adalah benar!!

Saya nak tahu apa pendirian kalangan kaki bodek minda lemah berotak udang seperti yb datuk rahman dahlan, yb datuk ghapur salleh, yb datuk salleh tun said, yb dato ahmad maslan, yb tan sri shahrir samad serta beberapa tokoh lagi??!!



Kini keseluruhan rakyat jelata dapat melihat secara jelas siapa yang bercakap benar dan siapakah kaki penipu putar alam??!!

Saya dah kata jangan cuba nak reka cerita untuk menegakkan benang yang basah!! Ini soal kebenaran yang berteraskan pada undang-undang!!

Ini juga satu pengajaran kepada semua kaki-kaki bodek minda lemah berotak udang agar jangan cuba nak menipu serta memperbodohkan rakyat lagi di masa akan datang!! Lain kali kalau nak menipu buatlah perancangan yang rapi sikit!! Bila jadi macam ini siapa yang malu??!!

Pihak penguatkuasa undang-undang antarabangsa amat professional dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka!! Mereka bukan seperti para penguatkuasa undang-undang di negara kita yang hanya bertindak mengikut telunjuk tangan ghaib!! Budaya kita takut kepada pemimpin bukan takut pada tuhan!!

Undang-undang di negara kita kini amat tidak adil serta tidak telus!! Semua rakyat jelata tidak menghormati dan tidak yakin lagi dengan para penguatkuasa undang-undang di Malaysia!!

Dengan perasaan rendah diri dan tawadduk saya teringin sangat nak dengar komen serta pandangan ketua polis negara dalam isu clare brown ini yang ditolak oleh interpol!! Bolehkah ketua polis negara beri sedikit pencerahan kepada keseluruhan rakyat di negara kita mengenai berita yang amat mendukacitakan ini!!






Sila kongsi artikel ini...

Apa kata tabligh tentang Bersih 4? – Mohd Azhar

9:15 PM 0 Comments A+ a-



ABIM, PKPIM, IKRAM, PAS, merupakan antara Jemaah dan Persatuan Islam di Malaysia yang mempunyai tempat dan pengikut tersendiri dan mempunyai pendirian masing-masing dalam membawa perjuangan serta matlamat Islam mereka.

Terbaru kumpulan GHB yang dilaporkan bakal membentuk sebuah parti politik Islam turut akan tersenarai sebagai sebuah pertubuhan membawa imej Islam dalam perjuangan mereka. Namun kita sering tertinggal untuk melihat pandangan dari sebuah kumpulan yang tidak kurang besarnya di Malaysia iaitu Tabligh, sebuah persatuan besar yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Kesemua pertubuhan yang disebutkan tadi mempunyai pendirian yang hampir sama menyokong demonstrasi aman Bersih 4 berdasarkan kepada tuntutan yang digariskan dalam perhimpunan tersebut kecuali PAS yang dilihat berhati-hati dan seakan-akan menolak secara halus perhimpunan tersebut atas alasan yang tidak begitu kukuh pada pandangan umum. Apapun mereka dikatakan akan menghantar wakil tetapi tidak mengerah ahlinya untuk sertai.


Saya sempat bertemu seorang rakan yang mengikut jemaah tabligh untuk berbual dan bertanyakan pandangan beliau tentang isu-isu semasa. Ramai di kalangan masyarakat di Malaysia mempunyai tanggapan pengikut-pengikut Tabligh ini tidak boleh bercakap dan menyentuh isu politik kerana mahu menjaga matlamat serta didikan asas mereka iaitu menjaga amal. Namun saya percaya politik dan siasah ini adalah fitrah dan ada dalam jiwa setiap manusia Cuma cara dan jalan mereka menginterpretasikannya sahaja berbeza.



Menyentuh isu kejatuhan ringgit dan penyelewengan besar dalam 1MDB dan derma 2.6 bilion, nada sahabat saya ini tidak banyak beza dengan sebahagian besar rakan-rakan anak muda saya yang lain. Beliau berkata semua ini adalah akibat daripada kepimpinan yang tidak mengikut cara nabi, kesan pendidikan yang berkiblatkan keduniaan dan bermacam-macam lagi hujah islamik yang dilontarkan. Saya mendengar dengan penuh minat kerana diselit-selitkan juga pesanan-pesanan makruf yang ikhlas. Cuma di hujung ulasannya itu beliau berkata semua ini adalah perancangan daripada pihak luar dan US untuk melemahkan dan memburukkan imej Malaysia.

“Semua ini mereka yang buat. Siapa yang kawal semua ini?.Amerika lah kan?So mereka memang mempunyai agenda untuk rancang semua ini?”, katanya bersungguh.

Saya hanya mendiamkan diri tanpa membalas kerana tujuan saya hanya untuk melihat sisi pandang beliau terhadap isu-isu semasa bukan berdiskusi mencari kebenaran. Namun di dalam hati saya berbisik, patutlah Tabligh tidak boleh bercakap soal politik kerana hujahnya akan tersasar dan kurang meyakinkan apabila menyentuh soal pentadbiran dan urus tadbir. Mungkin maksud tidak boleh itu bukan bermakna tidak dibenarkan tetapi tidak berupaya.

Perbualan kami diteruskan dengan menyentuh isu perhimpunan Bersih 4. Persoalan berupa andaian saya lontarkan kepadanya dengan nada kebimbangan. “Bagaimana agaknya perhimpunan Bersih 4 ni ya?Mesti kecoh” telahan saya sambil memandang ke atas seolah-olah membayangkan sesuatu.

Lantas beliau menjawab “Ha, Bersih 4? Bila tu?”. Saya terdiam seketika kerana tidak menyangka masih ada rakyat Malaysia yang tidak mengetahui perkembangan ini dalam suasana seluruh Malaysia memperkatakannya.

“Ya, sabtu dan ahad ni, 2 hari, macam ramai je yang akan turun”jawab saya ringkas. Mukanya berubah sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Kenapa?”, tanya saya kepadanya.

Beliau lantas bersuara mengatakan semua tindakan ini tidak betul. Jauh tersasar daripada apa yang sepatutnya dibuat. Tindakan seperti ini, berhimpun beramai-ramai, tidak mengikut apa yang nabi ajar. Nabi menganjurkan setiap permasalahan perlu diselesaikan di masjid. Bukan dengan cara menunjuk perasaan turun di jalan raya. Nabi kita tidak mengajar cara begini untuk menyelesaikan masalah. Berhimpun di jalan raya tidak akan menyelesaikan masalah dan akan hanya membawa kerosakan. Malah semua tindakan ini tidak disukai Allah. Kalau dilihat masa mereka berhimpun ini akan melewati waktu Zohor dan mungkin sampai ke Asar. Ini akan mendorong peserta yang hadir dalam perhimpunan itu meninggalkan solat dan sekiranya ada di kalangan mereka yang mati ketika itu, bagaimana mati mereka ini? Berbagai-bagai lagi hujah negatif yang diberikan.

Saya mangangguk-anggukkan kepala tanda faham persepsi beliau dengan perhimpunan ini. Sekali lagi saya tidak membalas kerana saya berbual sekadar untuk melihat pandangan beliau. Seusai beliau melontarkan hujah dan pandangannya, saya meminta izin beredar kerana bimbang beliau mengeluarkan hujah “Kau tengok PAS, PAS pun dah sedar, PAS pun tak sertai, kan betul apa aku cakap”.





Sila kongsi artikel ini...

Kenapa saya tidak turun sertai Bersih 4 – Ong Lian Kheong

8:43 PM 0 Comments A+ a-



Kenapa saya tidak turun sertai Bersih 4 – Ong Lian Kheong

Ramai sekali yang marah saya apabila saya bertegas tidak bersetuju dengan perhimpunan kali ini. Ramai juga yang memandang serong terhadap pendirian saya mengenai Bersih 4. Bermula daripada himpunan Bersih pertama hingga ke-3, saya tidak pernah terlepas untuk tidak hadir.

Di awal penubuhan Bersih, dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang sedia untuk menggalas amanah rakyat bagi memastikan pilihan raya di negara kita berlangsung dan berjalan secara adil dan saksama.

Selepas berjayanya dan hangat sambutan ke atas himpunan Bersih yang pertama itu pada 2007, Bersih semakin dipandang dan diangkat oleh masyarakat umum. Tidak ketinggalan, badan-badan hak asasi antarabangsa juga cuba untuk membina hubungan dengan Bersih.

Malang sekali, wujud pula anasir-anasir daripada “bapak kapitalis” nombor satu dunia, Amerika Syarikat yang juga cuba mendapatkan Bersih untuk membina jambatannya dengan kumpulan yang semakin “menang” itu.

Menang, bukan bermakna mereka berjaya dalam tuntutan yang mereka minta daripada kerajaan, tetapi "menang" bermaksud mereka berjaya mendapatkan perhatian rakyat umum dan diminati serta mendapat kepercayaan utuh rakyat agar Bersih boleh diharap sebagai badan yang akan membawa isu-isu rakyat berkaitan ketelusan pilihan raya.

Kita puji usaha Bersih generasi pertama ini kerana keikhlasan mereka dan juga kesungguhan mereka memerah keringat dan berhempas pulas membawa kesedaran rakyat ke tahap lebih tinggi dalam konteks pemahaman rakyat berkenaan sistem pilihan raya dan menimbulkan rasa berani dan yakin rakyat untuk menuntut hak mereka sebagai pengundi.

Selepas usaha-usaha hebat yang mulanya dipelopori generasi Bersih 1 mendapat perhatian banyak pihak, Bersih dengan gabungan pelbagai pihak itu mula memikirkan satu jalan untuk membina satu badan yang lebih sistematik dan tersusun organisasinya dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang serius serta membina pejabat dan membayar kakitangan untuk menggerakkan Bersih dengan lebih serius dan terancang.

Lebih daripada itu, mereka juga memilih jawatankuasa melalui pilihan raya dalam kalangan NGO dan NGI. Bersih 2 tertubuh dengan jayanya dan seterusnya melahirkan protes yang lebih berjaya berbanding Bersih 1 dengan penyertaan yang lebih ramai pada 2011.

Banyak kedutaan asing juga berlagak prihatin dengan nasib menimpa Bersih dan isu rakyat Malaysia. Negara yang paling menunjukkan kesungguhannya untuk membantu Bersih adalah Amerika.

Amerika mula memberikan dana kepada Bersih secara tahunan dengan jumlah yang besar seperti yang tercatat dalam laporan sebuah badan di bawah kedutaan Amerika, NED.

Ia bukan setakat sebuah badan biasa tetapi sebuah badan yang banyak melakukan perkara tidak bertanggungjawab di negara-negara yang anti dengan Amerika seperti di Venezuela, Iran dan Russia.

NED mendanai kumpulan berbahaya yang cuba menimbulkan ketegangan di Venezuela dengan cara bersenjata. Mereka mendanai gerakan pembangkang yang ingin menjatuhkan Hugo Chavez kerana Hugo Chavez adalah satu-satunya presiden negara bukan Islam yang kaya dengan petroleum dan gas yang lantang bersuara menentang kerakusan Israel di Palestin dan melawan Amerika di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Akhirnya, NED dihalau oleh kerajaan Venezuela dan terbaru, Russia mengisytiharkan NED sebagai sebuah agensi CIA yang bertindak mengumpul maklumat bagi tujuan peperangan dan keganasan di negara itu.

Selepas himpunan Bersih 2 berjaya mendapat perhatian dunia dengan penyertaan 100,000 orang peserta yang majoritinya dikerah oleh parti PAS pada 2011 itu, dalam diam para jawatankuasa induk yang oportunis ini menjalin kerjasama erat dengan NED untuk mendapatkan dana yang jumlahnya ratusan ribu dolar setiap tahun bermula tahun tersebut.

Di dalam jawatankuasa Bersih, tiada pemimpin parti politik yang dibenarkan menganggotai majlis mesyuarat jawatankuasa dan memegang jawatan dalam Bersih 2 itu. Oleh demikian, baik PAS, PKR mahupun DAP memang tidak tahu menahu dengan dana itu sehinggalah perkara ini terdedah sendiri hasil buah mulut media dan propaganda kerajaan.

Pendedahan demi pendedahan oleh media pada ketika itu berjaya membuktikan Bersih menerima dana daripada NED dan NED terpaksa menulis perkara itu dalam laman sesawangnya.

Jawatankuasa berelaun, penginapan di hotel besar untuk mesyuarat dan program, maka mulalah ramai golongan yang cuba merebut kerusi dalam jawatankuasa Bersih. Pada pilihan raya Bersih 3, akhirnya Bersih terlepas kepada tangan-tangan korporat yang menjadi sebahagian daripada Bersih 3.

Bukan susah, penyertaan ke dalam Bersih adalah terbuka asalkan mereka ada NGO yang dibina atas nama syarikat. Ramai juga korporat yang daripada pemikiran Barisan Nasional (BN) selama ini, secara tiba-tiba berminat menjadi sebahagian daripada Bersih dengan memeterai perjanjian dengan Bersih 3, dan masuk bertanding untuk jawatan dalam Bersih walaupun NGO mereka hanya ada dua tiga kerat sahaja.

Jangan terkejut, lobi-melobi ketika pilihan raya Bersih 3 adalah lebih teruk berbanding lobi melobi pemilihan PKR atau DAP.

Nama-nama aktivis seperti Pak Syed Ibrahim, Ahmad Syukri Razab, Badrul Hisham (Che Gu bard) terus tersingkir daripada senarai walaupun umum tahu mereka merupakan hardcore dalam perhimpunan Bersih yang berjaya selama ini.

Sebaliknya, nama-nama korporat yang kita tidak pernah dengar selama ini, yang mempunyai pangkal nama dengan panggilan “datuk” dan “doktor” secara tiba-tiba naik menjadi pemimpin utama dalam Bersih 3.

Mujurlah nama Maria Chin berjaya memenangi jawatan pengerusi Bersih sekali gus membawa Bersih dalam penghayatan rakyat marhaen kebanyakan. Namun para jawatankuasa, masih dikuasai golongan bukan aktivis sebaliknya korporat kapitalis.

Peranan golongan korporat dalam Bersih 3 ini sedikit sebanyak berjaya mematikan usaha Bersih dengan cara protes jalanan. Hampir-hampir Bersih 3 mengumumkan menolak protes jalan raya kononnya cara ini tidak profesional dan tidak akademik. Namun, pendirian ini banyak ditentang oleh jawatankuasa pemandu Bersih yang sejak awal seperti Hishamudin Rais dan Syukri Razab.

Sudah mula ramai politikus mencari peluang untuk menaikkan nama dengan cuba melobi diri mereka menjadi sebahagian daripada jawatankuasa badan induk itu. Tidak terlepas juga, para korporat yang cuba mencari pengaruh dengan menubuhkan NGO-NGO akademik bagi tujuan melayakkan diri bertanding untuk jawatan-jawatan yang ada dalam Bersih pada pemilihan Bersih ke-3.

Selepas mereka berada dalam Bersih 3, mereka boleh melobi dan berkenalan dengan para duta khususnya dari Amerika dan Eropah bagi tujuan meminta geran untuk projek-projek tertentu. Maka kedudukan mereka di dalam Bersih bukan lagi untuk membela kepentingan rakyat, sebaliknya membina kepentingan peribadi dengan pihak tertentu bagi mendapatkan projek-projek melalui skim dan geran setiap kedutaan.

Namun, saya masih meletak kepercayaan kepada Bersih 3 untuk membawa tuntutan rakyat ke jalan raya. Malangnya, selepas melihat Bersih 4 ini, secara tiba-tiba Bersih menukar tuntutannya daripada membela rakyat kepada membela politikus, ditambah pula dengan mendapat sokongan pimpinan BN sendiri untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semata-mata demi memastikan BN boleh memerintah lebih lama jika Najib ditukar kepada seorang lagi pemimpin BN, saya sudah mula mahu ingkar.

Malahan, lebih menyedihkan saya ialah, pada himpunan Bersih yang lalu, ada antara jawatankuasa Bersih yang tidak langsung turun ke jalan raya sebaliknya didapati berada di restoran-restoran mewah sambil berbincang agenda peribadi tatkala rakyat berhadapan dengan rejim.

Ini membuatkan hati saya tertanya-tanya, atas sebab apakah mereka menjadi jawatankuasa Bersih? Mereka mendapat elaun dan kemewahan, disaat rakyat yang turun ke jalan dan berhadapan dengan pembantaian? Menggunakan nama rakyat bagi tujuan mendapatkan kepentingan peribadi sendiri?

Dan apabila “pemberi dana” meminta mereka membentangkan laporan, kamu mendakwa ia adalah kejayaan kamu sedangkan rakyat yang melalui saat-saat cemas dan sukar itu.

Maka saya, memilih untuk tidak lagi turun ke perhimpunan anjuran Bersih. Saat saya dibantai teruk dengan polis, “datuk-datuk” yang menjadi jawatankuasa Bersih ini sedang menghirup kopi-kopi segar dan mahal di restoran-restoran mewah Barat. Selepas kami habis berhimpun dileraikan, barulah mereka hadir membuat sidang media dan mendakwa “mereka” yang menjayakannya.

Bersih 4 mendapat kutipan derma orang ramai sebanyak RM 1.5 juta seperti diisytiharkan oleh pengerusinya. Ini membuatkan saya tertanya-tanya juga, dengan dana ratus ribu dolar oleh NED setiap tahun, ditambah pula dengan 1.5 juta daripada rakyat Malaysia, untuk apakah dan ke manakah wang ini dibelanjakan?

Jika hanya untuk membayar elaun para jawatankuasa yang terdiri daripada para datuk dan datin, maka Bersih tiadalah bezanya dengan Najib.

Bersihkan Bersih. – 26 Ogos, 2015.

* Penulis adalah bekas aktivis Bersih 1.

s


Sila kongsi artikel ini...

Fajar Menyinsing Rakyat Resah. - Ustaz Idris Ahmad

8:29 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media (16)
Fajar Menyinsing Rakyat Resah.
Ustaz Hj Idris Hj AhmadNaib Presiden Pas
28/8/15


Rakyat resah dan semput dada apabila matahari menyinsing. Cerah sahaja matahari harga barang keperluan sentiasa naik, akibat kejatuhan mata wang. Bermula dengan minum pagi, terasa harga barang sudah naik. Ia ditambah dengan masalah yang sedia ada iaitu cukai GST sebanyak 6 peratus sejak 1 April 2015.

Pekerja di sektor swasta sentiasa resah memikirkan syarikat mereka terpaksa mengurangkan pekerja. Takut, apabila sampai di pejabat sudah ada notis pemberhentian kerja. Terbaru pekerja kilang NAZA di Gurun Kedah yang diberhentikan seramai 300 orang. Awal Julai kilang JVC di Seksyen 20 Shah Alam ditutup, pekerjanya ditawarkan skim pemberhentian kerja sukarela (VSS). Sebelumnya 6000 pekerja MAS telah dibuang.

Kita bimbang fenomena ini akan menimbulkan kesan sosial seperti perceraian, penyakit mental akan meningkat, apabila memikirkan kemana mereka hendak bekerja untuk menyelesaikan hutang rumah, kereta dan sebagainya. Terutama bagi pekerja yang sudah lanjut umur.
Selepas ini pula kadar faedah pinjaman akan dinaikkan. Ini lumrah dalam dunia perniagaan kapitalis akan menaikkan kadar faedah sebagai usaha menampung kos operasi apabila suasana gawat. Dengan ini sudah tentu akan meningkat kadar inflasi.

Kenapa terjadi demikian, semua gara-gara kepimpinan yang tidak amanah dengan negara dan rakyat. Berbelanja dengan boros, rasuah menjadi makanan harian daripada bawah hingga ke atas. Akhirnya beban terkena kepada rakyat marhain.


Sila kongsi artikel ini...

Selamatkan Negara: Hadir Bersih 4.0 - Husam Musa

6:55 PM 0 Comments A+ a-



SELAMATKAN NEGARA: HADIR BERSIH 4.0

Sebagai rakyat biasa Malaysia tercinta, apa yang boleh saya lakukan untuk menyelamatkan negara saya Malaysia pada hari ini?
Ringgit menjunam sebahagiannya kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan negara dan krisis yg dicetuskan 1MDB. Jika ringgit terus menjunam, negara mungkin bangkrap.


Kepimpinan yang dikaitkan dengan jenayah ekonomi yang menjadi punca krisis enggan melepaskan jawatan.
Institusi utama negara pula menjadi mangsa sepak terajang politik.

Jawapnya: Saya mesti ikut sama berhimpun menyatakan tuntutan untuk selamatkan negara ini: bagi pihak diri saya dan anak cucu saya.

Ini selari dgn pendirian guru politik Islam negara ini, al Marhum Tok Guru Nik Aziz seperti kata-kata di bawah:

"Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata akan ada perhimpunan Bersih 4.0 jika isu-isu berkaitan dengan tuntutan pilihan raya bersih dan adil tidak diselesaikan dengan segera.

“Bila timbul masalah Bersih (perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu), Syeikhul Azhar, Mufti Mesir masa itu mengatakan perhimpunan yang berlaku di Mesir haram. “Tetapi rakyat Mesir membandingkan dengan fatwa Dr Yusuf Al-Qardawi melalui buku ditulis beliau dan hasilnya tujuh juta rakyat Mesir turun ke jalan kerana fatwa Qardawi betul,” katanya.
…..............
Sekalipun saya kurang sihat, InsyaAllah Saya cuba sedaya upaya akan hadhir hari kedua Bersih 4.

Yb Dato Hj Husam Musa
28 Ogos 2015



Sila kongsi artikel ini...

RM Jatuh : Sediakan Pelan Bantuan Pelajar Malaysia Luar Negara. - Nasrudin Hassan

4:21 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Penerangan. 25

RM Jatuh : Sediakan Pelan Bantuan Pelajar Malaysia Luar Negara.

1. Ekoran daripada kejatuhan teruk nilai Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat, para pelajar persendirian Malaysia yang menyambung pengajian di luar negara berdepan tekanan kewangan yang tinggi. Ia telah meningkatkan kos yuran pengajian termasuk sara hidup harian mereka.


2. Sekiranya perkara ini berterusan, maka ramai pelajar Malaysia terpaksa menangguhkan pengajian dan pulang semula ke negara ini untuk tempoh masa tertentu. Setakat ini, Kementerian Pendidikan Tinggi belum memberikan apa-apa jaminan bagi mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi oleh mereka.

3. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) turut kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi beberapa hari lalu yang mengambil sikap tidak serius berhubung perkara ini jika dibandingkan dengan Menteri Besar Johor yang telah meluluskan bantuan segera berjumlah RM 2.5 juta kepada para pelajarnya yang menuntut di Mesir dan Jordan.

4. Oleh yang demikian, PAS menuntut agar Kementerian Pendidikan Tinggi wajar mengemukakan inisiatif pelan bantuan terhadap para pelajar Malaysia di luar negara. Pihak kerajaan digesa berunding dengan pihak pengurusan pendidikan di luar negara (G to G) agar masalah kewangan yang sedang dihadapi tidak menjejaskan proses pengajian mereka.

5. Antara cadangan yang difikirkan perlu adalah mengkoordinasi bantuan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, memberikan jaminan kewangan kepada pihak pengurusan universiti bagi pihak pelajar dan berbincang untuk melanjutkan tempoh pembayaran yuran pengajian bagi tempoh masa tertentu.

Sekian.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tarikh : 12 Zulkaedah 1436 / 27 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

PKR: Ringgit yang Lemah tidak Membawa Kebaikan kepada Rakyat

3:15 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA: Ringgit yang Lemah tidak Membawa Kebaikan kepada Rakyat

KEADILAN ingin menzahirkan kebimbangan mengenai penyusutan nilai ringgit berterusan ke tahap terendah dalam sejarah yang akan memberikan dampak negatif kepada ekonomi negara.


Kami berterima kasih atas tindakan pihak kerajaan yang telah mengambilkira cadangan kami untuk membentuk suatu jawatankuasa khas ekonomi. Saranan ini telah kami suarakan semenjak Januari 2015 ketika harga minyak mentah dunia jatuh merudum. Bagaimanapun, kami kurang percaya akan keberkesanan jawatankuasa tersebut kerana (a) ketiadaan Gabenor Bank Negara Zeti ataupun sebarang wakil daripada Bank Negara; dan (b) jawatankuasa ini akan hanya bertanggungjawab kepada Perdana Menteri, seorang pemimpin yang tiada tekad politik untuk melaksanakan reformasi ekonomi. KEADILAN menggesa jawatankuasa ini untuk turut tampil melaporkan kepada Parlimen secara mingguan akan sebarang penemuan dan cadangan.

KEADILAN juga ingin menegaskan bahawa krisis matawang ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada ekonomi negara. Beberapa pimpinan kerajaan telah mengatakan bahawa nilai ringgit yang rendah ini adalah baik untuk eksport dan industri pelancongan negara. Bagaimanapun, analisa kami berdasarkan angka-angka kerajaan sendiri telah menunjukkan kesimpulan yang amat bebeza.

Nilaian eksport negara tidak menunjukkan sebarang peningkatan yang bermakna walaupun dengan penyusutan nilai ringgit. Untuk tempoh separuh pertama 2015, jumlah eksport negara hanyalah RM 368 billion, iaitu RM 12 billion lebih rendah daripada tempoh yang sama 2014 (RM 380 billion). Ini berlaku walaupun ringgit bernilai 11% lebih rendah pada separuh pertama 2015 berbanding separuh pertama 2014. Penemuan ini amat membimbangkan kerana bertentangan dengan tahun sebelumnya. Ringgit yang 6% lebih rendah pada separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013 telah menghasilkan pertambahan nilai eksport RM 42 billion untuk separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013.

Jumlah pelancong asing juga tidak memuaskan. Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 adalah 609 ribu orang lebih rendah daripada suku pertama 2014 walaupun ringgit 10% lebih rendah pada suku pertama 2015 berbanding suku pertama 2014. Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 seramai 6.48 juta juga adalah hampir sama dengan suku pertama 2013 seramai 6.45 juta walaupun ringgit 17% lebih rendah berbanding suku pertama 2013.

Dengan harga minyak mentah dunia yang dijangkan susut dalam masa terdekat akibat pertambahan pengeluaran daripada OPEC dan Amerika Syarikat (Shale), penguncupan ekonomi China dan penghapusan sekatan ekonomi kepada Iran, pendapatan negara bakal terkesan. Jadi kita akan menghadapi satu keadaan di mana hasil petroleum akan berkurangan dan nilai ringgit yang rendah pula tidak dapat menjamin pengembangan yang lebih berkesan dalam industri pelancongan dan pertambahan eksport.

Kebimbangan terbesar kita akibat penyusutan nilai ringgit adalah pertambahan kadar inflasi akibat import yang bertambah mahal. Ini akan mengakibatkan kenaikan kos sara hidup untuk rakyat yang masih lagi menanggung beban GST. Kami ingin mencadangkan kepada jawatankuasa khas ekonomi agar tidak menaikkan kadar faedah sewenang-wenangnya sebagai langkah mudah untuk menangani inflasi yang bakal berlaku kerana ianya akan mengekang pengembangan akitiviti ekonomi domestik.

Sebaliknya kami ingin mencadangkan langkah yang lebih mudah, iaitu menurunkan kadar GST kepada 4% atau lebih rendah sebagai langkah sementara untuk membendung inflasi dan membantu komuniti perniagaan. KEADILAN komited dengan penghapusan GST sepenuhnya, tetapi dalam keadaan krisis ini, cadangan ini hanyalah sebagai suatu penyelesaian sementara yang praktikal.

KEADILAN menggesa Dato’ Sri Najib Razak untuk menerima cadangan ini dan memberikan tumpuan kepada ekonomi negara dan penderitaan rakyat dan bukannya memikirkan soal hayat politik beliau sahaja.

YB Wong Chen & Dr Fahmi Ngah
Biro Pelaburan & Perdagangan KEADILAN
28 Ogos 2015

-

PRESS STATEMENT: The Weakening Ringgit is not a Good Deal for the Rakyat

KEADILAN is extremely concerned that the Ringgit continues to free fall to record lows and that the same will have a wider negative impact to the economy.

We are pleased that the government has finally heeded our suggestion to form a special economic committee. We have been requesting the government to do this since January 2015, when the price of crude oil sustained deep falls. However, we are sceptical about the effectiveness of the committee on two points (a) the absence that Bank Governor Zeti or any other representative from Bank Negara; and (b) the committee will only report to the Prime Minister, a leader that has demonstrated time and time again, a lack of political will to reform the economy. KEADILAN urge the new committee to report instead to Parliament its weekly findings and recommendations.

KEADILAN also wishes to stress that the currency crisis will have a much deeper impact on the overall economy. Statements made by government officials seem to suggest that the weaker ringgit would be good for our exports and tourism. Our analyses using the government’s own figures have indicated otherwise.

Despite the weak Ringgit, our export numbers have not improved significantly. For the period 1H15 (this period was chosen as this is the most recent data available), total exports are only RM 368 billion, which is RM 12 billion lower than the same period last year (RM 380 billion). This is despite an 11% weaker ringgit (vs USD) in 1H15 compared with 1H14. This is a worrying trend, because a 6% weaker ringgit in 1H14 vs 1H13 had resulted in an export gain of RM 42 billion for 1H14 vs 1H13.

The tourist numbers are not impressive either. Total tourists for 1Q15 are 609,000 lower than 1Q14 despite ringgit being 10% weaker in 1Q15 vs 1Q14. The 1Q15 tourists total at 6.48 million is also almost similar to 1Q13 at 6.45 million despite ringgit in 1Q15 being 17% lower than 1Q13.

With international crude oil prices expected to be lower in the short term due to the rising production from OPEC and US shale, a weaker Chinese economy and also the recent lifting of sanctions from Iran, government revenue will be impacted negatively. So we now have a situation whereby our oil revenue will be lower, and a weaker ringgit that does not seem to be bringing in materially significant number of tourists or helping to improve our exports.

Our biggest worry from the Ringgit’s fall is rising inflation from more expensive imports. This will translate into higher cost of living for ordinary citizens already suffering from the GST. We also wish to caution the economic committee to be careful not to raise interest rates as an easy way to stabilize the impending inflation because it will diminish our much needed domestic economic activities.

Instead, we propose a simpler solution, to bring down GST to a more sane rate of 4% or lower as a temporary measure to hold back inflation and help out the business community. KEADILAN is committed to a complete revision of the GST but in light of the current crisis, we are suggesting this as a practical interim solution.

KEADILAN urges Dato' Sri Najib Razak to accept our proposal and to focus more on the economy and the rakyat’s suffering, instead of being preoccupied with his own political survival.

YB Wong Chen & Dr Fahmi Ngah
KEADILAN Investment and Trade Bureau
28th August 2015


Sila kongsi artikel ini...

Surat Terbuka Kepada PM: Ke Mana Duit Kami Pergi? - Syahir Che Sulaiman

2:26 PM 0 Comments A+ a-



SURAT TERBUKA KEPADA PERDANA MENTERI:
KE MANA DUIT KAMI PERGI?

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu; Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya” (Al-A’raf: 96)

YAB Datuk Seri,

Tidak dapat dinafikan, negara kini berhadapan dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi. Pertumbuhan KDNK diunjur malar, inflasi terus menjalar, defisit kian melebar, hutang kerajaan makin mengakar, tabungan rakyat semakin sukar, dan terkini Ringgit sudah hilang kadar.

Untuk pengetahuan Datuk Seri, kami anak muda juga cakna memikirkan hal ekonomi negara. Saban hari kami hadapi - harga makan minum mahal, harga rumah mahal, harga kereta mahal, harga petrol mahal. Namun kelangsungan hidup perlu diteruskan, demi mengejar cita dan harapan.

Jika sebelum ini Datuk Seri dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi masalah ini – cukai dinaikkan, subsidi dikurangkan, kini kerajaan tiada pilihan selain meningkatkan integriti untuk memperbaiki tahap keyakinan.

Rakyat perlu dilibat sama.

Rakyat perlu dilibat sama dalam usaha bersepadu dalam menangani krisis ini. Rakyat tiada akses pada keuntungan sumber minyak negara, yang kami kira, wajar diagih rata. Rakyat tiada akses pada agihan tender kerajaan, yang kami hitung, wajar diberi secara telus dan terbuka. Rakyat tiada akses pada perbelanjaan menteri, yang kami perincikan, wajar dijimat dalam berbelanja. Rakyat tiada akses pada kutipan GST yang dipungut dari poket kami, yang kami anggar, wajar diagih saksama.

Dua strategi perlu diambil dalam menangani krisis ini. Pertama, memperkasa dayatahan kuasa beli rakyat, kedua, mempertahan dayasaing ringgit.

Bagi memperkasa dayatahan kuasa beli rakyat, beberapa insentif dasar fiskal dan monetari yang akomodatif wajar dilaksanakan, supaya rakyat mempunyai lebih pendapatan boleh-guna (disposable income) agar kerancakan perbelanjaan domestik dapat dikekalkan, antaranya dengan memberi fleksibiliti untuk potongan cukai pendapatan dan caruman KWSP, mengawal kadar faedah yang dikenakan bank, malah jika perlu, dikurangkan kadar GST atau ditangguhkan pelaksanaannya buat sementara. Di pihak majikan, insentif percukaian atau gran khas boleh disediakan untuk mengelak pengilang dan peniaga memberhentikan pekerja bagi mengurangkan beban operasi syarikat.

Persepsi dan sentimen ini perlu diurus dengan baik, dan rakyat perlu diyakinkan untuk terus berbelanja bagi menjana ekonomi negara, serta tidak mudah terpedaya dengan khabar angin yang disebar pihak tidak bertanggungjawab, antaranya ringgit akan hilang nilai, simpanan di bank perlu dikeluarkan, dan pelbagai lagi andaian negatif yang tidak berasas.

Ringgit perlu distabilkan segera.

Bagi mempertahan dayasaing ringgit, kerajaan perlu memberi fokus untuk menstabilkan dinamik penawaran dan permintaan matawang. Langkah mengurangkan permintaan terhadap wang asing perlu diperkenalkan, antaranya dengan menghadkan import barangan mewah, menghadkan aliran keluar modal dan pelaburan luar negeri oleh dana-dana awam, mengurangkan kunjungan ke luar negara oleh penjawat awam, dan menggalakkan rakyat melancong ke destinasi domestik.

Di samping itu, permintaan terhadap Ringgit boleh ditingkatkan, antaranya dengan memberi insentif pelaburan kepada industri berorientasikan eksport, menggalakkan pelabur tempatan membawa pulang keuntungan dari luar negara, dan meningkatkan promosi kedatangan pelancong asing ke dalam negara.

Akhir dari kami, ingatlah ketika Datuk Seri (dan isteri) berfikir ke mana mahu pergi, kami anak muda berfikir ke mana duit kami pergi. Teringat kami akan konsep wasatiyyah yang pernah dizikirkan. Jika ikhlas diamalkan, setiap masalah mampu diselesaikan.

Firman Allah s.w.t.: “Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makanan. Kemudian akan datang selepas itu, tujuh tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan bagi mereka; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan. Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah hasil.” (Yusuf: 47–49)

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi
Dewan Pemuda PAS Malaysia



Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.